Anda mungkin pernah mendengar mengenai penyakit lupus atau penyakit SLE. Tetapi, tahukah anda tentang tanda-tandanya? Lihat penerangan lanjut di bawah ini.
Anda mungkin pernah mendengar mengenai penyakit lupus atau penyakit SLE. Tetapi, tahukah anda tentang tanda-tandanya? Lihat penerangan lanjut di bawah ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.

Lupus, atau dikenali sebagai Systemic Lupus Erythematosus (SLE), adalah penyakit autoimun yang boleh menjejaskan pelbagai bahagian badan seperti kulit, sendi, dan organ dalaman.
Dalam penyakit ini, sistem imun badan menyerang tisu badan sendiri, lalu menyebabkan keradangan dan kerosakan kepada tisu dan organ tersebut.
Walaupun punca sebenar SLE masih belum diketahui, faktor genetik dan persekitaran dipercayai menjadi antara faktor penyebabnya.
Di Malaysia, SLE lebih kerap menyerang wanita berbanding lelaki, dan ia selalunya muncul dalam lingkungan umur 15 hingga 45 tahun.
Berikut adalah 11 tanda SLE yang perlu anda perhatikan:
#1. Ruam kulit di wajah (Butterfly Rash)
Ruam merah yang berbentuk seperti rama-rama biasanya muncul di pipi dan hidung.
Ini adalah salah satu tanda klasik lupus yang paling biasa dikenali.
#2. Kepenatan melampau
Mereka yang menghidap penyakit SLE sering mengalami keletihan yang luar biasa walaupun mendapat tidur yang mencukupi.
Ini bukanlah keletihan biasa, tetapi keadaan di mana pesakit boleh merasa lesu sepanjang hari.
#3. Sakit dan bengkak sendi
SLE boleh menyebabkan arthritis, iaitu keadaan di mana sendi-sendi menjadi sakit, bengkak, dan kaku, terutamanya pada waktu pagi.
#4. Demam yang berulang
Pesakit lupus sering mengalami demam secara berkala tanpa sebarang sebab jelas.
Suhu badan biasanya meningkat sedikit, tetapi ia berlaku secara berterusan.
#5. Keguguran rambut
Kehilangan rambut yang tidak normal juga boleh menjadi tanda SLE.
Keradangan pada kulit kepala boleh menyebabkan rambut menjadi nipis dan mudah gugur.
#6. Sensitiviti kepada cahaya matahari
Pesakit SLE sering mengalami photosensitivity, di mana kulit mereka menjadi sangat sensitif kepada cahaya matahari.

Pendedahan kepada matahari boleh menyebabkan ruam kulit yang teruk.
#7. Luka mulut atau hidung juga tanda penyakit SLE
Ulser di dalam mulut atau hidung adalah satu lagi gejala lupus yang sering berlaku.
Ulser ini biasanya tidak menyakitkan dan boleh berulang.
#8. Sesak nafas
Keradangan yang disebabkan oleh lupus boleh menjejaskan paru-paru dan menyebabkan kesukaran bernafas atau sakit di dada.
Ini boleh menjadi tanda awal pleuritis, keadaan di mana lapisan luar paru-paru menjadi radang.
#9. Masalah buah pinggang juga antara 11 tanda SLE
SLE boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang yang dikenali sebagai lupus nephritis.
Gejala ini termasuk bengkak pada kaki, atau sekitar mata, serta air kencing yang berbuih.
#10. Gangguan darah
Pesakit lupus mungkin mengalami masalah darah seperti anemia, bilangan platelet yang rendah (trombositopenia), atau bilangan sel darah putih yang rendah (leukopenia).
#11. Masalah saraf
Dalam beberapa kes, SLE boleh menjejaskan sistem saraf pusat dan menyebabkan simptom seperti sakit kepala yang teruk, sawan, atau masalah ingatan dan kognitif.
SLE adalah penyakit yang kompleks dan berbeza bagi setiap individu.
Simptom-simptomnya boleh muncul dan hilang, dan kadang kala menyerupai keadaan kesihatan lain, menjadikannya sukar untuk didiagnosis.
Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mendapatkan rawatan segera jika anda merasakan diri anda mungkin menghidap lupus.
Diagnosis awal dan rawatan yang betul boleh membantu mengurangkan komplikasi serius dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Ketahui juga pantang larang pesakit SLE dengan doktor anda.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Lupus. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lupus/symptoms-causes/syc-20365789. Diakses pada Ogos 21, 2024.
Lupus symptoms. https://www.lupus.org/resources/common-symptoms-of-lupus. Diakses pada Ogos 21, 2024.
Lupus (Systemic Lupus Erythematosus). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/4875-lupus. Diakses pada Ogos 21, 2024.
Systemic lupus erythematosus. https://www.mountsinai.org/health-library/diseases-conditions/systemic-lupus-erythematosus. Diakses pada Ogos 21, 2024.
What is lupus?. https://versusarthritis.org/about-arthritis/conditions/lupus-sle/. Diakses pada Ogos 21, 2024.
Versi Terbaru
21/09/2026
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Diperbaharui oleh: Ahmad Farid
Disemak secara perubatan oleh
Panel Perubatan Hello Doktor