Pedih Ulu Hati Lagi? Cuba Tips Ini

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama sahaja pedih ulu hati, tetapi tidak ada kaitan pun dengan hati atau jantung. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai heartburn. Lagi menakutkan!

Apakah itu pedih ulu hati?

Keadaan ini sebenarnya disebabkan oleh asid perut yang masuk ke dalam kerongkong (esofagus) apabila otot yang melingkari (sphincter) bahagian bawah esofagus tidak tertutup sepenuhnya selepas makanan masuk ke dalam  perut. Kebiasaannya, sphincter tersebut akan tertutup dan asid serta isi kandungan perut tidak berpatah kembali atau refluks ke dalam esofagus.

Ini menyebabkan rasa panas dan tidak selesa di bahagian tengah dada. Kadangkala, ia boleh naik sehingga ke tekak.

Pedih ulu hati ialah keadaan yang biasa berlaku dan ia bukan satu keadaan yang serius. Jenis dan gaya pemakanan boleh menyebabkan asid refluks.

Antara makanan yang boleh menyebabkannya termasuk coklat, bawang, cili, buah oren, dan alkohol. Namun, setiap orang mempunyai reaksi yang berbeza terhadap makanan berbeza. Berat badan berlebihan dan baring selepas makan juga boleh menyumbangkan kepada pedih ulu hati.

Cuba langkah ini

1. Kenal pasti makanan yang merangsang simptom

Setiap orang mempunyai perangsang yang berbeza. Cuba kenal pasti makanan yang menjadi punca. Diari makanan mungkin boleh membantu anda. Kemudian, cuba elakkan makanan tersebut.

2. Elakkan baring atau tidur dalam tempoh 3 jam selepas makan

Apabila anda baring, asid perut lebih mudah mengalami refluks ke dalam esofagus kerana tidak perlu melawan daya graviti. Elakkan baring dalam tempoh 3 jam selepas makan. Jika terpaksa, baring ke sebelah kiri anda.

3. Turunkan berat badan

Menurunkan berat badan boleh membantu mengurangkan simptom. Bukan itu sahaja, kesihatan anda secara am juga boleh bertambah baik dan penampilan menjadi lebih menarik!

4. Ambil ubat di farmasi

Anda boleh cuba beberapa ubat-ubatan di farmasi tanpa memerlukan preskripsi termasuk antasid.

5. Dapatkan pemeriksaan doktor

Jika anda mengalami pedih ulu hati lebih 2 kali seminggu atau ia mengganggu aktiviti harian, sila dapatkan pemeriksaan doktor. Ia mungkin petanda kepada penyakit lain yang lebih serius.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut