Definisi
Apa itu Hiponatremia?
Hiponatremia adalah keadaan apabila tahap natrium (sodium) badan terlalu rendah. Tahap normal natrium adalah 135 mEq / L. Natrium adalah elektrolit yang membantu mengawal jumlah air di dalam dan di sekeliling sel. Terdapat dua jenis hiponatremia:
- Hipronatremia kronik adalah apabila tahap natrium badan anda jatuh secara beransur-ansur selama lebih daripada 48 jam. Simptom hiponatremia jenis ini kebiasaannya ringan atau sederhana.
- Hiponatremia akut adalah apabila paras natrium badan turun secara tiba-tiba. Ia boleh membawa kepada simptom yang lebih serius, seperti bengkak otak yang pesat, yang boleh menyebabkan koma dan kematian.
Apakah kebarangkalian Hiponatremia?
Hiponatremia sangat biasa berlaku kepada sesiapa pun terutamanya orang dewasa yang lebih berusia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom Hiponatremia?
Tanda-tanda dan simptom hiponatremia termasuklah:
- Pening dan muntah;
- Sakit kepala;
- Kekeliruan;
- Kehilangan tenaga dan keletihan;
- Gelisah;
- Lemah otot atau kejang;
- Sawan;
- Koma.
Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Sekiranya anda mempunyai masalah perubatan yang meningkatkan risiko hiponatremia, atau mempunyai faktor risiko yang lain seperti mengambil bahagian dalam aktiviti berintensiti tinggi, dan anda mempunyai tanda-tanda dan simptom natrium rendah seperti yang tersenarai di atas, temui doktor anda.
Punca
Apakah Punca Hiponatremia?
Natrium (Sodium) adalah bahan penting yang mengekalkan tekanan darah. Natrium juga diperlukan saraf, otot, dan tisu badan yang lain untuk berfungsi dengan baik. Apabila jumlah natrium dalam cecair di luar sel menurun di bawah paras normal, air bergerak ke dalam sel untuk mengimbangkan tahap eletrolik, menyebabkan simptom hiponatremia.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan penurunan natrium dalam darah, termasuklah:
- Ubat-ubatan diuretik seperti pil air, antidepresan dan ubat tahan sakit.
- Masalah kesihatan: masalah jantung, ginjal dan hati; syndrome inappropriate antidiuretic hormone (SIADH); muntah yang teruk dan kronik atau cirit-birit; perubahan hormon; berpeluh.
- Minum terlalu banyak air.
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Hiponatremia?
Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko hiponatremia:
- Umur: Semakin tua usia anda, semakin tinggi risiko anda mendapat hiponatremia.
- Ubat-ubat tertentu. Rawatan yang meningkatkan risiko hiponatremia termasuk diuretik thiazide serta beberapa antidepresan dan ubat tahan sakit.
- Keadaan yang mengurangkan penyingkiran air daripada tubuh seperti penyakit buah pinggang, syndrome of inappropriate anti-diuretic hormone (SIADH) dan kegagalan jantung.
- Aktiviti fizikal yang intensif. Orang yang minum terlalu banyak air ketika mengambil bahagian dalam maraton, dan aktiviti-aktiviti jarak jauh dan berintensiti tinggi yang lain lebih berisiko mendapat hiponatremia.
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Hiponatremia didiagnosis?
Diagnosis hiponatremia dilakukan dengan mengukur tahap natrium dalam darah. Punca hiponatremia sukar untuk didiagnosis. Doktor akan bertanya tentang sejarah kesihatan anda, keadaan kesihatan semasa dan sebarang pengambilan ubat baru-baru ini. Doktor mungkin mengarahkan anda menjalani beberapa ujian, seperti ujian darah dan air kencing untuk menilai jumlah air dalam badan, kepekatan darah, dan kandungan air kencing.
Bagaimana pesakit Hiponatremia dirawat?
Rawatan bertujuan untuk merawat punca di sebaliknya. Ini termasuklah:
- Mengurangkan pengambilan cecair;
- Membetulkan dos diuretik;
- Merawat punca.
Hiponatremia yang teruk adalah kes kecemasan. Untuk merawatnya, doktor memerlukan:
- Infusi larutan natrium secara intravena (IV);
- Ubat untuk simptom seperti sakit kepala, loya, dan sawan.
Tahap natrium dalam darah perlu ditingkatkan secara perlahan-lahan. Peningkatan natrium dengan mendadak boleh mengakibatkan kerosakan otak yang teruk dan mungkin berkekalan.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Hiponatremia?
Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani hiponatremia:
- Rawat masalah berkaitan. Rawatan keadaan yang menyumbang kepada hiponatremia, seperti masalah kelenjar adrenal, boleh membantu mengelakkannya.
- Didik diri anda. Jika anda mempunyai keadaan kesihatan yang meningkatkan risiko hiponatremia atau anda mengambil ubat diuretik, ketahui tanda-tanda dan simptom hiponatremia. Sentiasa berbincang dengan doktor tentang risiko ubat baru.
- Ambil langkah berjaga-jaga semasa aktiviti berintensiti tinggi. Atlet harus minum sebanyak kuantiti air yang hilang melalui peluh semasa perlumbaan. Rasa haus merupakan panduan yang baik untuk mengetahui berapa banyak air yang anda perlukan.
- Pertimbangkan minum minuman sukan semasa aktiviti berat. Dapatkan nasihat doktor tentang menggantikan air dengan minuman sukan yang mengandungi elektrolit apabila menyertai acara seperti maraton, triathlon dan aktiviti lain.
- Minum air dengan sederhana. Minum air adalah penting untuk kesihatan, jadi pastikan anda minum dengan mencukupi tetapi jangan keterlaluan. Semasa hari biasa, wanita sepatutnya minum 2.2 liter air sehari sementara lelaki perlu meminum 3 liter. Rasa dahaga dan warna air kencing merupakan petunjuk terbaik berapa banyak air yang anda perlukan. Sekiranya anda tidak haus dan air kencing anda berwarna kuning pucat, anda mungkin telah mendapat air yang mencukupi.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
[embed-health-tool-bmi]