Banyak Makan Bawang Punca Badan Berbau?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mesti anda pernah terdengar fakta yang menyatakan bahawa bawang boleh mempengaruhi bau badan kan? Eh, fakta ke? Ingatkan tipu je. Percaya ataupun tidak, apa yang anda makan bukan sahaja boleh mempengaruhi tahap kesihatan anda secara menyeluruh bahkan ia boleh mempengaruhi bau badan anda. Nak tau dengan lebih lanjut? Baca artikel ini.

Nota: Perkataan bawang di dalam artikel ini merujuk kepada bawang putih (garlic).

Rasa bawang guna tapak kaki

Jika anda pernah gosokkan bawang pada bahagian tapak kaki, anda mesti perasan bahawa tindakan itu akan menyebabkan lidah anda mula terasa seakan-akannya. Kenapa ye? Ia seolah-olah tapak kaki anda bertindak sebagai tunas rasa yang kemudiannya memberikan isyarat kepada lidah bahawa badan anda sedang memproses bawang melalui sistem penghadaman anda. 

Kunci kepada fenomena ini adalah molekul yang dinamakan sebagai Allicin. Ia terkandung di dalam bawang dan boleh meresap ke dalam salur darah melalui kulit manusia. Kebolehan ini terletak pada struktur molekul tersebut yang mengandungi bahagian kimia dipanggil sebagai dimethyl sulfoxide (DMSO). Ia bukan sahaja boleh masuk dengan sendirinya, malah membawa komponen kimia yang lain untuk masuk ke dalam sistem pendarahan manusia.

Selain itu, DMSO dan Allicin juga mempunyai sifat separa minyak dan separa air. Secara amnya, minyak dan air tidak boleh meresap masuk ke dalam kulit. Oleh sebab itulah kulit dianggap sebagai sistem perlindungan pertama yang efektif dalam membasmi perubahan persekitaran dalaman badan. 

Namun disebabkan oleh sifat separa air separa minyak tersebut, molekul DMSO dan Allicin boleh masuk dengan mudah ke dalam sistem pendarahan manusia. Ia kemudiannya akan melalui organ hidung dan mulut menyebabkan rasa bawang. Oh, nak tahu fakta menarik? Pengambilan bawang boleh mempengaruhi bau badan melalui sistem perpeluhan dan bau mulut.

Ini berikutan pelepasan gas sulfur  yang merupakan bahan kumuh kepada molekul Allicin. Gas tersebut akan dikumuhkan melalui organ paru-paru menyebabkan bau busuk pada pernafasan individu. Sulfur juga boleh berinteraksi dengan bakteria pada permukaan kulit melalui proses perpeluhan. Ini akan menyebabkan mereka yang mengambil bawang mempunyai bau badan yang busuk terutamanya apabila mereka berpeluh. 

Lelaki yang mengambil bawang mempunyai daya tarikan seksual yang tinggi?

Pada tahun 2015, kajian yang dijalankan oleh Universiti Charles di Prague dan Universiti Stirling telah menunjukkan dapatan yang menarik. Ia bercanggah dengan konsep pemikiran logik individu berkaitan dengan bau badan. Lelaki yang mengambil kapsul bawang putih sehari sekali mempunyai bau badan yang menyenangkan pada pandangan wanita.

Kajian tersebut melibatkan 42 orang subjek lelaki yang mengambil sama ada bawang mentah,  kapsul bawang putih 1000 mg sehari atau kapsul plasebo (tidak mengandungi apa-apa). Mereka kemudiannya memakai pengalas yang boleh menyerap bau pada ketiak mereka untuk tempoh 12 jam. Setelah kesemua pengalas tersebut dikumpulkan, ia kemudiannya dimasukkan ke dalam bekas untuk diberikan kepada subjek wanita.

Apa yang mengejutkan adalah mereka yang mengambil kapsul bawang mempunyai bau ketiak yang lebih menyenangkan bagi subjek wanita. Ini tidak kiralah sama ada bawang tersebut diambil dalam bentuk kapsul ataupun secara mentah. “Suspek” utama adalah pada molekul Allicin. Selain daripada mengeluarkan bahan kumuh sulfur, ia juga bertindak sebagai antioksida dan antimikroorganisma di dalam badan.

Kajian yang dijalankan di UK pada tahun 2001 oleh Josling telah menunjukkan bahawa molekul Allicin boleh melawan beberapa jenis mikroorganisma seperti virus selesema. Ini bermakna, selain daripada menyebabkan bau badan yang busuk disebabkan oleh interaksi antara bakteria dan sulfur, ia juga bertindak sebagai agen antibakteria. Perkara inilah yang dihipotesiskan sebagai mekanisme utama bagaimana bawang putih boleh bertindak sebagai deodorant semula jadi.  

Bau badan sebagai faktor pemilihan teman seksual?

Menurut salah seorang pengkaji yang terlibat dalam kajian 2015 tersebut, bau badan individu, terutamanya bau pada bahagian ketiak merupakan faktor yang penting dalam menyemarakkan hubungan intim. Daripada sudut evolusi, bau tersebut berkemungkinan merupakan faktor pemilihan teman seksual suatu ketika dahulu.

Perkara ini pernah disebutkan oleh seorang saintis saraf, Charles J. Wysocki berkaitan dengan pengisyaratan feromon pada bahagian ketiak. Bahan kimia berkaitan seksual tersebut boleh dilepaskan di beberapa bahagian pada tubuh badan. Namun ketiak merupakan sumber pengeluaran feromon utama jika dibandingkan dengan bahagian badan yang lain.

Peliklah wanita ni, bau ketiak pun boleh terangsang ke? Untuk pengetahuan anda, bau ketiak lelaki (pada kadar tertentu) boleh meleraikan ketegangan emosi dan mempengaruhi kitaran haid mereka dari sudut pandang positif. Lihat sahajalah babak dalam filem-filem romantik. Bukankah perempuan suka berbaring berdekatan dengan bahagian tersebut. 

Pengambilan bawang putih (menurut kajian 2015) boleh membuatkan bau ketiak terkawal. Secara teorinya, ini bermakna, kepekatan feromon yang dapat dihidu oleh wanita tinggi pada lelaki ini. Justeru, interpretasi mereka terhadapnya adalah bau yang menyenangkan.

Elakkan jangkitan dengan pengambilan makanan bawang

Pelbagai kajian telah dijalankan bagi menguji keberkesanan Allicin dalam melindungi individu daripada jangkitan. Ia berupaya untuk meningkatkan tahap kekuatan sistem pertahanan tubuh bagi melawan kemasukan mikroorganisma seperti virus, bakteria dan parasit. Kajian pada 2001 yang dijalankan oleh Josling telah menunjukkan dapatan yang menggambarkan kesan positif tersebut.

Mereka yang mengambil suplemen bawang putih mempunyai jangka masa pemulihan daripada jangkitan yang pendek (1.5 hari) berbanding mereka yang mengambil plasebo (5 hari). Dapatan kajian ini disokong oleh kajian pada tahun 2012 oleh Universiti Florida. Dalam kajian tersebut, mereka yang mengambil suplemen ekstrak bawang putih mempunyai penurunan insiden jangkitan selesema setinggi 61%.

Namun beberapa aspek perlu diambil kira jika anda berhasrat untuk menambah masuk bahan tersebut ke dalam pelan pemakanan anda. Sebagai contoh, pengambilannya boleh menyebabkan nafas anda berbau. Ini bukanlah satu perkara yang menjadi pilihan terutamanya jika kerja anda melibatkan banyak interaksi oral.

Selain itu, kajian yang dijalankan pada tahun 2012 tersebut dianggap berkualiti rendah oleh kajian pada tahun 2014 oleh Universiti di Australia. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pengambilan bawang putih boleh memberikan pelbagai jenis khasiat terhadap kesihatan individu secara menyeluruh.

Konklusi

Terdapat kesan positif dan negatif jika anda ingin mengambil bawang putih sebagai pilihan diet harian anda. Ia mempunyai khasiat yang tersendiri namun bagi sesetengah individu, pengambilannya mungkin memberikan kesan negatif terhadap aspek tertentu seperti faktor alergi dan penampilan diri. Jika anda mengalami simptom seperti gatal-gatal, sesak nafas atau ruam selepas mengambil bawang putih, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 30, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut