Anda Tau Berapa Banyak Susu Perlu Diminum Dalam Sehari?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penulis bukanlah seorang peminat susu putih, melainkan jika susu tersebut berperisa. Pada waktu sarapan, penulis gemar mengambil bijirin seperti Cornflakes (lebih gemar jenama Kellogg’s dengan campuran pisang dan strawberi) atau Coco Chex untuk dicampurkan dengan minuman ini. Campuran tersebut boleh mengurangkan rasa asli susu yang penulis kurang gemar. Cornflakes pisang atau strawberi akan memberikan sedikit rasa buah pada hidangan minuman ini, manakala Coco Chex pula menjadikan susu putih bertukar menjadi minuman coklat. Kesedapannya tiada siapa boleh nafikan.

Berbalik kepada soal minuman putih ini, pernahkah anda tertanya-tanya berapakah jumlah susu yang perlu anda ambil dalam sehari untuk mencukupkan pengambilan kalsium harian? Jika anda tidak tahu, kami bagitahu anda sekarang. Baca kat bawah ni.

Keperluan jumlah kalsium harian

Menurut 2010 Dietary Guidelines for Americans, kebanyakan individu dewasa tidak mengambil hidangan susu yang mencukupi dalam pengambilan harian mereka. Individu dewasa disarankan untuk mengambil sebanyak kira-kira 300 mililiter minuman ini dalam sehari. Untuk menepati keperluan kalsium harian, seorang wanita yang berumur antara 19 hingga 50 tahun memerlukan sebanyak 1,000 miligram kalsium dan 1,200 miligram setelah berumur 51 tahun ke atas. Untuk lelaki dewasa pula, mereka memerlukan sebanyak 1,000 miligram kalsium sehari bagi mereka yang berumur antara 19 hingga 70 tahun. 1,200 miligram pula diperlukan jika berumur 70 tahun ke atas.

1, 2, 3 atau 4 gelas?

Berapakah jumlah cadangan harian pengambilan susu untuk mencukupkan penyerapan kalsium dalam tubuh kita? Anda boleh mengambil sekitar 3 hingga 4 gelas minuman ini setiap hari. Jumlah ini akan membekalkan tubuh anda dengan keperluan kalsium harian. 

Bagi memudahkan penyerapan kalsium dalam tulang dan gigi anda, vitamin D yang mencukupi diperlukan dalam proses ini. Sekiranya vitamin D tidak mencukupi, tulang anda masih akan kehilangan ketumpatannya walaupun telah mengambil sumber kalsium yang banyak. Jangan risau, kebanyakan susu yang dijual di pasar raya telah diperkaya dengan vitamin D untuk memudahkan penyerapan kalsium daripada minuman ini kepada tubuh anda.

Tidak semua jenis minuman ini sesuai untuk anda minum. Bagi memastikan pengambilan kalsium mencukupi dan tidak meningkatkan jumlah lemak dan kalori, anda disarankan untuk mengambil pilihan susu yang rendah lemak atau tanpa lemak. 

Bukan susah pun untuk minum minuman ini setiap hari. Jika jenis yang segar agak mahal untuk anda, anda boleh menggunakan susu tepung sebagai ganti. Susu tepung boleh bertahan sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan penggunaan berbanding jenis segar yang mungkin perlu dihabiskan dalam tempoh 3 atau 4 hari sahaja. Bagi mereka yang kurang gemar dengan rasa minuman ini yang asli, boleh cuba cara penulis meminum minuman ini. Campurkan dengan bijirin, dan voila, satu hidangan minuman yang lebih sedap siap terhidang. PM penulis kalau nak tau macam mana rupa kotak bijirin Coco Chex. Kalau tunjuk dekat sini, nanti habis pula Coco Chex di pasar raya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut