Pada zaman dahulu, orang tua-tua pasti akan melarang anak-anak daripada memakan telur ikan goreng. Katanya, telur ini boleh menyebabkan anak menjadi kurang pandai atau bahasa mudahnya bodoh.
Adakah fakta ini benar? Mari kita lihat penerangan mengenainya di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Makan telur ikan boleh buat anak jadi bodoh?
Pantang larang makan telur untuk kanak-kanak ini merupakan satu amalan yang telah lama wujud.
Malah, ada sesetengah ibu bapa yang masih percaya dengan petua ini. Namun sebenarnya, telur ini tidak membuatkan otak anak menjadi bodoh.
Malah, ia sebenarnya boleh memberikan beberapa kebaikan dan manfaat apabila dimakan.
Nutrisi daripada telur ini adalah sama sahaja seperti ketika kita memakan isi atau daging ikan.
Apa kebaikan makan telur ikan?
Telur ini boleh dikatakan sebagai salah satu sumber terbaik bagi mendapatkan lemak sihat.
Selain itu, terdapat beberapa kebaikan lain jika anda memakan telur ini.
Antaranya ialah:
#1. Menggalakkan perkembangan otak
Berbeza dengan dakwaan sebelum ini, telur ini sebenarnya boleh membantu menggalakkan kesihatan otak.
Satu hidangan telur boleh memberikan 439 miligram asid lemak omega-3 EPA dan 608 miligram DHA.
Asid lemak omega-3 adalah lemak sihat penting yang mesti diambil dalam diet kerana badan kita tidak menghasilkannya secara semula jadi.
Asid lemak ini biasanya terdapat dalam telur makanan laut dan juga ikan.
Pengambilan asid lemak ini juga boleh membantu melawan penuaan kognitif serta meningkatkan kesihatan dan pembaikan otak.
#2. Meningkatkan kesihatan jantung
Selain daripada itu, telur ikan goreng juga sangat bermanfaat untuk kesihatan jantung anda.
Asid lemak omega-3 yang terdapat dalam telur ini boleh membantu mengurangkan tahap kolesterol yang tidak sihat.
Selain itu, ia boleh meningkatkan aspek kesihatan jantung yang lain dan mencegah penyakit jantung.
Bukan itu sahaja, EPA dan DHA juga boleh mengurangkan lipid yang boleh membawa kepada risiko penyakit kardiovaskular.
Malah, kajian telah menunjukkan bahawa penghidap penyakit kardiovaskular yang mengambil asid lemak daripada telur ini mempunyai risiko yang semakin berkurangan untuk mengalami kematian secara tiba-tiba akibat penyakit kardiovaskular.
#3. Mungkin melegakan masalah sakit sendi kronik (rheumatoid arthritis)
Para penyelidik percaya bahawa, asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan dan telurnya boleh membantu mengurangkan gejala rheumatoid arthritis atau sakit sendi yang kronik.
Telur yang ada pada ikan dengan omega-3 juga mungkin bersifat antiradang dan menyekat pengeluaran sitokin penyebab keradangan.
Kajian tidak dijalankan secara khusus terhadap telurnya tetapi lebih kepada omega-3 yang terdapat dalam telur dan makanan laut lain.
#4. Menyokong kesihatan mata
Tahukah anda, kedua-dua DHA dan EPA adalah penting untuk perkembangan visual pada bayi dan fungsi retina pada kanak-kanak dan orang dewasa?
Mereka yang tidak mendapat kandungan omega-3 mencukupi dalam diet mungkin akan mempunyai peningkatan risiko retinopati diabetik, degenerasi makula yang berkaitan dengan usia dan sindrom mata kering.
Oleh itu, makanlah telur ini untuk mengurangkan risiko penyakit seperti yang telah dinyatakan.
#5. Boleh bantu kurangkan tekanan darah tinggi
Selain itu, asid lemak omega-3 dalam telur ikan membantu mengurangkan pembekuan darah dan keradangan dalam badan.
Ia juga boleh membantu mengembangkan saluran darah dan menurunkan tekanan darah yang anda alami.
Secara keseluruhannya, pengambilan telur dengan asid lemak juga boleh membantu mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik, terutamanya bagi mereka yang mengalami hipertensi.
Amaran mengenai telur ini!
Walaupun telur ikan tidak menyebabkan otak menjadi bodoh, akan tetapi terdapat beberapa perkara lain yang mungkin membahayakan kesihatan anda.
Ramai yang tidak tahu bahawa telur ini mempunyai kandungan kolesterol dan juga garam yang agak tinggi.
Oleh itu, ia mungkin kurang sesuai untuk dimakan dengan kerap khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit darah tinggi.
Selain itu, telur ini juga tinggi dengan kandungan purin yang amat tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai gout atau tinggi kandungan asid urik dalam badan.
Jika tidak pasti jumlah yang boleh anda makan, bertanyalah kepada doktor yang merawat anda.
[embed-health-tool-bmi]