Nak Kulit Cantik, Ambil Suplemen Kulit- Berkesan Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Setiap hari kita disogok dengan pelbagai jenis produk suplemen kulit. Tetapi yang menjadi persoalan utama, adakah penggunaan produk seperti itu mendatangkan kesan baik kepada anda?

Perlu ke suplemen kulit?

Siapa yang tidak sukakan kulit yang cantik, berseri, bersinar dan tanpa jerawat? Boleh dikatakan ia adalah impian setiap wanita untuk mempunyai kulit yang halus dan mulus tanpa cela. 

Disebabkan itu juga terdapat lambakan jenis produk dan suplemen kulit yang boleh didapati di pasaran, kononnya mampu menjadikan kulit lebih menawan. Namun, adakah kulit anda memerlukan rutin penjagaan tambahan melalui pengambilan suplemen untuk kulit?

Jika soalan tersebut ditanyakan kepada pengasas mahupun pengeluar produk penjagaan kulit, sudah tentu mereka akan mengiyakannya. Ia adalah satu cara untuk memasarkan produk keluaran mereka.

Tapi bagaimana pula dari sudut kesihatan, adakah benar produk penjagaan seperti suplemen atau makanan tambahan diperlukan oleh kulit?

Tidak banyak data sokongan tentang suplemen kulit

Menurut pakar dermatologi, Hadley King, “Walaupun banyak pulangan yang diterima oleh industri yang menghasilkan produk makanan tambahan di Amerika Syarikat, namun data yang boleh menyokong penggunaannya sangat sedikit.”

Suplemen kulit atau kecantikan pada dasarnya adalah ‘penjenamaan semula’ multivitamin. Ini kerana kebanyakan nutrien yang diperlukan diperolehi daripada makanan dan tidak berdepan isu kekurangan vitamin. Maka pengambilan suplemen tidak membantu dalam memperbaiki kulit” ujar Hadley.

Seorang lagi pakar dermatologi, David Lortscher, turut bersetuju bahawa makanan adalah sumber yang terbaik. Dia menjelaskan bahawa pengambilan suplemen kulit tidak diperlukan untuk memperolehi kulit yang sihat. 

“Cara paling konservatif untuk mendapatkan vitamin dan mineral yang bermanfaat kepada kulit adalah melalui pengambilan diet pemakanan yang sihat,” ujar David.

makanan tambahan

Kesan sampingan menggunakan suplemen kulit

David juga menyatakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan dos yang terkandung di dalam vitamin dan suplemen. Pengambilan sebarang vitamin atau suplemen kulit juga berisiko mendatangkan reaksi tindak balas kepada ubat preskripsi doktor. 

Hadley turut bersetuju mengenai isu kesan sampingan yang mungkin berlaku. Dia turut memberitahu vitamin larut lemak (fat-soluble vitamin) boleh berkumpul pada hati dan menyebabkan kerosakan. 

Terdapat sesetengah penyelidik mempercayai, pengambilan suplemen yang mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi juga berbahaya. Ini kerana ia boleh mengembangkan risiko untuk mengalami masalah kanser. 

Walau bagaimanapun, Hadley mengakui bahawa terdapat potensi yang bermanfaat daripada pengambilan suplemen. Namun ia bergantung kepada individu dan sama ada terdapat kajian yang menyokong penghasilan suplemen tersebut. 

“Tidak ada individu yang mampu menjaga aspek pengambilan makanan sihat dan sempurna setiap hari. Jika ada sekalipun, ia tidak bermakna kesemua nutrien dapat diserap. Keadaan ini boleh berlaku apabila kita semakin berusia,” ujar Hadley. 

Tetapi pakar dermatologi itu menyarankan untuk mendapatkan rundingan, nasihat serta pemeriksaan daripada doktor terlebih dahulu. Ia penting untuk mengenal pasti jika anda berdepan isu kekurangan nutrien ataupun tidak.

Berhati-hati membaca label

Seorang doktor naturopati, Dr Nigma Talib memberi amaran bahawa tidak semua suplemen yang berada di pasaran adalah pilihan yang terbaik. Banyak aspek perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan berkaitan suplemen yang selamat dan berkesan kepada pengguna. 

Pada masa sama, Dr Nigma juga menyelar individu yang menghasilkan produk kesihatan tetapi tidak mempunyai sebarang pengalaman atau penyelidikan klinikal. Ini kerana pengalaman klinikal amat penting dalam penghasilan produk yang baik.

Sememangnya semua produk makanan tambahan yang dihasilkan perlu memenuhi piawaian Food and Drug Administration (FDA). Namun, pada akhirnya ia adalah berbalik kepada pengguna itu sendiri. 

Ini kerana pengguna mempunyai tanggungjawab bagi melakukan ‘penyelidikan’ sendiri. Pengguna tidak boleh menerima bulat-bulat dan menganggap setiap produk yang berada di pasaran adalah selamat.

Membaca label pada setiap produk suplemen adalah penting. Elakkan daripada memilih produk yang terkandung bahan tambahan seperti pewarna atau sebarang bahan logam berat.

Setiap pengguna perlu mencari produk yang mempamerkan kandungan ramuan bahan dan panel pemakanan dengan cara mudah dibaca. Sebagai pengguna, anda perlu mencari penyelidikan yang menyokong produk tersebut. 

Sebaiknya, anda disaran mendapatkan pandangan pakar yang boleh dipercayai dan terlibat dengan syarikat berkenaan. Sekiranya mereka berjaya membuktikan kesahihan produk tersebut, maka ia satu petanda yang baik. 

makanan tambahan

Pemilihan produk

Jika anda sedang mencari produk yang bersesuaian, berikut antara bahan yang perlu anda cari:

  1. Polypodium leucotomos

Sekiranya anda banyak menghabiskan masa di luar rumah, cari produk yang mempunyai kandungan Polypodium leucotomos. Ia berfungsi untuk melawan kerosakan yang disebabkan cahaya matahari. 

Tetapi ia bukan bermakna anda boleh mengetepikan pemakaian krim pelindung matahari atau sebarang kaedah perlindungan sinaran UV yang lain.

  1. Vitamin D

Kandungan vitamin D dapat membantu mencegah masalah kulit berjerawat. Terdapat penyelidikan yang membuktikan tahap vitamin D rendah dengan masalah kemunculan jerawat. 

Jadi mungkin anda boleh mencuba produk yang mempunyai kandungan vitamin D, jika jerawat adalah musuh utama kulit anda.

  1. Kombinasi bahan

Gabungan kandungan seperti vitamin A, zink, selenium, lisin, asid hyaluronik dan Methylsulfonylmethane (MSM) dapat membantu fungsi imun berkaitan tiroid dan menggalakkan peningkatan optimum tahap kolagen. 

  1. Nicotinamide 

Ia adalah sejenis vitamin B dan berfungsi mencegah jerawat dan masalah kanser kulit. Dalam satu kajian melibatkan suplemen nicotinamide, ia dapat mengurangkan kadar sel skuamus (squamous) baru dan sel kanser kulit sel sebanyak 23%.

Kesimpulannya

Pengambilan sebarang suplemen atau produk makanan tambahan adalah sesuatu yang tidak begitu diperlukan oleh kebanyakan individu. Tetapi pengambilannya mungkin dapat memberikan manfaat kebaikan kepada kesihatan, sekiranya anda memerlukannya. 

Tetapi sebelum anda membuat sebarang keputusan, pastikan anda mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu. Jangan sekadar bertanyakan kepada Dr Google semata-mata!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 24, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 20, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut