Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kulit Kering dan Merekah

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 13/01/2020

Kulit yang kering dan merekah boleh membuatkan seseorang itu berasa tidak selesa terutamanya apabila ia melibatkan sentuhan dengan individu lain seperti perbuatan bersalaman. Dalam situasi sosial (atau melibatkan keintiman), sentuhan dengan kulit yang sebegini rupa boleh menyebabkan seseorang itu berasa tidak senang lebih-lebih lagi jika kulit tersebut mula mengelupas. 

Jika anda mengalami keadaan seperti di atas, baca artikel ini untuk tahu berkenaan dengan maklumat dan tip penjagaan kulit yang boleh anda amalkan bagi mengelakkan masalah kulit kering dan merekah.

Punca kulit kering dan merekah

Kulit kering atau lebih dikenali sebagai xerosis merupakan masalah lazim yang dialami oleh individu. Antara simptom yang berkaitan dengan permasalahan ini adalah:

  • Kulit terasa tegang (terutamanya selepas mandi dan berenang)
  • Kulit kelihatan kasar
  • Gatal-gatal
  • Kulit mengelupas
  • Kulit berwarna seakan kekelabuan
  • Kemerahan (keradangan kulit)

Kulit kering dan merekah boleh disebabkan oleh faktor persekitaran, masalah kulit yang diwarisi atau gabungan di antara dua faktor tersebut. Tanpa mengetahui apakah puncanya, tiada langkah yang boleh diambil untuk menghindarinya. Antara faktor persekitaran yang boleh menyebabkan masalah kulit kering dan merekah adalah:

Cuaca 

Jika anda tinggal di negara yang beriklim sederhana,  anda akan sedar bahawa kulit anda kelihatan kering pada musim sejuk. Ini berikutan penurunan suhu persekitaran dan kadar kelembapan yang rendah mempengaruhi keupayaan kulit anda untuk mengekang lembapan badan. Jika anda tinggal di kawasan beriklim panas, faktor suhu kebiasaannya tidak akan mempengaruhi keupayaan tersebut.

Kehangatan persekitaran  

Persis faktor cuaca, faktor kelembapan merupakan kunci kepada punca kulit kering dan merekah. Pendedahan kepada api dapur, alat pemanas badan dan pendiangan (fireplace) boleh menurunkan kadar kelembapan persekitaran. Ini boleh mengakibatkan kulit anda menjadi kering dan kusam.

Mandi menggunakan air panas 

Seronok kan jika anda dapat mandi menggunakan air panas setelah pulang dari bekerja? Walau bagaimanapun, tindakan tersebut boleh menyebabkan kulit anda kering dan kelihatan bersisik. Ini berikutan sifat air panas yang berupaya untuk menarik keluar lembapan dan minyak daripada permukaan kulit.

Bahan kimia di dalam sabun dan pencuci baju 

Kebanyakan gel mandian, syampu, sabun pencuci baju dan sabun buku dihasilkan khas untuk membuang minyak pada permukaan kulit anda. Walaupun ia kedengaran seperti berita baik kerana boleh mencegah pertumbuhan jerawat namun perkara tersebut boleh menyebabkan kulit anda menjadi kering.

Selain daripada faktor persekitaran, masalah keradangan kulit (dermatitis) juga boleh menyebabkan kulit anda kering. Antaranya:

  • Dermatitis sentuh
  • Dermatitis sentuh iritasi
  • Dermatitis sentuh alergik
  • Dermatitis seborea
  • Dermatitis atopik (ekzema)

Keadaan kesihatan lain seperti psoriasis dan kencing manis jenis 2 juga boleh menyebabkan masalah kulit kering dan merekah. Walaupun masalah ini kelihatan seperti jarang berlaku pada kebanyakan individu namun ia lazim dialami oleh sebahagian besar populasi umum. Mereka yang mempunyai faktor risiko tertentu mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi berbanding dengan individu lain untuk mendapat permasalahan ini. Antaranya adalah:

Usia 

Sukar untuk anda menikmati waktu tua anda apabila masalah kulit lazim dialami oleh golongan berusia. Lebih daripada 50% individu yang berusia 40 tahun dan ke atas mempunyai masalah kulit kering. 

Pekerjaan 

Pekerjaan tertentu melibatkan penggunaan air seperti mereka yang bekerja sebagai jururawat dan pekerja salun gunting rambut mudah untuk mendapat masalah kulit kering. Mereka yang bekerja sebagai penyelamat (lifeguard) dan atlet renang juga mempunyai risiko yang sama memandangkan mereka terdedah kepada air berklorin.

Komplikasi kulit kering 

Seperti keadaan kesihatan yang lain, jika masalah ini tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Rekahan halus yang terdapat pada permukaan kulit anda boleh menyebabkan rekahan yang lebih mendalam mengakibatkan pendarahan.  Apabila perkara ini berlaku, integriti kulit anda akan musnah. Keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan kulit (cellulitis) berikutan ia merupakan sistem pertahanan semula jadi bagi melindungi badan daripada jangkitan mikroorganisma berbahaya. Bagi sesetengah individu, jika tidak dirawat, jangkitan kulit tersebut boleh berlarutan kepada keadaan yang boleh mengancam nyawa dikenali sebagai sepsis (jangkitan bakteria di dalam darah). 

Cara penjagaan kulit bagi orang dewasa

Masalah kulit kering dan merekah ini merupakan keadaan kesihatan yang boleh dihindari dan dirawat. Antara langkah yang boleh diambil adalah:

  • Gunakan pelembap kulit
  • Pastikan air mandian anda suam (tidak terlalu panas) dan kekalkan sesi mandian di antara 10 hingga 15 minit
  • Gunakan gel mandian atau sabun buku yang boleh membantu kulit untuk mengekang keluar lembapan
  • Tutup atau lindungi anggota badan anda secukupnya pada musim sejuk
  • Pakai sarung tangan pada musim sejuk
  • Minum air secukupnya mengikut saranan perubatan semasa
  • Elakkan atau kurangkan menggaru kulit yang kering

Cara penjagaan kulit bagi bayi

Bukan orang dewasa sahaja yang bergelut dengan permasalahan kulit kering. Apabila ia melibatkan tahap hidrasi kulit, jangan kita abaikan penjagaan kulit bayi. Berikut merupakan antara isi penting berkenaan dengan penjagaan kulit si manja untuk mengelakkan masalah kulit kering dan merekah.

Tukar lampin secara kerap

Pastikan anda menukar lampin yang dipakai oleh bayi secara kerap. Ini berikutan masalah kulit seperti ruam lampin (diaper rash) kebiasaannya berpunca daripada bayi yang menggunakan lampin kotor dalam tempoh masa yang lama. Bagi mengelakkan geselan, gunakan krim lampin setiap kali sesi penukarannya dan pantau pola pengeluaran tinja dan air kencing secara berkala.

Gunakan krim lembapan

Walaupun bayi yang tidak mempunyai masalah kulit tidak memerlukan krim lembapan secara kerap, pastikan anda menggunakannya sekurang-kurangnya sehari sekali. Ini terutamanya jika anda merancang untuk membawa bayi anda keluar atau bayi tersebut ditempatkan di dalam bilik yang mempunyai penghawa dingin. Pilih krim lembapan yang tidak mengeluarkan bau atau pewarna untuk mengelakkan iritasi pada kulit mereka.

Lapkan air liur mereka secara berkala

Jika anda tidak tahu, air liur bayi boleh menyebabkan iritasi terhadap kulit mereka sendiri. Keadaan ini paling teruk terutamanya jika air liur tersebut mengering dan dibasahkan kembali berikutan proses penyejatan menggalakkan lembapan kulit semula jadi untuk mengering. Anda disarankan untuk mengelap air liur yang meleleh keluar secara kerap dan jika perlu, letakkan jeli petroleum di sekeliling mulut bayi anda sebelum makan.

Gunakan pakaian yang diperbuat daripada kain cotton

Sesetengah fabrik pakaian seperti wul boleh menyebabkan iritasi kepada kulit bayi. Gunakan kain cotton memandangkan ia merupakan fabrik terbaik buat bayi anda. Perkara ini penting kerana ia boleh memberikan tahap pengudaraan yang mencukupi di antara kulit dan baju yang dipakai oleh si manja.

Mandikan anak anda secara berhati-hati

Bayi tidak perlu mandi sekerap orang dewasa namun mereka perlu dimandikan sekurang-kurangnya sekali sehari untuk tempoh 5 hingga 10 minit. Gunakan air pada suhu bilik dan elakkan penggunaan air panas. Ini berikutan penggunaannya boleh menyebabkan kulit si manja hilang keupayaan untuk mengekang keluar lembapan badan. Gunakan pembersih mandian yang disarankan. Jangan gunakan sabun memandangkan bahan kimia di dalamnya boleh mengakibatkan kulit sensitif mereka mudah merekah.

Konklusi

Kebanyakan masalah kulit kering boleh dirawat. Namun penting buat anda untuk mengamalkan teknik penjagaan kulit yang betul bagi mengekalkan kelembapan dan kesihatan kulit pada tahap yang optimum. Jika anda mengalami masalah berikut, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

  • Kulit anda masih kering walaupun pelbagai jenis langkah telah diambil
  • Kulit anda mula kelihatan kemerahan
  • Kegatalan kulit yang mengganggu tidur anda
  • Anda mendapat jangkitan kulit kesan daripada menggaru
  • Kulit anda kelihatan bersisik dan sentiasa mengelupas

Doktor mungkin akan memberikan krim sapuan bagi mengurangkan keterukan gejala tersebut. Namun, jika ia berada pada tahap yang teruk, anda mungkin akan mendapat rujukan untuk berjumpa dengan pakar kulit untuk rawatan lanjut. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

enEnglish

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Rahsia Kecantikan Lisa Blackpink Hingga Dinobatkan Wajah Tercantik Asia!

    Lisa Blackpink baru-baru ini telah dinobatkan sebagai wanita dengan wajah tercantik Asia 2019. Nak tahu apa rahsianya? Sila ikuti artikel ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Ahmad Farid

    Apakah Punca Kulit Kering?

    Kulit kering anda adalah pertahanan pertama tubuh terhadap bahan asing. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan kulit anda kehilangan penghidratan.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz

    Mengapa Banyak Produk Penjagaan Kulit Menggunakan Urea untuk Kulit Kering?

    Uroterapi, menggunakan air kencing sendiri untuk tujuan kecantikan telah ditemui dalam sejarah budaya orang Aztec dan masyarakat Mesir kuno.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan

    Kulit Terdedah Kepada Cahaya Matahari, Baik atau Buruk?

    Sinar ultraviolet daripada pendedahan matahari telah dikenalpasti sebagai penyebab utama kanser kulit. Walau bagaimanapun, pendedahan cahaya matahari adalah penting untuk penghasilan vitamin D, yang dapat melindungi ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan

    Artikel lain untuk anda

    topeng muka

    Ini 5 Jenis Masalah Kulit Yang Sering Berlaku Jika Terlalu Lama Pakai Topeng Muka!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 21/05/2020
    mandi air panas

    Mandi Air Panas Atau Sejuk – Mana 1 Lebih Baik?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 12/03/2020
    kulit-anak-kering-cara-penjagaannya

    Kulit Anak Kering? Jom Ketahui Cara Penjagaannya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 14/01/2020
    kulit merekah

    Ketahui Bagaimana Terjadinya Kulit Merekah

    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 20/12/2019