Kesan Regangan Kulit semasa Hamil: Adakah Boleh Dicegah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor.

Pelbagai perubahan fizikal berlaku pada tubuh ibu hamil. Salah satu yang menjadi igauan ngeri buat bakal ibu adalah kemunculan kesan regangan kulit. Rata-rata semua ibu hamil akan mengalaminya. Namun, persoalannya adalah, adakah kesan regangan kulit semasa hamil boleh dicegah?

Apakah kesan regangan kulit?

Kesan regangan kulit atau dipanggil striae distensae, adalah garisan yang muncul pada kulit ibu hamil. Ia boleh jadi berwarna kemerahan, merah jambu, keunguan ataupun kelabu. Lazimnya, kesan regangan kulit ini akan timbul di beberapa bahagian tubuh ibu seperti di kawasan perut, dada, pinggul, bahagian bawah badan dan paha.

Mengapa kesan regangan kulit boleh timbul?

Biasanya, kesan regangan kulit akan timbul apabila bahagian tubuh anda membesar lebih cepat daripada yang boleh ditahan oleh kulit anda. Ini menyebabkan gentian elastik di bawah permukaan kulit anda pecah, mengakibatkan berlakunya kesan regangan kulit.

Apatah lagi semasa anda sedang hamil, beberapa bahagian tubuh anda membesar dan berat badan anda pula akan meningkat. Jadi, tubuh yang membesar akan menyebabkan berlakunya kesan regangan kulit terutama di bahagian perut dan payudara anda.

Menurut American Academy of Dermatology, kesan regangan kulit boleh berlaku kepada kira-kira 90 peratus wanita hamil, selepas usia kandungan enam atau tujuh bulan.

Adakah kesan regangan kulit boleh dicegah?

Malangnya, tiada sebarang cara untuk mencegah kehadiran kesan regangan kulit. Walau bagaimanapun, ibu hamil disarankan untuk mempersiapkan badan sebelum datangnya kesan regangan kulit. Cara ini boleh membantu mengurangkan kehadiran kesan regangan kulit, di samping memudahkan ibu merawat dan menangani kesan regangan kulit nanti.

Tip menangani kesan regangan kulit

  • Pastikan tubuh anda kekal hidrat dengan cara minum air secukupnya setiap hari. Pengambilan lapan gelas air setiap hari boleh membantu kulit ibu kekal hidrat dan lembut. Kulit yang lembut dapat mengurangkan kehadiran kesan regangan kulit.
  • Sapukan krim, losen atau pelembap pada bahagian tubuh yang kering. Kulit yang kering boleh membuatkan ibu berasa gatal dan kesan regangan kulit mudah untuk kelihatan.
  • Makan makanan yang kaya nutrien bagi meningkatkan kesihatan kulit. Pengambilan makanan kaya vitamin C, D dan E, serta zink dan protein dapat membantu mengurangkan kehadiran kesan regangan kulit.
  • Rawat kesan regangan kulit semasa awal kemunculannya. Kesan regangan kulit yang masih baru lebih mudah untuk dirawat berbanding dengan kesan regangan kulit yang sudah lama.

Kesan regangan kulit adalah perkara biasa untuk wanita hamil. Jadi, jangan terlalu tertekan melihat kehadiran kesan regangan kulit pada tubuh anda. Perkara terbaik untuk menangani kehadiran kesan regangan kulit semasa hamil adalah dengan memastikan tubuh kekal hidrat dan menyapu krim sebelum kehadiran kesan regangan kulit lagi. Dengan cara ini, jika sekalipun kesan regangan kulit hadir, ia tidak akan jadi terlalu teruk dan anda akan dapat merawat kesan regangan kulit lebih awal.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut