backup og meta

'Beauty Is Pain', 8 Jenis Kasut Tumit Tinggi Ini Bawa Mudarat Pada Si Pemakai, AWAS!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 19/04/2023

    'Beauty Is Pain', 8 Jenis Kasut Tumit Tinggi Ini Bawa Mudarat Pada Si Pemakai, AWAS!

    Beauty is pain’’. Ini adalah pepatah yang sering kali diujarkan oleh kebanyakan penggemar dan pengikut fesyen. Dari hujung rambut ke hujung kaki, kesemuanya memerlukan penggunaan atau penggayaan fesyen yang kadangkala menyakitkan. Sebagai contoh, kasut tinggi.

    Apabila membabitkan penggunaan kasut, sudah pasti ia sangat sinonim dengan gaya penampilan setiap wanita. Jadi, tidak dinafikan setiap wanita mempunyai pelbagai koleksi jenis kasut untuk penggunaan rutin atau fungsi yang berbeza.

    Bagi kebanyakan wanita berkerjaya, mereka sudah pasti menjadikan penggunaan kasut tinggi sebagai salah satu aksesori penting bagi menyerlahkan keanggunan diri dan membuatkan mereka berasa bergaya seiring dengan peredaran fesyen.

    Pun begitu, setiap perkara mempunyai pro dan kontranya. Anda perlu tahu bahawa di sebalik kecantikannya, pasti ada kemudaratan.

    Ingin tahu mengenai mudarat kasut tumit tinggi dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

    Kasut tinggi buat individu tampil langsing tapi ini fakta sebenar!

    kasut tinggi

    Di sebalik kecantikan yang dibawanya, kasut tinggi ini sebenarnya boleh mendatangkan beberapa kemudaratan terhadap individu yang memakainya.

    Mungkin jika anda sudah tahu apakah kemudaratan yang disebabkan olehnya, anda akan mula fikir untuk mahu atau tidak memakai kasut tinggi ini.

    Tahukah anda bahawa negara Filipina telah mengharamkan penggunaannya kerana ia boleh menjejaskan kesihatan individu?

    Statistik menunjukkan bahawa kasut dengan tapak yang tinggi adalah salah satu faktor terbesar yang menyebabkan masalah pada kaki dalam kalangan wanita, sehingga mengakibatkan masalah kekal sebagai akibat daripada penggunaan yang berpanjangan.

    tumit

    Walaupun kasut ini mempunyai nilai (harga) yang lebih tinggi, namun ia berpotensi mengubah postur badan dan menjejaskan kesihatan anda secara keseluruhan

    Jenis kasut tinggi dan kesannya

    Sebelum itu, wajar untuk kita kenal terlebih dahulu jenis kasut tumit tinggi dan pelbagai lagi jenis kasut lain yang sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan kita, seperti:

    #1. Kasut tinggi ultra high

    kasut tinggi

    Kasut tumit tinggi ultra high boleh menyebabkan buku lali terseliuh dan pelbagai sakit kronik yang mungkin anda sendiri belum tahu mengenainya.

    Kasut tinggi, sama ada stail sky high atau stail medium high, diketahui boleh menyebabkan benjolan yang menyakitkan di bahagian belakang tumit.

    Tekanan yang diletakkan pada tempat ini menyebabkannya lebam, bengkak, lepuhan dan juga sakit Achilles

    Dengan menukar kasut dan memakai pad tumit mungkin dapat membantu melegakan kesakitan, namun benjolan ini akan berkekalan.

    Masalahnya adalah pada posisi kasut bertumit tinggi ultra high ketika meletakkan kaki di dalamnya.

    Kesemua tekanan diletakkan pada tapak kaki bahagian depan. Ini merupakan lokasi kritikal di mana tulang metatarsus yang panjang bertemu dengan tulang sesamoid dan tulang kaki (phalanges).

    Tekanan yang berlebihan boleh merosakkan tulang dan saraf. Dalam sesetengah keadaan, tekanan pada jangka masa panjang boleh mengakibatkan fraktur halus. 

    Satu-satunya penyelesaian adalah berjalan dengan menggunakan kasut tumit yang rendah. Pakar mengesyorkan ketinggian kasut seharusnya tidak melebihi daripada 5 cm. Biarpun bertumit 5 cm, ia tidak patut dipakai sepanjang masa.

    #2. Stilettos

    Stilettos merupakan heels dengan tumitnya yang sangat sempit. Keseluruhan berat anda diletakkan pada satu titik halus. Ini akan meningkatkan risiko anda untuk jatuh dan menyakitkan buku lali anda.

    Lebih baik anda memakai kasut bertumit dempak. Ini kerana ia mempunyai permukaan yang besar, membenarkan pembahagian berat badan yang sekata. Kasut bertumit dempak menyediakan lebih kestabilan seterusnya mengurangkan risiko anda untuk tersandung.

    #3. Ballet flats

    Ballet flats tidak mempunyai struktur sokongan. Ia bukan sahaja mencegah kaki daripada berfungsi dengan baik, namun ia turut meningkatkan risiko masalah lutut, pinggul dan belakang badan.

    Sokongan lengkung yang tidak sempurna mungkin menyebabkan fasciitis plantar. Sekiranya anda masih mahu memakai ballet flats, anda harus membeli lapik dalam kasut dan pad tumit untuk menyediakan kaki anda dengan lebih banyak sokongan.

    #4. Flip flop

    Memandangkan flip flop atau selipar menawarkan liputan yang sangat sedikit, ia meletakkan risiko kaki anda untuk terkena selumbar dan kecederaan. Oleh itu, pesakit diabetes tidak sepatutnya memakai selipar bagi mengelakkan komplikasi yang terhasil daripada luka dan geseran. Selain itu, selipar hampir sama dengan ballet flats kerana tiada sokongan lengkung.

    #5. Gladiator sandals

    Gladiator sandals adalah sejenis kasut yang menggunakan ikatan atau lilitan tali pada bahagian hadapannya lalu menjadikannya sangat cantik dan menarik untuk dipakai.

    Namun begitu, tali ini hanya akan memberi ilusi sokongan buku lali tetapi ia sebenarnya tidak sekuat mana. Disebabkan itu, ia boleh menyebabkan kaki si pemakai terseliuh apabila jatuh.

    #6. Kasut Mule

    kasut tinggi

    Mule adalah sejenis kasut yang berbentuk tirus di hadapannya dan ia hadir dengan varisasi bertutup atau terbuka. Kedua-duanya adalah tidak disyorkan dipakai kerana ia akan memenyekkan jari kaki ekoran bentuk hadapannya yang tirus.

    Lebih penting, ia tidak memberi sokongan kepada buku lali dan bahagian belakang kaki. Ia akan menyebabkan buku lali terseliuh ataupun kerosakan jangka panjang.

    #7. Kasut platform

    Kasut platform mempunyai tapak kasut yang keras. Ia mengganggu mekanisme berjalan. Semasa anda berjalan, kaki anda perlu bengkok. Kasut platform pula akan menghalang anda daripada membengkokkan kaki.

    Bayangkan semasa anda cuba untuk berjalan di mana kaki anda berusaha sebaik mungkin untuk membengkok tetapi kasut platform anda terus menggunakan tapaknya yang keras untuk memegang kaki anda.

    #8. Kasut plastik

    Kasut plastik adalah trend wanita masa kini. Diharapkan trend ini tidak akan tahan lama kerana ia berpotensi menjadi tempat bakteria membiak!

    Material plastik itu bukan saja menyebabkan kaki anda berpeluh dan berbau busuk, tapi geserannya juga boleh mengakibatkan lepuh dan rasa sakit.

    Jadi anda masih mahu memakai kasut tinggi atau kasut jenis lain yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap anda? Fikirkannya semula.

    Bagaimana kasut tumit tinggi menjejaskan pemakainya?

    Tubuh badan seorang wanita akan cuba untuk mengimbangi tumit yang disebabkan oleh lenturan pinggul dan tulang belakang ke hadapan. Untuk mengekalkan keseimbangan, betis, pinggul dan otot belakang akan menjadi tegang.

    Ini seterusnya akan menyebabkan keletihan dan ketegangan pada otot yang berlebihan. Lama-kelamaan, penggunaan kasut bertumit tinggi juga boleh menyebabkan otot betis menjadi kejang dan bonjol (bulge).

    Kebanyakan wanita akan mengalami perubahan pada postur tubuh mereka sebaik sahaja mereka memakai kasut tinggi. Perkara ini berlaku disebabkan oleh perubahan pada keberadaan titik tekanan.

    Berikut merupakan kemudaratan kasut bertumit tinggi terhadap pemakainya secara terperinci:

    Mudarat kasut tinggi #1. Belakang

    Bentuk lengkung normal belakang berfungsi sebagai penyerap kejutan, mengurangkan tekanan pada vertebra.

    Memakai kasut bertumit tinggi menyebabkan tulang belakang lumbar (berkaitan dengan bahagian bawah belakang tubuh) mengembang dan anjakan posterior (terletak berham­piran dgn bahagian belakang) kepala dan tulang belakang toraks.

    Kasut bertumit tinggi juga akan menyebabkan anda bersandar ke hadapan. Tubuh bertindak balas terhadapnya untuk mengurangkan lengkung ke hadapan di belakang bagi membantu mengekalkan kedudukan belakang anda. Penyelarasan yang tidak baik mungkin menyebabkan terlalu banyak penggunaan otot dan sakit belakang.

    tumit

    #2. Postur

    Kasut bertumit tinggi meletakkan peningkatan tekanan pada bahagian hadapan kaki menyebabkan anda menyesuaikan seluruh tubuh untuk mengekalkan keseimbangan.

    Bahagian bawah badan anda bersandar ke hadapan, dan untuk mengimbanginya, bahagian atas badan anda harus bersandar untuk memastikan anda seimbang.

    Kesan pakai kasut tinggi #3. Perubahan anatomi

    Penggunaan kasut bertumit pada setiap hari selama beberapa tahun sebenarnya boleh menyebabkan perubahan dalam anatomi anda.

    Kasut tumit tinggi meletakkan tekanan yang tidak wajar pada bahagian belakang dan lutut kerana berat badan beralih ke hadapan.

    Tambahan pula, otot betis boleh memendek dan tendon boleh menebal. Gelinciran satu vertebra ke hadapan kerap berlaku akibat memakai kasut bertumit tinggi, terutamanya di kawasan lumbar di tulang belakang di mana berat badan tertumpu.

    #4. Stenosis foraminal

    Stenosis foraminal adalah keadaan saraf tulang belakang yang berlaku apabila keabnormalan anatomi menghalang atau mengurangkan ruang dalam satu atau lebih foramina.

    Stenosis foraminal di bahagian bawah boleh menyebabkan simptom kesakitan, kebas, kesemutan, kelemahan otot dan kekejangan melalui punggung dan bawah kaki.

    Sciatica, yang disebabkan oleh mampatan saraf sciatic, adalah istilah yang sering dikaitkan dengan set tertentu simptom bawah badan.

    Kesimpulannya, keputusan memakai kasut dengan tumit tinggi ataupun tidak adalah terletak di tangan anda. Nasihat daripada pakar, lebih baik utamakan keselamatan dan kesihatan anda berbanding mengejar fesyen atau trend!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 19/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan