Ikan bilis merupakan antara lauk atau bahan tambahan yang mesti ada dalam hidangan nasi lemak. Malah, bubur ayam atau bubur kosong juga lebih enak jika ditambah dengan ikan bilis goreng. Tetapi, ada kalanya ikan bilis yang digoreng menjadi lembik atau liat apabila sudah sejuk. Jadi, bagaimana untuk menjadikan ikan ini kekal rangup walaupun sudah sejuk berjam-jam? Ikuti resipi di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Ikan bilis kaya nutrien
Tahukah anda, bagi setiap 45 gram ikan ini, ia akan membekalkan 13 gram protein, 4 gram lemak, zat besi, kalsium dan juga vitamin B3 kepada tubuh anda.
Ikan ini mempunyai kandungan vitamin B3 yang agak tinggi dan sangat membantu dalam menukarkan makanan kepada bentuk tenaga.
Selain itu, ikan ini juga amat tinggi dengan kandungan selenium.
Selenium merupakan sejenis mineral yang sangat penting dalam fungsi jantung, tiroid, kesihatan tulang dan juga sistem imun tubuh.
Bukan itu sahaja, ikan ini juga kaya dengan asid lemak omega-3 yang biasanya dikaitkan dengan ikan salmon atau tuna.
Resipi ikan bilis goreng rangup
Bagi anda yang ingin menikmati kerangupan ikan ini walaupun telah sejuk, anda boleh mencuba resipi dan teknik di bawah ini.
#1. Goreng dengan cuka
Bahan-bahannya:
- Ikan bilis
- Cuka
- Minyak masak
Cara-caranya:
- Cuci ikan sehingga bersih. Seeloknya cuci lebih awal sebelum mula menggoreng bagi menyejatkan kandungan air pada ikan.
- Kemudian, renjiskan sedikit cuka makan pada ikan tersebut. Gaul sehingga rata.
- Panaskan minyak dan gorengkan seperti biasa.
- Setelah masak dan garing, angkat dan toskan minyak.
- Simpan dalam bekas kedap udara.
#2. Ikan bilis goreng dengan tepung tempura
Bahan-bahannya:
- Ikan bilis
- Tepung tempura (gunakan jenama kegemaran anda)
- Minyak masak
Cara-caranya:
- Cuci bersih ikan. Seeloknya bilas beberapa kali untuk mengurangkan rasa masin pada ikan.
- Taburkan 2 sudu tepung tempura dan gaulkan sehingga rata.
- Panaskan minyak dan gorengkan ikan tersebut sekurang-kurangnya 5 minit.
- Angkat dan toskan minyak pada ikan.
- Sedia untuk dihidang.
#3. Sejukkan ikan dahulu
Bahan-bahannya:
- Ikan bilis
- Minyak masak
Cara-caranya:
- Basuh bersih ikan sehingga air basuhan menjadi agak jernih.
- Kemudian, toskan ikan.
- Setelah itu, simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam. Ini untuk memastikan agar tiada sebarang air atau kelembapan pada ikan tersebut.
- Setelah cukup 1 jam, panaskan minyak masak dan gorengkan ikan seperti biasa.
- Setelah masak, angkat dan toskan ikan bilis goreng.
- Sedia untuk dihidang.
Tip lain jadikan ikan bilis goreng sentiasa rangup!
Selain daripada tiga resipi di atas, ada beberapa tip yang perlu anda perhatikan agar ikan yang digoreng kekal rangup dan tidak liat.
Antaranya ialah:
- Jangan terus letakkan ikan yang masih basah ke dalam kuali. Ikan yang masih basah dan berair akan menurunkan suhu minyak masak lalu menjadikan ikan lembik dan liat. Selain itu, ikan yang masih basah akan menjadi lebih berminyak selepas anda menggorengnya.
- Goreng sehingga tiada buih dalam minyak. Sewaktu anda meletakkan ikan dalam minyak panas, minyak akan menjadi berbuih ketika proses penggorengan. Angkat ikan hanya apabila buih minyak sudah tiada. Itu tandanya wap air sudah tiada.
- Gunakan suhu sederhana panas. Minyak yang panas amat penting untuk menjadikan ikan bilis goreng rangup. Jika anda menggoreng ikan pada suhu yang tidak begitu panas, ikan masih akan masak tetapi tidak rangup.
- Jangan letakkan ikan terlalu banyak. Jangan sesekali meletakkan jumlah ikan yang terlalu banyak dalam satu-satu masa ketika menggoreng. Ini juga akan menyebabkan suhu minyak menjadi kurang panas. Ikan yang digoreng juga akan menjadi lembik dan tidak rangup. Sebaliknya, goreng ikan sedikit demi sedikit agar ia kekal rangup.
- Keringkan dengan tisu dapur. Salah satu teknik untuk menjadikan ikan rangup adalah dengan mengeringkannya menggunakan tisu dapur. Ia bertujuan untuk menyejatkan kelembapan yang masih ada pada ikan.
Kesimpulan
Ikan bilis mempunyai banyak nutrien dan khasiat yang baik untuk tubuh. Namun ia akan menjadi kurang enak dimakan jika teksturnya agak keras, liat atau terlalu lembik.
Oleh itu, gunakan tip-tip di atas agar ikan anda kekal rangup walaupun sudah sejuk.
[embed-health-tool-bmr]