Kenali Apa Itu Sebenarnya Penyakit Beri Beri, Simptom & Rawatan Yang Diperlukan!
Pernahkah anda mendengar mengenai penyakit beri beri? Jika belum, di sini kami kongsikan beberapa maklumat berkenaan keadaan beri beri ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Otak & Saraf, anda boleh klik di sini.
Apa itu penyakit beriberi?
Kondisi beri beri merupakan satu keadaan penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B1 dalam tubuh badan. Ia juga disebut sebagai penyakit kekurangan thiamin.
Ia biasanya berlaku dalam kalangan mereka dengan diet yang banyak mengambil nasi putih atau jenis karbohidrat yang diproses.
Terdapat dua jenis keadaan bagi penyakit ini iaitu beri beri basah dan juga beri beri kering.
Beriberi yang basah boleh menjejaskan jantung dan juga sistem aliran darah. Bagi kes-kes yang ekstrem, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung.
Manakala bagi beriberi kering pula, ia boleh memberi kesan terhadap sistem saraf dan boleh membawa kepada penurunan kekuatan otot dan seterusnya menyebabkan kelumpuhan pada otot.
Ia juga boleh meragut nyawa jika dibiarkan tanpa rawatan.
Pada masa sekarang, kes-kes beriberi banyak berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah pengambilan alkohol secara berlebihan.
Selain itu, ia juga boleh berlaku disebabkan oleh komplikasi pembedahan penurunan berat badan (bariatrik).
Bagi kes-kes yang ekstrem, ia juga boleh menyebabkan sindrom Wernicke-Korsakoff.
Ia merupakan dua jenis kerosakan otak yang boleh berlaku disebabkan oleh kekurangan thiamin.
Apabila sindrom ini berlaku, ia boleh menjejaskan kawasan otak yang disebut sebagai talamus dan hipotalamus.
Kesannya, anda mungkin akan mengalami kehilangan memori, kekeliruan, hilang koordinasi otot dan juga masalah penglihatan.
Simptom-simptom penyakit beri beri

Simptom-simptom bagi kondisi ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada jenis beriberi yang dialami.
Bagi beriberi basah, simptom yang boleh dialami adalah seperti berikut:
- Mudah sesak nafas ketika melakukan sebarang aktiviti fizikal
- Tercungap-cungap apabila bangun daripada tidur
- Degupan jantung yang laju
- Bahagian kaki bawah membengkak
Bagi jenis beriberi kering pula, simptom-simptom yang boleh berlaku termasuklah:
- Badan berasa sakit
- Penurunan fungsi otot, terutamanya pada bahagian kaki bawah
- Rasa kesemutan atau hilang sensitiviti pada bahagian tapak kaki dan juga tapak tangan
- Sukar untuk bercakap
- Kekeliruan mental
- Muntah-muntah
- Kelumpuhan otot
- Pergerakan mata secara tidak sengaja
Punca penyakit beri beri
Punca utama yang menyebabkan keadaan ini ialah disebabkan diet yang kurang kandungan thiamin atau vitamin B1.
Penyakit ini sangat jarang berlaku di kawasan yang mempunyai akses terhadap makanan yang kaya dengan vitamin.
Ia lebih mudah berlaku di negara-negara yang mengamalkan diet yang tinggi dengan nasi putih.
Faktor risiko penyakit ini

Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan kekurangan thiamin. Antaranya ialah:
- Penyalahgunaan alkohol yang boleh menyebabkan tubuh badan sukar untuk menyerap dan menyimpan thiamin
- Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlalu aktif)
- Faktor genetik
- Rasa loya dan muntah-muntah yang ekstrem ketika hamil
- AIDS
- Pembedahan bariatrik (penurunan berat badan)
- Mengalami cirit-birit dalam tempoh yang panjang atau penggunaan ubat diuretik
- Menjalani rawatan dialisis buah pinggang
- Mengalami masalah kekurangan nutrisi
- Menghidap diabetes
- Menghidap kanser
- Masalah gangguan pemakanan
- Penyakit radang usus (IBS)
Bagaimana penyakit ini didiagnosis?
Anda memerlukan satu siri ujian perubatan untuk menentukan sama ada anda menghidap penyakit beri beri. Ujian darah dan air kencing ini akan mengukur tahap thiamin dalam badan anda.
Selain itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan neurologi untuk melihat kekurangan koordinasi, kesukaran berjalan, kelopak mata lesu, dan refleks yang lemah.
Individu yang mengalami beriberi peringkat akhir akan menunjukkan simptom-simptom seperti kehilangan ingatan, kekeliruan, atau khayalan.
Pemeriksaan fizikal akan memberikan maklumat tentang sebarang masalah jantung yang mungkin berlaku.
Degupan jantung yang cepat, bengkak pada bahagian bawah kaki, dan kesukaran bernafas adalah antara simptom bagi keadaan ini.
Rawatan bagi penyakit beriberi
Beriberi boleh dirawat dirawat dengan mudah melalui pengambilan suplemen thiamin.
Doktor mungkin akan menetapkan pengambilan suntikan atau pil thiamin.
Untuk kes yang teruk, doktor mungkin akan menyuntik thiamin ke dalam saluran darah.
Anda kemudiannya akan dipantau dengan ujian darah susulan untuk melihat sejauh mana tubuh anda menyerap thiamin tersebut.
Pencegahan penyakit beriberi

Untuk mencegah diri anda daripada mengalami penyakit ini, anda perlu mengambil makanan yang seimbang dan juga kaya dengan nutrien.
Ini termasuklah makanan yang kaya dengan kandungan thiamin.
Antara jenis makanan yang tinggi dengan thiamin ialah seperti biji-bijian, kekacang, ikan, bijirin penuh, produk tenusu, sayur bayam dan asparagus.
Namun, jika makanan-makanan ini terlalu banyak diproses atau melalui proses memasak, kandungan thiamin di dalamnya akan berkurangan.
Selain itu, anda juga boleh mengambil bijirin sarapan pagi yang diperkaya dengan vitamin B1.
Bagi mereka yang kerap mengambil minuman beralkohol pula, anda perlu mengehadkan atau menghentikan terus tabiat tersebut bagi mengurangkan risiko anda mendapat penyakit ini.