Apa itu Hernia Inguina (angin pasang)?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Hernia Inguina (angin pasang)?

Hernia inguina adalah suatu keadaan apabila sebahagian daripada usus anda terjulur keluar melalui bukaan/lubang pada dinding abdomen (perut) di bahagian ari-ari. Lubang ini mungkin disebabkan oleh satu kawasan yang lemah atau nipis pada selaput membran dan dinding abdomen tersebut. Apabila menerima tekanan daripada usus, selaput membran boleh pecah dan usus anda akan menembusi keluar lubang ini.

Hernia inguina ini tidak bertambah baik atau buruk jika dibiarkan tanpa rawatan, namun ia boleh membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Atas sebab ini, doktor anda barangkali akan menasihati supaya pembedahan dijalankan untuk membaiki hernia inguina yang dirasakan sakit atau bertambah besar. Ia boleh menghasilkan bonjolan pada dinding abdomen anda dan menghasilkan rasa sakit ketika anda batuk, menunduk mahupun ketika menjalankan kerja berat; atau ia berpotensi mengganggu sistem penghadaman anda.

Apakah kebarangkalian Hernia Inguina (angin pasang)?

Hernia inguina ini adalah perkara biasa. Lazimnya ia melibatkan lelaki lebih daripada wanita. Ia juga boleh melibatkan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diatasi dengan mengurangkan faktor-faktor risiko pada diri anda. Sila bincang dengan doktor anda untuk maklumat selanjutnya.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Hernia Inguina (angin pasang)?

Kadangkala hernia inguina boleh berlaku tanpa sebarang simptom. Jika hernia itu kecil, anda mungkin tidak dapat melihatnya dengan jelas dari luar atau merasai sakit. Pada sesetengah keadaan, rasa senak atau kembung boleh dirasai pada kawasan ari-ari. Kebiasaannya hernia itu boleh ditolak kembali masuk ke dalam rongga abdomen dengan beberapa kaedah mengurangkan tekanan pada dinding abdomen, seperti bersandar atau berbaring.

Komplikasi akan terhasil apabila hernia itu tersekat pada dinding abdomen. Ini akan menyekat saluran darah ke bahagian hernia tersebut. Tisu yang tersekat pada hernia tersebut boleh mati jika saluran darah tidak mencukupi. Bahkan, ia akan menghasilkan sumbatan pada sistem penghadaman anda. Justeru sekiranya hernia anda tersekat, maka ia dikira sebagai kes kecemasan.

Ada kemungkinan terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Sila rujuk doktor anda jika terdapat sebarang masalah mengenai  sesuatu simptom.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai mana-mana tanda atau simptom berikut, sila temui doktor anda.

  • Sekiranya terdapat simptom luar biasa atau kewujudan bonjolan baru pada perut anda.
  • Sekiranya anda berasa sakit ketika menunduk ke bawah, tetapi bertambah baik ketika berehat.
  • Sekiranya suhu badan anda melebihi 37.8°C.

Namun ingat, tindak balas badan setiap orang berbeza-beza. Perbincangan dengan doktor anda berkenaan apa tindakan yang paling sesuai untuk keadaan anda adalah jalan terbaik.

Punca

Apakah Punca Hernia Inguina (angin pasang)?

Hernia inguina adalah disebabkan oleh kelemahan pada otot dinding perut (abdomen). Terdapat beberapa sebab kenapa titik kelemahan boleh terhasil pada dinding abdomen. Pada orang dewasa, ia barangkali terhasil dari suatu kecacatan sejak lahir, manakala pada kanak-kanak pula ia lazimnya kerana dinding abdomen masih belum sepenuhnya terbina dengan baik. Hernia boleh terhasil secara perlahan ataupun tiba-tiba, bergantung kepada sebabnya.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Hernia Inguina (angin pasang)?

Terdapat banyak faktor risiko bagi hernia inguina seperti:

  • Pesakit lelaki. Hernia lebih lazim berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Ia mungkin berkait dengan proses penurunan testikel (telur) pada bayi lelaki, dari rongga abdomen ke kantung testikel.
  • Sejarah keluarga. Risiko anda mengalami hernia inguina meningkat jika anda mempunyai kerabat keluarga seperti ibu/ayah atau adik beradik yang mempunyai masalah ini.
  • Beberapa masalah kesihatan lain. Sesetengah masalah kesihatan seperti cystic fibrosis (fibrosis sista) dan cirit-birit kronik, boleh membawa kepada keadaan batuk yang kronik, akhirnya meningkatkan tekanan pada dinding abdomen.
  • Berat berlebihan. Berat badan yang berlebihan secara sederhana mahupun teruk akan meletakkan tekanan tambahan pada dinding abdomen anda.
  • Kedua-dua kondisi ini boleh melemahkan dinding abdomen dan meningkatkan tekanan dalam abdomen.
  • Sesetengah pekerjaan. Mempunyai pekerjaan yang menuntut supaya berdiri dalam tempoh yang lama atau menjalankan kerja fizikal yang berat boleh meningkatkan risiko pembentukan hernia inguina.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Hernia Inguina (angin pasang) didiagnosis?

Doktor akan membuat diagnosis daripada riwayat perubatan dan pemeriksaan fizikal yang dilaksanakan pada posisi duduk dan berdiri sambil berbatuk. Jika hernia anda boleh dilihat daripada luar, doktor anda akan merasai bonjolan tersebut dan bertanya jika anda merasai apa-apa kesakitan apabila ia disentuh.

Kadangkala ujian pengimejan akan digunakan bagi mengesahkan hernia inguina tersebut dan untuk mencari jika ada komplikasi lain. Beberapa contoh lazim ujian pengimejan adalah:

  • X-ray barium: anda akan minum cecair yang mengandungi barium bagi membantu penggambaran usus yang lebih baik pada foto x-ray;
  • Endoskopi: doktor anda akan menggunakan kamera kecil yang terpasang pada suatu tiub bagi melihat bahagian dalam usus anda.

Bagaimana pesakit Hernia Inguina (angin pasang) dirawat?

Walaupun hernia yang kecil mungkin tidak menghasilkan sebarang komplikasi, kebanyakan doktor menggalakkan supaya pembedahan dijalankan bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk. Pada pesakit bayi pula, adalah digalakkan untuk melaksanakan pembedahan secepat mungkin kerana ia berpotensi menjadi sakit pada bayi tersebut.

Pembedahan ini boleh dilaksanakan dengan kaedah tradisional – melalui cara pemotongan pada kulit – mahupun kaedah laparoskopik. Dalam pembedahan laparoskopik, doktor akan membuat pemotongan kecil pada kulit. Melalui pembukaan potongan tersebut, doktor akan memasukkan tiub yang dipasang kamera dan lampu bagi mengenalpasti hernia tersebut. Tiub lain yang dipasangkan alatan akan memegang hernia tersebut dan menolak kembali hernia ke dalam rongga abdomen, dan seterusnya menjahit lubang pembukaan pada dinding abdomen bagi menutupinya.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Hernia Inguina (angin pasang)?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan tersebut berpotensi membantu anda mengatasi hernia inguina:

  • Gunakan ubat tahan sakit selepas pembedahan seperti yang dinasihati oleh doktor anda.
  • Berjalan-jalan, bahkan menaiki tangga jika doktor anda membenarkan, namun jangan terlalu berlebihan.
  • Berhati-hati supaya anda tidak mengalami sembelit. Ambil makanan yang tinggi kandungan fiber dan minum lapan gelas air setiap hari. Anda mungkin memerlukan julap yang bertindak lembut (seperti susu magnesia).
  • Jalani hubungan kelamin apabila dibenarkan oleh doktor anda.
  • Jaga berat badan anda supaya tidak berlebihan.
  • Patuhi arahan keselamatan apabila anda mengangkat barang yang berat. Sila temui doktor anda jika mempunyai batuk yang berpanjangan atau kesan alahan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 3, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.