Perkahwinan bukan sekadar hubungan fizikal antara lelaki dan perempuan. Tetapi ia sarat dengan komitmen dan tanggungjawab yang perlu dipikul suami dan isteri. Malangnya, banyak tanggungjawab suami isteri dalam rumah tangga yang sering kali diabaikan pada masa kini.
Dalam perkongsian artikel ini, akan dikongsikan antara peranan yang sering terlepas pandang dalam hubungan suami isteri.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, boleh klik di sini.
Tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan
Setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab dan hak tersendiri dalam institusi perkahwinan.
Tanggungjawab berkait rapat dengan hak. Hak bagi seorang suami merupakan tanggungjawab bagi seorang isteri. Begitu jugalah hak seorang isteri adalah peranan untuk seorang lelaki bergelar suami tunaikan.
Setiap hak merangkumi kewajipan dan tanggungjawab. Disebabkan itu setiap usaha menuntut hak, mestilah diseimbangkan dengan tanggungjawab. Hal ini demikian kerana dalam menuntut hak daripada individu lain, terdapat pula tanggungjawab kita untuk tunaikan hak mereka.
Dalam Islam sendiri, setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya.
Jadi apa antara tugas suami isteri dalam rumah tangga yang sering kali diabaikan ya?
Tanggungjawab suami isteri: Peranan suami terhadap isteri
Tanggungjawab suami terhadap wanita bergelar suri hati sangat besar dan berat. Oleh itu, amat penting untuk setiap lelaki yang bergelar suami memahami dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap isteri dengan sebaik mungkin.
Berikut antara tanggungjawab seorang suami kepada pasangannya yang selalunya terlepas pandang:
1. Nafkah zahir dan batin
Nafkah zahir merangkumi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan perubatan.
Ramai suami beranggapan tidak perlu memberikan nafkah kepada isteri jika bekerja atau mempunyai jawatan lebih besar. Namun tanggapan itu salah sama sekali kerana suami tetap bertanggungawab menyediakan keperluan asas isteri, tanpa mengira mereka bekerja atau tidak.

Dalam masa sama, nafkah bukan hanya melibatkan keperluan fizikal, ia turut merangkumi agama, rohani, sokongan emosi, kasih sayang dan seksual.
Tanggungjawab suami isteri #2. Ringankan beban
Sekarang ini banyak kita dengar luahan si isteri yang suami tidak membantu dalam melakukan tugasan rumah.
Walaupun kita sering menganggap menguruskan hal rumah tangga adalah tugas isteri, tetapi suami juga perlu membantu meringankan beban mereka.
Suami boleh hulurkan tangan untuk melakukan tugasan rumah seperti memasak, mencuci, membersihkan rumah, waima menjaga anak sekalipun. Malah jika mampu, mengupah pembantu rumah atau pengasuh anak juga antara cara untuk meringankan beban isteri.
3. Didikan agama dan kemahiran diri
Memberikan didikan agama kepada isteri dan anak-anak adalah antara tanggungjawab suami. Ia sering menjadi antara perkara diabaikan oleh kebanyakan lelaki pada masa kini.
Suami juga perlu mendorong isteri mempertingkatkan kemahiran diri dalam bidang lain seperti kerjaya dan hidup. Berikan sokongan moral dan kewangan untuk isteri melanjutkan pelajaran atau menghadiri kursus.
4. Hormat dan layanan baik dalam tanggungjawab suami isteri
Suami perlu melayan isteri dengan penuh adab dan hormat. Peranan dan sumbangan isteri dalam menguruskan rumahtangga dan membesarkan anak perlulah diiktiraf. Hargai pandangan dan pendapat isteri dalam membuat keputusan bersama.
Amalkan pertuturan yang baik semasa bercakap dengan isteri. Elakkan perbuatan memaki hamun, mencarut, bercakap kasar, kerana semua itu adalah bentuk layanan tidak baik.
5. Maruah dan kehormatan
Sebagai suami, anda seharusnya menjaga maruah dan kehormatan isteri dan keluarga. Jangan bercerita tentang kelemahan atau kekurangan isteri kepada individu lain.
Manakala tanggungjawab suami dalam Islam pula adalah untuk menyediakan dan memastikan pakaian yang dipakai suri hati dan keluarga menutup aurat serta patuh pada syariat.

Tanggungjawab isteri terhadap suami
Dalam soal tanggungjawab suami isteri, seorang isteri pula memikul peranan yang sama pentingnya dengan suami. Jom ketahui apa antara tanggungjawab isteri yang sering diabaikan pada masa kini.
6. Taat dan patuh
Sebagai seorang isteri, adalah menjadi tanggungjawab untuk mematuhi arahan dan keputusan pasangan selagi ia tidak melanggar batas-batas agama serta melibatkan perkara baik.
Namun dalam masa sama, anda masih boleh menyuarakan pendapat atau pandangan, tetapi masih perlu menghormati kedudukan suami.
7. Berhias diri
Antara tanggungjawab isteri yang sering diabaikan adalah untuk menjaga penampilan buat pasangannya. Ini termasuk aspek kebersihan diri, berpakaian kemas serta mengenakan wangian yang disukai suami.
Malangnya masa pada kini, lebih ramai wanita yang berhias ketika keluar rumah berbanding semasa di rumah.
Tanggungjawab suami isteri #8. Makanan dan waktu tidur
Menyediakan makanan berkhasiat dan memastikan suami mendapat tidur yang mencukupi antara peranan seorang isteri.
Kedua-dua aspek ini penting demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan suami bagi memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.
9. Keperluan batin
Seks adalah hak suami dan isteri dalam perkahwinan. Seorang isteri bertanggungjawab melayani keperluan batin suami dengan rela dan tanpa paksaan.

Namun jika ada sebab munasabah seperti mengalami haid atau terlalu letih, tidak menjadi masalah untuk menolak permintaan suami. Tetapi lakukan dengan cara yang baik.
10. Kehormatan dan harta
Jika suami yang perlu menjaga maruah dan kehormatan isteri, maka begitu juga sebaliknya.
Isteri perlu tahu menjaga rahsia keluarga dan tidak membicarakan perkara peribadi kepada orang luar serta menjaga tingkah laku dan pergaulan agar tidak mencemarkan nama baik suami dan keluarga. Dalam soal harta pula, berjimatlah ketika berbelanja dengan harta suami.
Tanggungjawab suami isteri demi kebahagiaan bersama
Hak dan tanggungjawab yang lahir dalam sebuah perkahwinan bermatlamat untuk menjaga hubungan dan kebahagiaan ikatan tersebut.
[embed-health-tool-ovulation]