Terdapat pelbagai variasi minuman kopi yang dicampur dengan susu. Antaranya Latte, Cappuccino dan Mocha. Namun, adakah terdapat manfaat tambahan minum kopi bersama susu? Adakah susu dalam air kopi akan mengurangkan kafeinnya?
Kesan campuran susu dalam air kopi
Tahukah anda, susu yang dicampur dalam kopi bukan hanya memberikan rasa dan bau yang berbeza, namun ia sebenarnya lebih daripada itu.
Ada kajian bagi melihat kesan susu terhadap pelepasan polifenol dalam tubuh selepas meminum kopi.
Polifenol adalah sejenis antioksidan yang ada dalam air kopi. Polifenol memberikan banyak manfaat dan kebaikan kepada kesihatan tubuh.
Dalam kajian yang dijalankan, beberapa individu dewasa diberi pelbagai jenis kopi bermula daripada kopi segera sehinggalah ke kopi yang dicampur dengan susu. Selepas responden ini meminumnya, penyelidik menunggu dalam tempoh 12 jam sebelum mula mengambil sampel darah mereka untuk diuji.
Hasil kajian menunjukkan, pertambahan susu ke dalam kopi tidak memberikan sebarang kesan terhadap kadar penyerapan polifenol dalam darah.
Walaupun penggunaan krimer bukan tenusu melambatkan penyerapan polifenol dalam darah, namun ia tidak menyekat jumlah polifenol yang masuk ke dalam darah.
Dengan kata yang lebih mudah, apa pun yang anda tambah dalam kopi termasuklah susu, tidak menyekat polifenol daripada diserap dalam darah.
Dengan itu, tubuh badan anda boleh mendapat manfaat polifenol tanpa sebarang masalah jika anda minum kopi walaupun dicampur susu.
Jika saya minum kopi dengan susu, adakah kandungan kafein akan berkurangan?
Tidak sama sekali. Menambahkan susu dalam air kopi anda tidak sekali-kali akan mengurangkan jumlah kafein di dalamnya.
Walaupun anda menambah jumlah susu yang banyak di dalamnya, jumlah kafein dalam kopi tersebut adalah sama sahaja.
Susu tidak akan bertindak balas dengan air kopi anda dan mengurangkan kafein dalam air kopi. Bagaimana dengan air kosong pula, adakah ia akan mengurangkan kafein kopi? Jawapannya juga tidak.
Kesannya adalah sama seperti mana anda menambahkan susu ke dalam kopi. Ia hanya akan bertindak mencairkan kandungan kafein, namun tidak sesekali mengurangkannya.
Ini cara untuk anda kurangkan kafein dalam air kopi anda
Namun, ada beberapa langkah yang boleh anda gunakan untuk kurangkan pengambilan kafein dalam kopi.
#1. Kurangkan guna serbuk kopi
Bagi mengurangkan kadar kafein dalam kopi, anda perlulah mengurangkan penggunaan serbuk kopi bagi setiap cawan yang anda bancuh. Kurangkan separuh daripada serbuk kopi, maka jumlah kafein yang akan diserap kelak juga hanya separuh.
#2. Kisar biji kopi dengan lebih kasar
Serbuk kopi yang lebih halus akan memberi tindak balas yang lebih banyak. Maka, lebih banyak kafein akan terhasil.
Oleh itu, anda perlu kisar biji kopi dengan kisaran yang lebih kasar dan tidak terlalu halus untuk kurangkan pengeluaran kafein.
#3. Guna kopi tanpa kafein/decaf
Cuba gunakan kopi tanpa kafein pula. Jika anda tidak mahu kurangkan penggunaan biji kopi, anda boleh campurkan separuh serbuk kopi biasa anda dengan separuh kopi decaf.
Cara ini juga akan kurangkan kafein ketika anda minum kopi.
#4. Kurangkan waktu membuat kopi (brew)
Semakin kurang masa anda brew kopi, maka semakin kurang juga kafein yang keluar daripada biji kopi. Keluarkan biji kopi daripada cawan anda selepas anda membancuh kopi anda.
Semakin lama biji kopi di dalam air bancuhan, maka semakin banyak kafein yang akan terhasil.
Jadi, adakah saya patut minum kopi dengan susu atau tidak?
Bagi mereka yang mempunyai keadaan perut yang berasid, anda boleh cuba mencampurkan susu ke dalam kopi bagi mengurangkan keasidan kopi.
Kopi adalah minuman yang berasid, justeru ia akan membuatkan perut anda lebih merana jika tidak mengurangkan keasidannya. Selain itu, penambahan susu juga disarankan untuk mengurangkan risiko kanser tekak.
Pengurangan risiko ini bukanlah disebabkan oleh ciri nutrisi yang ada pada susu, tetapi kerana susu boleh menurunkan suhu kopi yang panas.
Sebarang minuman yang panas boleh menyebabkan keadaan melecur pada tisu esofagus. Keadaan melecur ini boleh menyumbang kepada risiko pembentukan kanser tekak.
Namun, jika anda ingin menurunkan berat badan, anda tidak seharusnya menambahkan susu dalam kopi anda. Kalori akan bertambah jika anda menambahkan susu ke dalam kopi.
Sebagai perbandingan, secawan kopi hitam hanya mengandungi sekitar 5 kalori sahaja. Namun, jika secawan kopi ditambah dengan susu dan gula, ia akan mempunyai sekitar 56 kalori!
Semoga perkongsian ini berguna.
[embed-health-tool-bmr]