Sekiranya biopsi anda akan dilakukan menggunakan pengimejan resonans magnetik (MRI), maklumkan kepada doktor jika anda mempunyai perentak jantung atau peranti elektronik lain yang ditanam di dalam badan anda atau jika anda hamil atau anda mungkin mengandung.
MRI secara umum tidak digalakkan dalam keadaan ini.
Pakai bra semasa janji temu anda. Pasukan penjagaan kesihatan anda boleh meletakkan pek sejuk terhadap bahagian biopsi selepas prosedur, dan bra boleh memegang pek sejuk pada tempatnya serta memberikan sokongan untuk payudara anda.
Apakah yang berlaku semasa prosedur biopsi payudara?
Semasa biopsi pembedahan, sebahagian daripada massa payu dara dikeluarkan untuk pemeriksaan (biopsi insisi) atau keseluruhan massa payudara boleh dikeluarkan (biopsi eksisi, eksisi setempat yang luas atau lumpektomi).
Biopsi pembedahan biasanya dilakukan di dalam bilik pembedahan menggunakan sedasi yang diberikan melalui vena di tangan atau lengan anda (intravena) dan anestetik setempat untuk memberi rasa kebas pada payudara anda.
Jika massa payudara tidak dapat dirasai, ahli radiologi anda boleh menggunakan teknik yang dikenali sebagai persetempatan wayar untuk memetakan laluan ke massa untuk pakar bedah.
Semasa persetempatan wayar, hujung wayar yang nipis diletakkan dalam massa payudara atau hanya melaluinya. Hal ini biasanya dilakukan sejurus sebelum pembedahan.
Semasa pembedahan, pakar bedah akan cuba mengeluarkan keseluruhan massa payudara berserta wayar.
Bagi membantu memastikan keseluruhan massa dikeluarkan, tisu dihantar ke makmal hospital untuk mengesahkan sama ada kanser payudara telah dikesan dan jika demikian, bahagian tepi (margin) massa akan dinilai untuk menentukan sama ada sel kanser terdapat dalam margin (margin positif).
Jika sel-sel kanser terdapat pada margin tersebut, anda akan dijadualkan untuk pembedahan lain supaya lebih banyak tisu dapat dikeluarkan.
Jika margin jelas (margin negatif), maka kanser telah dikeluarkan secukupnya.
Apakah yang berlaku selepas biopsi payudara?
Selepas prosedur tersebut, anda akan pulang ke rumah dengan hanya pembalut dan pek ais pada kawasan biopsi.
Walaupun anda perlu bertenang sepanjang hari, anda mampu meneruskan aktiviti normal anda dalam sehari.
Lebam adalah perkara biasa selepas prosedur biopsi jarum teras.
Bagi meringankan kesakitan dan ketidakselesaan selepas biopsi payudara, anda boleh mengambil ubat pelega sakit bukan-aspirin yang mengandungi acetaminophen dan meletakkan pek sejuk yang diperlukan untuk mengurangkan bengkak.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang biopsi payudara, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik arahan anda.
Penjelasan keputusan
Apakah maksud keputusan saya?

Laporan patologi merangkumi butiran tentang saiz dan konsistensi sampel tisu, lokasi kawasan biopsi, dan sama ada kanser, bukan kanser (tidak berbahaya) atau terdapat sel prakanser.
Jika keputusan biopsi payudara anda mendedahkan perubahan payudara yang normal atau tidak berbahaya, doktor anda perlu melihat sama ada ahli radiologi dan ahli patologi bersetuju dengan penemuan tersebut. Kadang-kadang pendapat kedua-dua pakar ini berbeza.
Contohnya, ahli radiologi mungkin mendapati bahawa hasil mamogram anda menyatakan lesi yang lebih mencurigakan seperti kanser payudara atau lesi prakanser, tetapi laporan patologi anda mendedahkan tisu payudara adalah normal.
Dalam kes ini, anda mungkin memerlukan lebih banyak pembedahan untuk mendapatkan lebih banyak tisu bagi menilai lebih lanjut kawasan tersebut.
Jika laporan patologi anda mengatakan bahawa terdapat kanser payudara, ia akan menyertakan maklumat tentang kanser itu sendiri, seperti apa jenis kanser payudara yang anda alami dan maklumat tambahan, sama ada kanser adalah reseptor hormon positif atau negatif.
Anda dan doktor anda kemudian boleh membuat pelan rawatan yang sesuai dengan keperluan anda.
Bergantung kepada makmal dan hospital, julat normal untuk biopsi payudara mungkin berbeza-beza.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen