backup og meta

Kerap Rasa Nak Terkencing Bila Bersin Atau Ketawa? Semak 22 Penyebab Utamanya Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/10/2022

    Kerap Rasa Nak Terkencing Bila Bersin Atau Ketawa? Semak 22 Penyebab Utamanya Ini! 

    Ada banyak punca kencing tak lawas atau kerap kencing yang boleh menyebabkan pesakit rasa kurang selesa.  Malah, penyakit ini juga boleh berlaku secara sementara atau dalam jangka masa yang lama. 

    Punca kencing tak lawas ini terbahagi kepada dua iaitu inkontinens urin berkekalan dan juga inkontinens urin sementara. 

    Seperti namanya, inkontinens berkekalan bermaksud ia berlaku dalam jangka masa yang panjang, manakala inkontinens sementara pula mungkin berlaku disebabkan pola pemakanan atau dehidrasi. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Tak Lawas, sila dapatkannya di sini. 

    Punca kencing tak lawas – Inkontinens urin berkekalan

    Inkontinens urin boleh menjadi satu kondisi yang berkekalan jika ia disebabkan oleh perubahan dari segi fizikal atau penyakit. Sebagai contoh:

    1. Kehamilan punca inkontinens urin

    Hormon yang dirembeskan ketika mengandung boleh menyebabkan otot pada kawasan lantai pelvis mengendur lalu meregang. 

    Apabila bayi semakin membesar, otot pelvis juga akan meregang dan tekanan ini akan menyebabkan ibu mengalami inkontinens stres.

    2. Melahirkan anak

    Ibu yang bersalin secara normal melalui vagina selalunya akan mengalami masalah untuk mengawal pundi kencing. 

    Setelah melahirkan anak, ibu mungkin akan alami kecederaan seperti rahim jatuh (prolapse) yang boleh menyebabkan masalah kerap kencing. 

    3. Menopaus

    Wanita yang sedang mengalami menopaus lebih berisiko untuk menghadapi masalah inkontinens urin. Ini berlaku apabila wanita menginjak ke usia yang lebih tua, badan mereka akan kurang menghasilkan hormon estrogen.

    Hormon estrogen penting untuk mengekalkan lapisan pundi kencing dan uretra kekal sihat. Kekurangan hormon ini akan menyebabkan wanita mula mengalami inkontinens.

    4. Inkontinens urin selepas pembedahan hysterectomy

    Wanita yang melakukan pembedahan hysterectomy untuk membuang rahim dan pangkal rahim mungkin akan mengalami kecederaan pada kawasan lantai pelvis. Pembedahan ini akan menyebabkan mereka mengalami masalah inkontinens.

    5. Pembesaran prostat punca kencing tak lawas 

    Ramai lelaki alami masalah inkontinens urin disebabkan oleh penyakit yang dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH). Kondisi ini adalah normal dan akan berlaku apabila lelaki menjadi semakin tua.

    Prostat yang membesar boleh menyebabkan simptom urinari yang tidak menyenangkan. Ia bukan sahaja akan menyebabkan inkontinens urin, malah mendatangkan masalah lain yang berkaitan dengan pundi kencing, saluran urinari dan buah pinggang.

    6. Kerap kencing disebabkan kanser prostat

    Dalam kalangan lelaki, inkontinens urin selalunya dikaitkan dengan kanser prostat yang tidak dirawat. Walau bagaimanapun, masalah kencing tak lawas lebih lazim berlaku sebagai kesan sampingan untuk pesakit yang menerima rawatan kanser prostat. 

    7. Halangan di dalam saluran urinari

    Sebarang halangan pada saluran urinari boleh menyebabkan pengaliran air kencing terganggu. Contohnya, batu karang yang terbentuk di dalam pundi kencing boleh menyebabkan pesakit mengalami inkontinens terdesak.

    8. Masalah neurologikal sebabkan pesakit kerap kencing

    Punca kencing tak lawas

    Penyakit neurologikal seperti sklerosis berbilang, Parkinson, strok dan tumor otak boleh mengganggu sistem saraf yang berkaitan dengan fungsi pundi kencing.

    Akibatnya, pesakit akan alami inkontinens urin sebagai salah satu simptom penyakit tersebut.  

    Inkontinens urin sementara

    Inkontinens urin juga boleh berlaku secara sementara. Selalunya, ia disebabkan oleh beberapa jenis minuman, makanan dan ubat-ubatan yang bersifat diuretik.

    Diuretik ialah sejenis bahan yang menyebabkan buah pinggang mengumuhkan lebih banyak air kencing daripada biasa.

    Oleh sebab itu, semakin banyak anda ambil makanan atau minuman yang bersifat diuretik, makin bertambah lah keinginan anda untuk ke tandas.

    Antara makanan yang boleh menyebabkan inkontinens urin sementara adalah:

    1. Alkohol dan kafein punca kencing tak lawas 

    Alkohol dan kafein, kedua-duanya merupakan sejenis diuretik yang boleh menyebabkan pesakit yang menghidap inkontinens urin untuk mengalami simptom yang lebih teruk.

    Jika mengalami inkontinens, anda disarankan untuk meninggalkan alkohol dan minuman berkafein seterusnya lihat sama ada ia membawa sebarang perbezaan.

    Alkohol dengan sendirinya tidak boleh menyebabkan inkontinens urin. 

    Namun, untuk mereka yang kerap terkencing, ia boleh menjadi pemicu atau trigger yang membuatkan pesakit mengalami inkontinens. Bukan itu sahaja, alkohol juga boleh menyebabkan pundi kencing mengalami iritasi.

    Sama seperti alkohol, kafein juga mempunyai efek yang sama. Jika anda penggemar kafein, masalah kencing tak lawas yang anda alami mungkin disebabkan oleh pengambilan kopi pada waktu siang hari. 

    Lebih teruk lagi, alkohol dan kafein boleh menyebabkan anda alami dehidrasi. Semakin banyak anda ambil minuman ini, semakin keraplah anda perlu ke tandas untuk membuang air.

    Perkara ini berlaku disebabkan oleh sifat diuretik yang ada pada alkohol dan kopi yang akan menyebabkan badan mengkumuhkan lebih banyak air daripada jumlah yang diminum.

    2. Minuman berkarbonat dan sparkling water

    Minuman berkarbonat dan sparkling water boleh menyebabkan iritasi terhadap pundi kencing yang sensitif.

    Oleh sebab itu, jika anda mempunyai penyakit pundi kencing terlebih aktif (overactive bladder – OAB) atau inkontinens terdesak, pastikan anda kurangkan pengambilan minuman berkabonat.

    3. Pemanis tiruan

    Pemanis tiruan seperti sodium saccharine, acesulfame K dan aspartame didapati dapat mempengaruhi fungsi pundi kencing dan menyebabkan iritasi dalam kalangan individu yang menghidap penyakit inflamasi pundi kencing kronik. 

    Selain itu, pemanis tiruan juga didapati akan menyebabkan pesakit yang mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) untuk mendapat simptom yang lebih teruk.

    Jika anda mengalami inkontinens, cuba kurangkan pengambilan makanan manis. Mana tahu, ini merupakan sebab anda alami masalah kencing tak lawas!

    4. Kerap kencing disebabkan coklat

    Punca kencing tak lawas

    Tahukah anda, coklat yang dimakan juga mengandungi kafein? Tidak kiralah ia coklat gelap, coklat susu atau coklat putih, semuanya mengandungi jumlah kafein yang hampir sama.

    Seperti yang diterangkan sebelum ini, kafein mempunyai kesan buruk terhadap pesakit yang mempunyai masalah inkontinens urin. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan masalah kerap kencing, anda harus waspada ketika makan coklat. 

    5. Inkontinens urin selepas makan cili atau makanan pedas

    Ada individu yang mengalami masalah untuk mengawal pundi kencing setelah makan makanan yang berasid dan pedas. Jika anda rasa ini penyebab inkontinens yang dialami, cuba berhenti mengambil makanan pedas buat seketika dan lihat kesannya kepada diri anda.

    6. Makanan berasid dan berempah

    Jika anda rasakan makanan yang masam dan berempah seperti kari atau buah-buahan sitrus merupakan punca anda alami inkontinens, kurangkanlah ambil makanan sebegini.

    Cara yang terbaik untuk mengelakkan inkontinens urin ialah dengan menjauhi makanan yang boleh menyebabkan pundi kencing anda mengalami iritasi.

    7. Ubat-ubatan untuk sakit jantung dan darah tinggi

    Ubat-ubatan yang diambil untuk merawat sakit jantung dan darah tinggi juga boleh menyebabkan pesakit mengalami inkontinens urin. 

    Sebagai contoh, pesakit yang mengambil alpha blockers untuk merawat darah tinggi mungkin perlu berbincang dengan doktor masing-masing untuk alternatif lain. Dalam kalangan wanita, pengambilan alpha blocker boleh membuatkan masalah inkontinens jadi semakin teruk. 

    8. Vitamin C yang banyak

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Maserejian, et al. pada tahun 2011, mereka mendapati pengambilan vitamin C dalam dos yang tinggi merupakan salah satu punca inkontinens urin dan kerap kencing.

    Untuk pengetahuan anda, pengambilan vitamin C yang terlalu banyak tidak akan memberikan apa-apa manfaat dari segi kesihatan. Malah, ia akan menyebabkan iritasi pada kawasan pundi kencing.

    Faktor risiko kerap kencing 

    Ada beberapa faktor yang membuatkan anda lebih berisiko untuk menghidap kerap kencing atau inkontinens urin. Antaranya ialah:

    1. Jantina

    Wanita lebih berisiko untuk menghidap inkontinens stress berbanding lelaki. Ini kerana, kaum Hawa perlu melalui proses kehamilan, melahirkan anak dan menopaus yang menyebabkan mereka alami perubahan di dalam struktur dan kekuatan otot pelvis.

    Lelaki pula lebih berisiko untuk mengalami inkontinens terdesak dan inkontinens melimpah lebih-lebih lagi jika mereka mengalami masalah prostat.

    2. Umur

    Inkontinens lebih lazim di kalangan mereka yang sudah berusia. Malah, risiko untuk menghidap kondisi ini serta penyakit yang menyebabkan inkontinens urin turut meningkat seiring dengan usia seseorang.

    Otot pada bahagian pundi kencing dan uretra juga akan jadi semakin lemah. Oleh sebab itu, orang lebih tua mempunyai masalah untuk menahan kencing dalam jangka masa yang panjang.

    Inkontinens urin merupakan sesuatu yang biasa di dalam kalangan individu yang berusia 50 tahun ke atas dan sangat lazim dalam kalangan mereka yang berumur 80 tahun ke atas.

    3. Berat badan berlebihan

    Berat badan berlebihan menyebabkan adanya tekanan pada kawasan pundi kencing dan sekitarnya. 

    Akibatnya, pundi kencing akan jadi lemah sekaligus pesakit jadi mudah terkencing jika batuk atau bersin.

    4. Merokok punca kencing tak lawas

    Punca kencing tak lawas

    Perokok juga tidak terlepas untuk mengalami masalah inkontinens urin. Malah, golongan ini akan alami simptom yang lebih teruk disebabkan sifat rokok itu sendiri yang boleh menyebabkan iritasi pada kawasan pundi kencing. 

    Individu yang telah merokok dalam satu jangka masa yang sama akan alami batuk kronik. Batuk yang berpanjangan inilah yang akan menyebabkan perokok mengalami inkontinens urin. 

    Batuk yang kronik akan membuatkan otot pada kawasan pelvis mengalami stres. Perlahan-lahan, otot tersebut akan lemah dan tidak mampu lagi berfungsi seperti  kebiasaannya. 

    5. Sejarah keluarga punca kencing tak lawas

    Ada wanita yang lahir dengan otot lantai pelvis yang lemah. Oleh sebab itu, wanita daripada kategori ini lebih berisiko untuk menghidap inkontinens urin lebih-lebih lagi jika ada ahli keluarga mereka mengalami kondisi yang sama.

    6. Menghidap penyakit lain punca kencing tak lawas 

    Pesakit yang alami penyakit neorologikal lebih berisiko untuk menghidap inkontinens urin dan menjadi punca masalah kerap kencing yang dialami.

    Sebagai contoh, mereka yang mempunyai masalah strok, sklerosis berbilang, Parkinson, diabetes atau jangkitan saluran kencing (UTI) akan alami inkontinens urin sebagai salah satu simptom penyakit yang dialami. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan