backup og meta

3 Resipi Sambal Belacan Paling Padu, Bonus Cara Buat Sambal Belacan Thai 'Terangkat'!

3 Resipi Sambal Belacan Paling Padu, Bonus Cara Buat Sambal Belacan Thai 'Terangkat'!

Sambal belacan sedap merupakan pelengkap kepada lauk-pauk utama, khususnya pada waktu makan tengah hari. Ia boleh menaikkan selera walaupun dihidangkan bersama lauk yang mungkin anda kurang gemari. Walaupun terdapat pelbagai resipi sambal belacan padu yang boleh anda cuba, namun resepi sambal belacan tradisional merupakan antara yang paling sedap dan ‘kena’ di tekak ramai orang. Kami kongsikan di sini beberapa cara buat sambal belacan yang boleh anda cuba. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Sambal belacan, pelengkap tradisi masakan Melayu

Dalam bahasa Inggeris, sambal belacan mungkin boleh dikategorikan sebagai bahan kondimen atau bahan perasa yang melengkapkan sesuatu hidangan utama.

Ia berfungsi menaikkan selera makan, menambahkan rasa pada hidangan dan juga sebagai bahan pencicah.

Sambal belacan merupakan satu hidangan yang ringkas dan mudah tetapi ikonik kepada budaya orang Melayu.

Disebabkan kepulauan Nusantara ini begitu luas, maka terhasil pelbagai jenis versi dan juga resipi sambal belacan sedap mengikut budaya dan negeri masing-masing.

Kami percaya, semua versi sambal belacan yang ada mempunyai keunikan dan rasa yang tersendiri.

Cara buat sambal belacan sedap yang boleh anda cuba!

Ada beberapa resipi istimewa sambal belacan yang boleh anda tukar-tukarkan setiap hari untuk hidangan seisi keluarga.

Ini resipinya:

#1. Sambal belacan ala kenduri@asrama

sambal belacan sedap

Kenapa ia dinamakan sebegini? Kerana ia biasa dibuat untuk dijamu kepada bilangan individu yang ramai seperti ketika kenduri atau untuk pelajar sekolah di asrama.

Ia pasti mengimbau kenangan anda ketika menikmati hidangan makanan. 

Bahan-bahan:

  • Beberapa tangkai cili padi (mengikut citarasa)
  • 4 ulas bawang putih
  • Setengah labu bawang Holland
  • 1 inci belacan 
  • Sedikit air asam jawa
  • 3 sudu besar cuka makan
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula

Cara penyediaan:

  1. Bakar bawang putih, bawang Holland dan juga belacan.
  2. Setelah itu, kisarkan bahan yang telah dibakar tadi bersama-sama cuka dan juga air asam jawa.
  3. Tuangkan bahan yang telah dikisar ke dalam mangkuk. 
  4. Masukkan garam dan gula. Kacau dan rasa sedikit untuk mengetahui jika cukup rasa masin dan manisnya.
  5. Sedia untuk dihidang.

#2. Sambal belacan sedap ala kampung

sambal belacan sedap

Sambal belacan ini agak mudah dan menggunakan bahan yang lebih ringkas.

Sesuai dengan namanya, ia lebih klasik dan boleh dikatakan sebagai resipi asas untuk sambal belacan. 

Bahan-bahan:

  • Beberapa tangkai cili kampung. Tahap kepedasan mengikut citarasa dan boleh ditambah lebih banyak kerana ia kurang pedas berbanding cili siam
  • 1 inci belacan
  • Setengah sudu pes asam jawa
  • 2 biji limau kasturi
  • 1 sudu besar gula

Cara penyediaan:

  1. Bakar dahulu belacan untuk menaikkan rasa dan aromanya.
  2. Tumbuk cili kampung dengan menggunakan lesung batu sehingga agak hancur. Jangan terlalu hancur kerana ia kurang enak.
  3. Setelah itu, masukkan belacan bakar dan teruskan menumbuk sehingga belacan hancur.
  4. Masukkan pes asam jawa ke dalam lesung. Perahkan jus limau kasturi dan masukkan bersama ke dalam lesung.
  5. Masukkan gula.
  6. Kacau menggunakan anak batu lesung dengan menggosok dan menenyeh sehinggalah kesemua bahan sebati dan gula menjadi larut. 
  7. Tambahkan garam jika mahu.
  8. Sedia untuk dihidang.

#3. Sambal belacan Thai

sambal belacan sedap

Resipi sambal belacan sedap ini berinspirasikan daripada resipi Thailand dengan menggunakan bahan yang agak berlainan daripada sambal belacan klasik.

Ini bahan dan cara buat sambal belacan Thai:

Bahan-bahan:

  • Beberapa tangkai cili padi merah dan juga hijau
  • 2 inci belacan
  • Setengah biji bawang besar
  • 1 labu bawang putih jeruk
  • ¼ keping gula nipah atau gula Melaka
  • 1 biji limau nipis

Cara penyediaan:

  1. Bakar belacan terlebih dahulu.
  2. Kemudian, masukkan kesemua bahan ke dalam mesin pengisar. Boleh juga ditumbuk jika mahu.
  3. Sebelum dikisar, masukkan sedikit cuka makan dan juga garam. Masukkan juga sedikit air bertapis atau air masak untuk memudahkan proses mengisar.
  4. Kisar sehingga kesemua bahan lumat dan sebati.
  5. Tuangkan ke dalam mangkuk dan perahkan jus daripada beberapa hirisan limau nipis.
  6. Siap untuk dicicah bersama ulam-ulaman.

Kesimpulan

Hendak membuat sambal belacan sedap tidaklah sesukar mana dan memerlukan hanya beberapa minit untuk menyediakannya.

Apa yang penting, anda tahu bahan asas untuk membuat sambal belacan.

Jika anda sudah mahir, anda mungkin tahu bahan alternatif atau tambahan lain yang boleh membuatkan sambal anda lebih enak. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sambal Belacan. https://babanyonyaperanakans.org/tag/sambal-belacan/. Accessed on November 16, 2022. 

Belacan. https://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_2013-06-26_105819.html. Accessed on November 16, 2022.

Making and Use of Sambal. https://www.roots.gov.sg/ich-landing/ich/Making-and-Use-of-Sambal. Accessed on November 16, 2022.

Sambal Belacan. https://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Selera%20Kampung%20Kitani/NewDisplayForm.aspx?ID=71&ContentTypeId=0x0100425A429B783F8D4F97D14C9B56185087. Accessed on November 16, 2022.

Belacan. https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/dmdocuments/malaysia_focus_1_2015/files/assets/common/downloads/page0029.pdf. Accessed on November 16, 2022.

Versi Terbaru

19/12/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Ini Cara Nak Buat Cili Kisar Tahan Lama, Tak Mudah Berkulat Dalam Peti Ais!

Ini 3 Tip Pilih Cili Kering Tak Pedas, (Bonus: Ada Petua Nak Hilangkan Pedas Cili Ketika Memasak!)


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/12/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan