backup og meta

Alternatif Penggunaan Gula Dalam Masakan, Betul Ke Gula Melaka Lebih Sihat Daripada Gula Pasir?

Alternatif Penggunaan Gula Dalam Masakan, Betul Ke Gula Melaka Lebih Sihat Daripada Gula Pasir?

Di Malaysia, kita biasa menggunakan jenis gula palma dalam masakan, contohnya dalam pembuatan cendol. Namun, adakah penggunaan gula palma ini lebih baik berbanding gula biasa seperti gula pasir?

Baca penerangan di bawah ini.

Apa itu gula palma?

Gula palma adalah satu istilah umum yang merujuk kepada jenis gula yang dihasilkan daripada pohon-pohon palma.

Antara jenis pohon palma adalah seperti pokok kelapa dan pokok nipah.

Daripada pokok-pokok ini, maka terhasillah pelbagai jenis gula yang kita kenali dengan pelbagai nama.

Antaranya gula merah, gula Melaka, gula kerek, gula kabung, gula kelapa dan gula nisan. 

Gula ini dihasilkan dengan cara mendapatkan sap atau cecair yang keluar daripada tunas bunga pohon tersebut setelah dipotong atau dihiris.

Cecair ini biasa dikumpulkan daripada beberapa batang pokok dan dimasak sehingga menjadi pekat.

Setelah pekat, ia akan dituang ke dalam acuan bagi membentuk ketulan blok gula seperti yang kita lihat di pasar. 

Adakah gula palma ini lebih baik daripada gula biasa?

gula biasa

Gula palma dikelaskan sebagai sejenis gula semula jadi. Ini kerana, proses penghasilan gula ini adalah sangat minimum berbanding gula biasa yang telah diproses dan ditapis berperingkat-peringkat.

Dari sudut kesihatan, gula jenis ini boleh dikatakan sebagai pilihan gula yang lebih sihat berbanding jenis gula yang lain.

Sebabnya ialah, gula palma hanya melalui satu peringkat pemprosesan iaitu dimasak sehingga menjadi pekat.

Ini menjadikan proses penghasilannya sangat sedikit dan tidak mengandungi sebarang bahan kimia tambahan di dalamnya.

Disebabkan proses penghasilan yang minimum, gula ini masih mengekalkan hampir keseluruhan kandungan semula jadinya seperti kandungan vitamin dan mineral.

Oleh itu, gula ini dianggap sebagai jenis gula semula jadi, bukannya gula diproses seperti gula biasa iaitu gula pasir.

Kandungan nutrisi dalam sesudu gula jenis ini

Berikut adalah kandungan nutrisi yang terkandung dalam satu sudu gula palma:

  • Kalori: 54
  • Karbohidrat: 15 gram
  • Gula; 15 gram
  • Protein: 0 gram
  • Lemak: 0 gram
  • Serat: 0 gram
  • Mengandungi kandungan mineral iaitu fosforus, potasium, zink, dan zat besi

Selain itu, gula palma juga masih mengekalkan kandungan 16 jenis amino asid yang sama jumlahnya daripada tunas bunga ia diambil.

Asid amino adalah sangat penting dalam pembentukan dan pembaikan sel tubuh badan kita.

Manfaat kesihatan gula palma

gula palma

Terdapat beberapa kebaikan jenis gula ini terhadap kesihatan anda. Manfaat-manfaat inilah yang membezakannya dengan jenis gula yang lain dan menjadikannya lebih baik.

Rendah indeks glisemik (GI)

Salah satu sebab utama mengapa gula ini lebih menyihatkan adalah kerana indeks glisemiknya yang rendah.

Indeks glisemik berperanan mengukur bagaimana karbohidrat memberi kesan kepada gula darah anda.

Jika indeks glisemik sesuatu makanan itu tinggi, maka gula daripada makanan tersebut lebih pantas diserap ke dalam darah. Ini akan menjadikan paras gula darah meningkat dengan lebih cepat.

Jadi, apabila anda menggunakan gula palma, maka gula dalam tubuh anda akan diserap dengan lebih lambat. Ini akan mengelakkan paras gula darah daripada meningkat dengan cepat.

Nilai GI gula ini adalah 35, manakala bagi gula biasa ialah 68.

Mengandungi inulin

Inulin ialah sejenis serat diet dan ia boleh didapati dalam gula jenis ini.

Inulin bertindak mengawal kandungan bakteria dalam usus anda, sekali gus menggalakkan aktiviti pencernaan yang baik.

Dengan itu, lebih banyak nutrien makanan dapat diserap ke dalam tubuh. 

Mengawal fungsi sistem saraf

Gula jenis ini kaya dengan kandungan potasium. Malah, kandungan potasium di dalamnya jauh lebih banyak berbanding sayur-sayuran.

Potasium diperlukan oleh tubuh badan bagi mengawal fungsi sistem saraf tubuh dengan baik. Antaranya adalah mengawal degupan jantung. 

Namun, ia tidak boleh diambil sesuka hati

Walaupun kami menyatakan beberapa manfaat dan kebaikan gula ini, tidak bermakna anda boleh mengambilnya secara berlebihan tanpa had. Gula palma tetap sejenis gula.

Jika ia diambil secara berlebihan, ia boleh memberikan kesan negatif lain seperti risiko mendapat kencing manis, kenaikan berat badan serta merosakkan gigi.

Kami tidak mengatakan bahawa gula ini sangat baik, tetapi ia adalah jenis gula yang lebih baik dan lebih menyihatkan berbanding gula biasa lain seperti gula pasir.

Anda tetap perlu mengawal pengambilan gula jenis ini secara sederhana. 

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Asghar, MT, Yusof, YA, Mokhtar, MN, et al. Coconut (Cocos nucifera L.) sap as a potential source of sugar: Antioxidant and nutritional properties. Food Sci Nutr. 2020; 8: 1777– 1787. https://doi.org/10.1002/fsn3.1191

https://www.medindia.net/patients/lifestyleandwellness/health-benefits-of-palm-sugar.htm

Versi Terbaru

08/09/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Selain Jaga Pemakanan, 10 Cara Ini Berkesan Turunkan Bacaan Gula Darah!

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan