backup og meta

Ini 3 Tip Mudah Masak Sotong, Barulah Tak Hanyir, Tak Kecut & Pejal Bila Dimakan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/04/2023

    Ini 3 Tip Mudah Masak Sotong, Barulah Tak Hanyir, Tak Kecut & Pejal Bila Dimakan!

    Nak masak sotong pun perlu ada tekniknya. Mengapa? Barulah sotong yang dimasak nanti tidak mengecut, pejal dan tidak berbau hanyir. Ini beberapa kaedah dan cara masak sotong yang anda boleh cuba buat di rumah. Ekstra untuk anda, cara siang sotong paling mudah. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Sotong, antara lauk kegemaran ramai

    lauk masak hitam

    Mungkin ada yang kurang menggemari sotong disebabkan baunya yang agak hanyir.

    Namun, kebanyakan orang kita amat gemarkan makanan laut yang satu ini.

    Terdapat pelbagai jenis sotong yang boleh dijumpai di pasar. Antaranya ialah seperti sotong jarum, sotong putih, sotong katak dan sotong kembang.

    Semua jenis sotong ini mempunyai resipi atau kaedah memasaknya yang tersendiri.

    Antara hidangan sotong yang popular dalam masyarakat Melayu ialah seperti sambal sotong, sotong masak kunyit, ketupat sotong (masakan istimewa Pantai Timur), sotong masak hitam dan juga sotong masak kari

    Cara masak sotong supaya kekal pejal, tak kecut

    Apa pun jenis sotong yang anda gunakan, anda kena tahu cara untuk mengurangkan hanyirnya selain menjadikan isi sotong kekal pejal ketika dimasak.

    Antara petua atau cara masak sotong ialah:

    Cara masak sotong 1: Guna asam keping

    cara masak sotong

    Kaedah ini cukup mudah. Anda hanya memerlukan beberapa keping asam keping atau asam gelugur untuk mengelakkan sotong mengecut.

    Cara-caranya adalah seperti di bawah ini:

    1. Siang sotong terlebih dahulu. Buang isi perut dan tulang sotong sebelum dicuci bersih dengan air paip. 
    2. Masukkan kepala sotong ke dalam badannya. 
    3. Rebus sotong yang telah dicuci bersama asam keping selama 5 hingga 8 minit sahaja. Elakkan merebus terlalu lama kerana sotong akan menjadi liat.
    4. Setelah sotong masak, toskan dan masak sotong mengikut citarasa anda.
    5. Elak menggunakan semula air sotong kerana ia akan menyebabkan lauk berbau hanyir dan berasa masam

    Cara sediakan sotong 2: Guna cuka

    cara masak sotong

    Cara masak sotong ini mungkin agak jarang dilakukan oleh ramai orang.

    Tetapi ia juga dikatakan berkesan mengelakkan sotong menjadi kecut ketika dimasak.

    Apa yang anda perlukan ialah sotong, 1 cawan air dan juga 2 sudu besar cuka.

    Anda boleh ikuti cara penyediaannya seperti di bawah ini:

  • Bersihkan sotong seperti biasa. Buang isi perut serta tulangnya dan cuci bersih. Masukkan sotong dalam satu bekas atau besen.
  • Kemudian, tuangkan air dan juga cuka ke dalam bekas sotong. Gaul rata sehingga air dan juga cuka merata pada sotong. Biarkan selama 5 minit.
  • Setelah itu, toskan sotong dan buang air sotong.
  • Sotong sedia untuk dimasak mengikut keinginan anda. 
  • Cara masak sotong 3: Guna garam

    cara masak sotong

    Cara ini amat sesuai untuk menjadikan sotong yang sudah agak lama kembali gebu dan pejal selain menghilangkan hanyirnya.

    Bahan yang diperlukan cukup mudah iaitu sekadar sotong dan juga garam.

    Cara-caranya adalah:

    1. Ambil garam dan juga sotong yang telah dibersihkan. 
    2. Taburkan garam pada sotong dan letakkan sedikit air sahaja.
    3. Gaul sehingga sebati dan ramas-ramas sotong tersebut.
    4. Bilas sotong dan sedia untuk dimasak.

    Cara siang sotong paling mudah!

    Bagi anda yang mahu menyiang sotong dengan cara yang agak mudah, ikut sahaja langkah di bawah ini:

    1. Bilas semua sotong dengan air paip terlebih dahulu. 
    2. Kemudian, tarik kepala sotong daripada badannya. Untuk teknik yang lebih baik, cuba pisahkan kepala yang melekat dengan badannya terlebih dahulu sebelum ditarik. Ini untuk memastikan agar segala isi perut sotong boleh ditarik keluar bersama kepalanya. 
    3. Setelah itu, tanggalkan isi perut yang melekat itu daripada kepala sotong. Pada isi perut inilah terdapat kantung dakwatnya. Jika anda hendak membuat sotong masak hitam, anda boleh menarik kantung dakwat ini dan gunakannya ketika memasak nanti.
    4. Bagi bahagian badan, tarik keluar tulang sotong dahulu.
    5. Kemudian, bilas bahagian dalam badannya sebelum dipotong.
    6. Potong kecil mengikut citarasa anda. 
    7. Bilas bersih kesemua bahagian sotong sebelum dimasak.

    Kesimpulan

    Menyiang dan memasak sotong tidaklah begitu sukar kerana sotong adalah antara makanan laut yang cepat dimasak dan mudah disiang.

    Amalkan tip di atas tadi sewaktu menyediakan sotong supaya ia kekal gebu, pejal, tidak liat dan tidak hanyir. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan