Sakit Mata Atau Alami Masalah Berkaitan Pernafasan? Ia Mungkin Angkara Jerebu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Farid terbatuk-batuk sejak tiga hari yang lepas dan rakan-rakan di pejabat sering bertanya sekiranya dia sihat atau tidak. Selain batuk tanpa henti, Farid juga mengalami sakit tekak yang mengakibatkannya sukar untuk tidur pada waktu malam. Berbungkus-bungkus lozeng telah dihabiskannya bagi mengurangkan kesakitan pada tekak yang dialaminya itu, tetapi kelihatannya seperti tidak terdapat sebarang perubahan yang ketara. Kadang-kala Farid mengelamun sendirian memikirkan apakah yang menyebabkannya mendapat sakit tekak.

Jika anda berada di tempat Farid, apakah perkara yang terfikirkan oleh anda yang menyebabkan anda sakit tekak? Lihatlah sekeliling, apa yang anda dapat lihat setiap hari? Jawapan anda hampir tepat jika anda mengatakan bahawa anda tidak nampak apa-apa. Ya, jerebu telah menyebabkan penglihatan kita menjadi lebih terhad. Lebih membimbangkan, jerebu juga berkemungkinan memberi kesan negatif kepada anda sehingga anda mendapat sakit tekak seperti Farid. Walau bagaimanapun, terdapat perkhabaran yang lebih mengejutkan berkenaan perkembangan kesihatan di negara ini yang terjejas akibat kabus jerebu. Apakah perkhabaran tersebut?

Peningkatan kadar kes penyakit berkaitan jerebu

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyatakan baru-baru ini bahawa, kes-kes penyakit yang berkaitan dengan jerebu telah meningkat naik sejak beberapa minggu yang lalu disebabkan oleh musim jerebu yang berpanjangan. Kes asma telah meningkat naik sebanyak 16% pada minggu lepas dengan angka sebanyak 1,375 kes berbanding 1,187 kes dalam tempoh 10 minggu lepas. Selain itu, kes konjuntivitis atau juga digelar “pink eye” telah meningkat kepada hampir 25% kes dalam tempoh yang sama. Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mendedahkan bahawa angka pesakit yang mendapatkan rawatan bagi jangkitan mata telah meningkat di seluruh negara antara 20 hingga 30 peratus pada bulan lepas. 

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihak KKM akan sentiasa memantau perkembangan kes-kes penyakit yang berlaku. Beliau turut menyarankan agar golongan yang mudah berisiko untuk mendapat penyakit seperti kanak-kanak, warga emas, penghisap rokok, individu yang kerap terdedah dengan udara luar dan sesiapa yang mempunyai asma, bronkitis, pneumonia, penyakit jantung dan alergi agar sentiasa berjaga-jaga dan mengurangkan pendedahan diri terhadap udara luar bangunan. 

Cadangan penjagaan kesihatan semasa musim jerebu

Beliau menyarankan agar setiap individu untuk mengurangkan aktiviti luar rumah memandangkan ia boleh meningkatkan kadar pernafasan yang kemudiannya meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit berkaitan jerebu. Sebarang aktiviti luar rumah perlu ditunda sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah melebihi 100.

Selain itu, tingkap rumah atau pejabat perlulah sentiasa ditutup untuk mengelakkan jerebu daripada memasuki bangunan pejabat atau rumah. Gunakan pendingin hawa dan penapis udara kerana kedua-duanya mampu untuk memerangkap partikel halus dan mengelakkan udara tercemar daripada memasuki ruang bangunan.

Beliau turut menyatakan, sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti luar rumah, individu berkaitan disarankan untuk memakai mask dan sentiasa mencuci muka dan bahagian tubuh yang terdedah kepada jerebu. Sekiranya memandu kenderaan, tutup tingkap dan gunakan pendingin hawa untuk mengurangkan risiko pendedahan terhadap jerebu.

Bagi pembaca yang mengalami batuk-batuk seperti Farid, atau simptom-simptom berkaitan lain seperti selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru, sila pergi sepantas mungkin ke klinik atau hospital berhampiran untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Mengelamun bersendirian memikirkan punca sakit tekak seperti Farid tidak akan memberikan kesembuhan kepada anda, malah keadaan anda akan menjadi semakin teruk. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut