Tun Dr Mahathir adalah seorang negarawan yang disegani, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, kini beliau dilantik pula menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh menggantikan Dato Seri Najib Razak.
Apa yang mengejutkan ialah beliau kini sudah berumur 93 tahun dan beliau merupakan pemimpin negara yang tertua di dunia! Walaupun sudah berumur sebegitu tua, kadangkala kita susah untuk percaya. Mana tidaknya, beliau masih mampu bergerak ke sana sini dan berdiri setiap kali bercakap. Biasanya, orang berumur seperti ini sudah terlentang di atas katil.
Apakah rahsia beliau? Sempena Ramadan ini, mari kita lihat apa tip kesihatan yang boleh dipelajari dari Tun Dr Mahathir.
- Tidak menghisap rokok
Tun Dr Mahathir tidak pernah menghisap rokok. Terlalu banyak kesan buruk dari merokok. Kanser paru-paru dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) adalah antara yang utama. Sebagai rekod, kanser paru-paru adalah 5 kanser paling kerap berlaku di Malaysia dan dalam kebanyakan kes, ia tidak dapat dirawat serta mempunyai prognosis yang buruk.
Ikutlah nasihat Perdana Menteri Malaysia ketujuh ini untuk tidak merokok. Jika anda memang seorang perokok, ambil peluang di bulan Ramadan ini untuk perlahan-lahan berhenti. Memang sangat susah untuk berhenti, tapi selagi mana langkah pertama tidak dimulakan, anda tidak akan berjaya.
- Tidak minum arak
Bagi orang Islam, minuman yang memabukkan adalah haram. Minuman ini juga telah terbukti mengakibatkan banyak masalah kesihatan terutamanya melibatkan hati termasuk sirosis hati.
- Makan secara sederhana
Kata beliau, “berhenti sebelum kenyang.”
Ini sebenarnya adalah nasihat yang sangat penting. Hippocrates pernah menyebut bahawa semua penyakit bermula dari perut. Walaupun kenyataan tersebut tidaklah sepenuhnya tepat, tetapi tidak dinafikan bahawa banyak penyakit yang disebabkan oleh gaya pemakanan. Diabetes, obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung koronari, semuanya terkait dengan pemakanan. Oleh itu, bersederhanalah di bulan Ramadan ini. Latih diri untuk menahan keinginan untuk makan berlebihan.
Tun Dr Mahathir apabila mengulas berkenaan ini berkata, “Bila kita makan terlalu banyak maka perut kita akan menjadi lebih besar, bila perut kita lagi besar kita mesti makan banyak baru berasa kenyang. Satu hari (bila makanan) berasa amat sedap kita makan lebih daripada biasa dan perut (jadi lebih) besar lagi.”
“Semakin lama perut kita akan semakin besar, kita perlu makan banyak sebelum kita kenyang dan itu akan menyebabkan badan kita menjadi gemuk, berat, dan tidak sihat.”
- Dapatkan tidur yang cukup
Tidur ini seolah-olah butang reset bagi manusia. Tempoh yang cukup adalah berbeza-beza bagi setiap orang antara enam ke lapan jam, bergantung kepada gaya hidup masing-masing. Di bulan Ramadan, waktu tidur mungkin sedikit berubah. Kita perlu bangun awal pagi untuk bersahur dan di sebelah malamnya pula perlu menunaikan solat tarawih. Susun jadual anda sebaiknya agar anda masih boleh mendapatkan rehat yang cukup.
Ini adalah antara petua yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir sebagai panduan kita, khususnya di bulan Ramadan sebagai permulaan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Ujar beliau, “Pendek kata kalau kita amalkan cara hidup yang sihat, tidak mengguna rokok, terutama rokoklah dan arak, kita boleh sedikit sebanyak (mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik), yang lain semua (penyakit) kurniaan Tuhanlah. Kita tak tahu.”
[embed-health-tool-bmi]