Remaja dan Bagaimana Memahami Jiwa Mereka

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masalah ponteng sekolah, merokok, melanggar peraturan, sentiasa bertengkar, dan mencuri merupakan antara isu yang sering dilakukan oleh individu remaja yang mempunyai jiwa memberontak. Mengapakah wujudnya jiwa yang memberontak ini? Apakah puncanya? Dan bagaimana untuk mengatasi remaja yang memberontak ini?

Mengapa remaja memberontak?

Perlu diingatkan bahawa individu remaja secara semula jadinya memang suka memberontak; jika sekali sekala terdapat pertengkaran kecil yang berlaku dan melibatkan anak anda, ia tidak bermakna anak anda bermasalah. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa mereka berkembang dengan sihat dan berkeyakinan menyuarakan pendapat mereka dan berupaya membentuk pandangan sendiri.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi punca yang menyebabkan remaja suka memberontak. Kita semua sebagai ibu bapa, pernah melalui dan merasai zaman muda. Antara faktor umum yang boleh menjadi punca remaja memberontak adalah seperti timbulnya rasa untuk melawan setelah dikenakan hukuman, tindakan disiplin atau mungkin peraturan yang dikenakan membatasi keinginan diri mereka, perubahan hormon, tekanan daripada rakan sebaya dan kebimbangan kerana gagal mencapai jangkaan yang diharapkan oleh ibu bapa kepada mereka. Namun, terdapat juga faktor lain yang mungkin menjadi puncanya seperti masalah keluarga, contohnya melibatkan ibu bapa yang sering bergaduh, masalah kewangan keluarga, penderaan fizikal dan emosi serta tekanan akibat perpisahan ibu bapa.

Simptom remaja memberontak

Walaupun fasa memberontak dalam kalangan remaja adalah normal, namun anda sebagai ibu bapa masih perlu berwaspada dengan tanda-tanda amaran seseorang remaja itu bermasalah. Antaranya adalah:

  • Komunikasi di antara anda berdua semakin berkurangan dan anak remaja anda sentiasa cuba mengelakkan diri dari anda.
  • Sentiasa bertengkar walaupun hanya mengenai isu-isu kecil dan remeh serta mudah naik darah.
  • Anak remaja anda tidak jujur dan menggunakan pembohongan untuk melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukan.
  • Mereka mudah naik angin atau marah dan menjauhkan diri dari ahli keluarga lain.
  • Penurunan atau peningkatan berat badan yang mendadak.
  • Mencederakan diri sendiri, contohnya, luka, melecet, terdapat tanda lebam tanpa sebab yang kukuh bagaimana atau bila ia berlaku.
  • Bertukar rakan-rakan secara tiba-tiba.
  • Kerap ponteng sekolah, bergaduh di sekolah, pencapaian akademik yang semakin merosot.
  • Anda mula menyedari bahawa anak anda merokok, terlibat dalam penggunaan alkohol atau dadah.

Remaja dan Bagaimana Memahami Jiwa Mereka - memberontak

Memahami pemikiran remaja

Remaja sering menjadi mangsa yang selalu disalah anggap oleh individu dewasa. Ini kerana otak mereka tidak berkembang dengan sepenuhnya lagi dan individu dewasa biasanya cepat menilai melalui tindakan mereka. Otak seorang individu remaja sedang dalam proses pembangunan dan terdapat banyak hubungan penting di seluruh otak yang masih berlaku semasa proses perkembangannya.

Ini bermakna sel-sel saraf pada otak yang menghubungkan bahagian otak masih terbentuk atau dipangkas. Proses ini lebih banyak berlaku semasa tidur. Oleh itu, perlu diingatkan bahawa tidur yang mencukupi adalah sangat penting untuk perkembangan otak anak anda yang sedang remaja.

Manakala, bahagian otak yang jarang digunakan akan dipotong atau dipangkas. Namun, pada masa yang sama hubungannya akan diperkukuhkan atau menjadi lebih matang. Ini adalah cara untuk otak menjadi lebih cekap, berdasarkan prinsip ‘use it or lose it’. Disebabkan itu, sekiranya anda menginginkan anak anda untuk belajar bahasa baru atau bermain beberapa instrumen muzik, tempoh yang terbaik adalah melakukannya ketika mereka masih remaja.

Semua otak adalah berbeza

Menyedari bahawa semua remaja berbeza, ia mempunyai implikasi sangat penting untuk sesuatu perkara seperti pendidikan dan pengiklanan. Contohnya, cara seorang individu remaja belajar bergantung kepada pola perkembangan otak mereka, maka strategi pendidikan yang berdasarkan purata atau selaras hanya akan mengehadkan penggunaannya.

Begitu juga dengan kempen pengiklanan untuk perkara-perkara seperti kesihatan seksual. Jika berdasarkan kajian ia akan berfungsi untuk beberapa remaja tetapi tidak bagi yang lain.

Oleh itu, semakin cepat memahami perbezaan antara remaja, lebih cepat dapat mengintegrasikan maklumat ini ke dalam sekolah dan polisi. Ini adalah penting kerana, tiada perkara seperti purata remaja dan perlu mengingatinya supaya boleh memperbaiki pemahaman kita mengenai otak remaja.

Sukar berbual dengan remaja?

Zaman remaja berlaku seiring dengan perubahan fizikal dan mental mereka. Apabila anak anda kian melonjak usia, mereka akan mula menjarakkan diri daripada ibu bapa secara beransur-ansur. Ketika proses ini berlaku, anak remaja anda akan mengalami beberapa perubahan yang ketara, antaranya:

  • Lebih gemarkan privasi
  • Mula menunjukkan kemahuan autonomi
  • Perubahan fisiologi yang ketara
  • Mula menjadi tarikan individu lain
  • Gemar meneroka sesuatu yang baharu
  • Lebih bersikap skeptikal
  • Suka melawan

Remaja dan Bagaimana Memahami Jiwa Mereka - sukar berbual

Bagaimana untuk berbual dengan anak remaja?

  • Elakkan berleter sebaliknya gunakan teknik berbual dari hati ke hati: Anda perlu tahu sekiranya anak remaja anda tidak berbual dengan anda adalah kerana mereka tidak mahu. Perbualan memerlukan dua pihak dan berleter bukanlah penyelesaian yang terbaik.
  • Jangan gunakan perkataan yang kasar: Perbualan antara anda dengan anak remaja anda tidak akan bertahan lama sekiranya mana-mana pihak mula menggunakan perkataan yang agak kasar bertujuan untuk menunjukkan protes.
  • Hormati anak remaja anda: Setiap individu berhak untuk dihormati dan anak remaja anda juga tidak terkecuali daripadanya. Sekiranya anda melakukan ini, anak remaja anda akan lebih mudah bercakap dengan anda kerana mereka berasa mereka dihormati dan selayaknya dilayan sebegitu.
  • Nyatakan pendapat anda dengan jelas: Kajian menunjukkan ibu bapa gemar berleter dan tidak berterus-terang apabila ingin bercakap dengan anak remaja mereka. Letakkan diri anda di tempat mereka untuk merasai apa yang mereka rasa apabila dileter. Oleh itu, kawal perasaan dan kata-kata anda untuk mengelakkan anak remaja anda berasa bosan dengan anda.
  • Tingkatkan imej anda: Gaya hidup dan kelakuan anda akan mendatangkan impak terhadap apa yang anak anda fikirkan mengenai anda. Semakin anak anda meningkat usia, mereka akan mula menyedari mana yang benar dan mana yang salah. Oleh itu, anda perlu menjadikan diri anda sebagai orang yang boleh dibanggakan dan dihormati oleh anak anda.

Ibu bapa perlu menerima kenyataan bahawa komunikasi dengan anak remaja mereka akan sampai ke hadnya apabila mereka dewasa kelak. Ini merupakan sebahagian daripada proses semula jadi yang akan membantu individu itu membesar menjadi individu yang berdikari. Walaupun hakikatnya, anda mungkin akan berasa terluka atau kosong apabila anda sudah mula tidak berkomunikasi dengan anak remaja anda seperti waktu mereka kecil dahulu. Sebagai ibu bapa, anda perlu memberi kebebasan yang diperlukan oleh anak remaja anda asalkan anda ada di sisi mereka ketika mereka memerlukan anda.

Peranan ibu bapa

  • Model peranan

Ibu bapa adalah “role model” untuk remaja. Remaja mempelajari secara berkesan melalui peniruan dan pemerhatian. Bersikap negatif seperti panas baran, mendera, mementingkan diri dan memaki hamun akan memberi kesan psikologi kepada remaja. Adalah tidak mustahil jika anak remaja anda sendiri mempunyai tingkah laku sedemikian berdasarkan apa yang sering dilihatnya.

  • Kenali rakan

Ketepikan perasaan malu atau ego untuk mengenali rakan-rakan anak anda. Cara ini membantu anda untuk mengetahui dengan siapa anak anda berkawan. Ia adalah sesuatu yang amat baik jika anda dapat mengetahui maklumat seperti nama, keluarga dan tempat tinggal mereka. Jika berpeluang, cuba untuk meluangkan masa anda untuk turut bersama menghadiri ke majlis rakan anak anda. Tidak menjadi kesalahan sekiranya ibu bapa menganggap rakan-rakan anak mereka seperti rakan mereka sendiri. Namun, pastikan ia adalah perkara yang mendatangkan keselesaan buat anak anda.

  • Berkomunikasi dengan guru

Sentiasa berhubung dengan guru di sekolah anak anda untuk mengetahui mengenai perkembangan anak. Cara ini membolehkan guru untuk memberitahu anda seawal mungkin jika anak anda dipercayai mempunyai sebarang masalah.

  • Masa berkualiti

Remaja dan Bagaimana Memahami Jiwa Mereka - masa berkualiti

Berbual kosong dengan anak sahaja adalah tidak memadai. Cuba untuk mencari idea yang boleh membantu anda untuk dapat meluangkan masa dengan lebih berkualiti bersama anak anda. Sebolehnya, pastikan anda bersedia untuk mendengar apa juga yang ingin dikongsikan oleh anak anda atau sentiasa ada jika anak anda memerlukan sebarang bantuan. Hubungan ibu bapa dan anak-anak yang baik dan harmoni akan wujud apabila terdapat komunikasi antara kedua-dua belah pihak dalam apa juga perkara. Cuba untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik apabila berdepan dengan sebarang konflik atau tekanan. Ia bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah, malah dalam masa yang sama mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak.

  • Bebas, terkawal

Tidak salah untuk anda sebagai ibu bapa memberikan kebebasan kepada anak-anak anda. Namun apa yang anda perlu pastikan adalah kebebasan yang diberikan itu tidak melampaui batas. Ini bermakna, dalam anak anda bebas melakukan apa sahaja, masih terdapat keterbatasaan dan kawalan yang perlu diwujudkan. Ia adalah amat penting untuk menghindari sebarang masalah atau perkara negatif yang boleh mempengaruhi mereka. Sebagai contoh, anak anda boleh keluar bersama rakan-rakannya, tetapi dia perlu mengikut beberapa syarat yang anda tetapkan, seperti harus menjaga tingkah laku dan perlu pulang ke rumah pada masa yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama.

  • Privasi

Seperti individu lain, seseorang individu remaja memerlukan masa untuk bersendirian dan ruang mereka sendiri. Anda tidak harus mengganggu privasi mereka kecuali jika anda mengesyaki berlaku sesuatu yang tidak kena. Sentiasa awasi gerak-geri mereka dan mengambil tahu ke mana mereka pergi, bila mereka akan pulang dan lain-lain lagi. Satu cara lagi adalah dengan memberi kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara yang betul. Ingatkan mereka bahawa menyalahgunakan kepercayaan ini akan memberi kesan serius dan akan mempengaruhi kebebasan sedia ada yang diberikan.

  • Realistik

Sebagai ibu bapa, anda harus memastikan anda bersikap realisik terhadap kemampuan anak anda seiring dengan perkembangan usianya. Ini adalah penting agar anda tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi atau tidak realistik kepada anak-anak anda. Terdapat sesetengah ibu bapa yang meletakkan harapan agar anak mereka cemerlang dalam bidang atau perkara tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa mengambil kira kemahuan, keinginan serta kemampuan anak mereka sendiri. Harapan yang tidak realistik cenderung menyebabkan tekanan kepada anak anda. Sebagai ibu bapa, anda perlu dapat mengenal pasti kebolehan dan kemampuan serta kecenderungan anak-anak anda. Berikan galakan, sokongan dan dorongan dalam apa jua bidang yang anak anda minati. Ini dapat membantu menjaga keperluan emosi anak-anak dan meningkatkan harga diri mereka.

  • Pilihan

Cuba untuk memberikan anak anda peluang untuk membuat pilihan dan keputusan sendiri. Apabila anak anda semakin meningkat usia, malah ketika masih kanak-kanak, pastinya mereka sudah mula mempunyai keinginan untuk berdikari dan membuat keputusan sendiri. Berikan mereka ruang dan peluang itu. Ia bukan sahaja dapat membantu memberikan keyakinan diri kepada mereka, malahan ia membantu mendewasa dan mematangkan fikiran serta menjadikan mereka lebih berani dalam mengambil risiko. Namun, sebagai ibu bapa, anda tetap harus memastikan setiap keputusan dan pilihan yang dibuat tidak mendatangkan mudarat kepada mereka.

  • Disiplin

Cara yang salah dalam mengendalikan dan menguruskan aspek disiplin anak-anak boleh membawa implikasi dari segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Disiplin melibatkan pencegahan dan pemulihan. Bagi mencegah sesuatu perkara ia melibatkan pengajaran dan latihan yang dapat membina sempadan kepada sesuatu tingkah laku. Manakala pemulihan adalah bertujuan untuk membetulkan salah laku remaja dan membendung agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Disiplin yang efektif melibatkan pengajaran tentang apa yang perlu dan apa yang tidak boleh dilakukan.

Jika anda ingin mewujudkan peraturan dalam rumah anda untuk anak-anak, ia perlu diwujudkan pada peringkat awal, iaitu ketika anak anda masih kecil. Mulakan dengan peraturan yang mudah seperti anak anda perlu memastikan pakaian kotor dimasukkan ke dalam bakul, atau setiap kali lepas makan, pinggan yang kotor harus diletakkan di sinki dan dibasuh. Dan peraturan ini akan berubah selaras dengan kesesuaian usia mereka.

Setiap peraturan yang diwujudkan harus dipatuhi oleh setiap anak-anak dan ibu bapa perlu melaksanakan peraturan tersebut secara konsisten kepada setiap anak-anak serta tidak bersikap berat sebelah tanpa sebarang pengecualian.

  • Pendidikan seks

Ibu bapa perlu prihatin atau peka dengan perkembangan biologi anak remaja mereka. Ini kerana adalah normal untuk seseorang individu remaja mempunyai perasaan dan naluri untuk mengetahui mengenai seks. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab dan peranan anda untuk memberitahu dan berkongsi dengan anak remaja anda maklumat dan info yang perlu diketahui oleh anak anda. Ia adalah lebih baik berbanding jika anak anda memperolehi sendiri maklumat tersebut daripada sumber-sumber yang kurang tepat. Berasa malu atau berpegang kepada kepercayaan bahawa isu mengenai seks adalah tidak sesuai untuk dibicarakan secara terbuka dengan anak-anak anda adalah sesuatu yang sudah lapuk.

Wujudkan persekitaran yang sesuai untuk berbicara mengenainya. Kongsikan kepada anak anda tentang risiko hamil tanpa nikah, risiko melakukan seks bebas dan penyakit-penyakit kelamin yang boleh berlaku seperti HPV dan AIDS.

  • Penghargaan

Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu usaha untuk menunjukkan kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat penghargaan terutamanya daripada ibu bapa. Remaja akan berasa bahawa bakat atau kebolehan yang dipamerkan itu mendapat perhatian dan dihargai. Penghargaan yang diberikan akan menyuntik semangat dan inspirasi untuk remaja melakukan yang terbaik.

  • Sokongan  

Adalah normal bagi remaja untuk menjadi lebih beremosi bagi tempoh beberapa hari. Tetapi jika anda melihat perubahan emosi atau tingkah laku yang lebih signifikan, yang berlaku lebih daripada dua minggu, ia bermakna sesuatu yang lain sedang berlaku, seperti kemurungan.

Remaja dan Bagaimana Memahami Jiwa Mereka - kemurunga

Sekiranya anda berfikir anak anda atau seseorang individu remaja lain yang anda kenali mungkin tertekan, segera dapatkan rawatan profesional untuk mereka. Kemurungan serius dan jika tidak dirawat, boleh mengancam nyawa.

Remaja memerlukan bimbingan ibu bapa atau individu dewasa, walaupun mereka mungkin berfikir tidak memerlukannya. Memahami perkembangan mereka dapat membantu anda memberi sokongan kepada mereka untuk menjadi seorang dewasa yang bertanggungjawab.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut