Adakah anda seorang yang gemar melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam? Atau anda terlalu sibuk dengan tugasan harian sehingga tidak mempunyai masa untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal. Tetapi tahukah anda, berjalan juga merupakan salah satu aktiviti fizikal yang baik. Ikuti artikel ini untuk mengetahui apakah manfaat berjalan yang mungkin tidak anda ketahui.
Apakah manfaat berjalan?
Berjalan merupakan antara aktiviti fizikal yang popular dalam kalangan individu dewasa, kebiasaannya dalam lingkungan usia 50 tahun ke atas. Ia menjadi pilihan kerana ia mudah dan tidak memerlukan sebarang pakaian ataupun peralatan khusus. Malah ia juga percuma untuk dilakukan. Berikut adalah antara beberapa manfaat berjalan:
- Kesihatan jantung
Antara manfaat kesihatan adalah ia membantu memperbaiki dan meningkatkan kesihatan jantung anda. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa berjalan adalah senaman terbaik, khususnya buat individu yang tidak aktif, terutama individu dewasa, yang dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan kardiovaskular.
- Mengurangkan berat
Berjalan adalah antara senaman yang terbaik dan dapat membantu mengurangkan berat. Saintis di Amerika mencipta percubaan di mana pesakit obes berjalan bersama – konsep ini dikenali sebagai ‘walking bus’ – ke destinasi mereka, sama ada di dalam atau di sekitar bandar. Selepas 8 minggu, pemeriksaan terhadap berat badan mereka mendapati lebih daripada 50% peserta kehilangan berat badan dalam purata 3 kg. Jadi mulakan langkah anda hari ini.
- Tekanan darah
Antara manfaat berjalan adalah dapat membantu mengurangkan tekanan darah. Penyelidikan dari Kolej Perubatan Wakayama, Jepun, terhadap 83 individu yang mempunyai tekanan darah ringan, dengan berjalan 10,000 langkah sehari selama 12 minggu. Pada minggu terakhir eksperimen, terdapat penurunan ketara dalam tekanan darah dan peningkatan dalam stamina. Walaupun anda mungkin tidak dapat berjalan 10,000 langkah sehari, anda perlu berjalan sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari untuk memastikan tahap tekanan darah pada tahap yang baik.
- Melawan kanser
Kanser merupakan antara penyakit yang meragut banyak nyawa. Gaya hidup yang tidak aktif merupakan satu punca penyebab munculnya kanser dan berjalan memberikan manfaat kesihatan yang dapat membantu anda. Penyelidik mendapati bahawa berjalan boleh membantu mengurangkan berat badan, sekali gus, ia membantu mengurangkan risiko kanser. Manfaat berjalan adalah sangat baik kepada individu yang menjalani rawatan kanser dengan mengurangkan kesan sampingan kemoterapi. Ia juga mengurangkan risiko kanser payudara.
- Peredaran oksigen
Berjalan dapat membantu meningkatkan kecerdasan. Ia membantu membekalkan otak dengan jumlah oksigen dan glukosa yang diperlukan, yang membantu otak berfungsi dengan lebih baik. Berjalan turut dapat mengurangkan tahap kolesterol jahat yang dipanggil lipoprotein berkepekatan rendah (LDL) – akan menyumbat arteri – mengurangkan risiko strok. Oleh itu, berjalan boleh membantu meningkatkan peredaran darah dan membantu fungsi otak. Ia juga membantu mengurangkan risiko demensia – masalah lupa.
- Diabetes
Antara manfaat berjalan lain adalah ia yang boleh membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan berkaitan diabetes. Penyelidik mencadangkan untuk berjalan sekurang-kurangnya 5000 langkah sehari dengan lebih daripada 3000 langkah adalah dengan berjalan pantas – untuk membantu mengatasi diabetes jenis 2. Berjalan setiap hari membantu mengawal paras gula dalam darah, dan mencegah diabetes jenis 2.
Apa yang disenaraikan adalah antara manfaat berjalan yang baik untuk kesihatan. Antara manfaat lain adalah berjalan turut membantu mengurangkan tekanan, memperlambatkan penuaan dan memberikan lebih tenaga buat anda. Jadi, apa tunggu lagi? Mulakan langkah anda sekarang, berjalanlah demi kesihatan yang lebih baik.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Tahap Demensia Yang Perlu Anda Tahu
- Perubahan Gaya Hidup Boleh Mencegah Diabetes Jenis 2
- Pemakanan Yang Baik, Mengurangkan Kolesterol
[embed-health-tool-heart-rate]