Probiotik Atasi Masalah Perut Buncit?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Berdiet sudah, bersenam pun dah buat, macam-macam cara sudah dilakukan, tapi perut masih tetap buncit, macam mana ni? Pastinya masalah ini menjadi antara isu yang sering bermain di fikiran.

Lawan perut buncit dengan probiotik

Bagi yang berdepan dengan masalah perut buncit ini, terdapat satu kajian yang menyarankan pengambilan probiotik boleh membantu mengurangkan berat badan. Dikatakan mikroorganisma hidup yang terdapat dalam probiotik boleh membantu meningkatkan ‘bakteria baik dalam usus. Keadaan ini sekali gus membawa kepada pengurangan berat badan yang lebih baik. 

Kajian melibatkan 54 individu kanak-kanak berusia antara 6 hingga 14 tahun dengan masalah obesiti ini dilakukan oleh penyelidik daripada Fuzhou Children’s Hospital di China. Dalam kajian ini, setiap kanak-kanak diberikan suplemen, senaman dan pelan diet pemakanan.

Daripada 54 individu kanak-kanak terlibat dalam kajian yang berjalan selama 12 minggu ini; 30 individu dipilih secara rawak untuk mengambil pil probiotik, dan baki 24 individu dalam kumpulan plasebo. 

Berat badan berkurang

Menurut Ketua Penyelidikan Profesor Rui-Min Chen, kanak-kanak yang terlibat dalam kajian ini turut dianalisis dari aspek ukuran berat badan dan kesihatan metabolik mereka. Dan keputusan menunjukkan mereka yang mengambil pil probiotik kehilangan berat lebih tinggi berbanding tidak mengambilnya.

Lebih menarik lagi, kanak-kanak dalam kumpulan probiotik juga mempunyai tahap kesihatan metabolik lebih baik. Ia diukur melalui tahap gula dalam darah dan rintangan protein. Keadaan ini dapat membantu kanak-kanak mengurangkan risiko masalah berkaitan obesiti seperti diabetes jenis dua dan penyakit berkaitan jantung.

Profesor Chen menjelaskan lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini. Ini kerana kajian yang dilakukan setakat ini adalah melibatkan kumpulan kecil dan terhad kepada kawasan Fujian. Pasukan saintis ini merancang untuk melakukan ujian dengan lebih meluas bagi menganalisis bagaimana probiotik dapat berfungsi untuk mengubah usus. 

Terlalu samar

Terdapat pengkritik yang mengatakan ia adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan bahawa probiotik memberikan kesan untuk mengurangkan berat memandangkan kajian yang dilakukan itu belum diterbitkan di dalam jurnal. Malah kajian tersebut tidak dikaji semula.

Bagi profesor mikrobiologi makanan di University of Reading, Glenn Gibson, “Probiotik yang digunakan dalam kajian tidak digambarkan dengan baik dan khusus. Hanya dinyatakan spesies sahaja.

“Tiada dos penggunaan probiotik dan jenis plasebo yang digunakan tidak dinyatakan. Nampak seperti tiada faecal microbiology yang dilakukan dalam kajian ini. Sedangkan ia adalah penting jika penyelidik mahu menyarankan mengenai kesan probiotik,” ujar Gibson. 

Probiotik secara umumnya boleh membantu meningkatkan kuantiti kepelbagaian bakteria di dalam usus, menjaga sistem pencernaan untuk berfungsi dengan lebih cekap. Ia adalah berbeza dengan prebiotik, di mana prebiotik berfungsi untuk membantu memberikan bakteria baik makanan di dalam saluran pencernaan.

Kesimpulannya

Walaupun akhirnya kita mengetahui bahawa masalah perut buncit tidak mungkin selesai dengan hanya pengambilan probiotik. Namun, jangan pula anda langsung tidak mengambil makanan yang mempunyai kandungan probiotik seperti yogurt. Ia bukan sahaja sihat tetapi baik untuk sistem usus. Dan yang paling penting, bersenam, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: September 24, 2019 | Kali terakhir kemaskini: September 26, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut