“Bengkung? Bukan perempuan mengandung je ke yang pakai bengkung?” Eh, siapa kata! Sebenarnya, bengkung merupakan satu aksesori tambahan yang mampu memberikan perubahan positif terhadap fizikal dan mental kaum Hawa. Bilakah waktu sesuai pakai bengkung? Jawapannya – Bila-bila masa!
Tetapi, mengapakah bengkung sangat popular di negara kita sehinggakan ramai yang mencari bengkung terbaik untuk kempiskan perut?
Kaum wanita telah memakai bengkung selama berkurun-kurun lamanya. Amalan pemakaian bengkung, lebih-lebih lagi selepas sebelum dan selepas bersalin telah dilakukan secara turun-temurun; semuanya untuk memastikan badan wanita terus ramping dan cantik selepas melahirkan anak.
Bengkung boleh dipakai oleh sesiapa sahaja, tidak kiralah apa jua bentuk badan mereka. Namun, dengan penambahan aksesori ini, wanita boleh rasa lebih yakin dengan bentuk badan sendiri.
Pada zaman sekarang, bengkung bukan sahaja dipakai selepas bersalin. Kini, ia merupakan salah satu item yang wajib ada dalam almari setiap wanita!
Dalam artikel kali ini, kami akan jelaskan mengenai manfaat serta waktu sesuai pakai bengkung bagi wanita di luar sana yang ingin mencuba.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Bilakah waktu sesuai pakai bengkung?
Bukan semua orang rasa selesa dan yakin dengan bentuk badan sendiri. Sebab itulah, ramai wanita yang memilih untuk memakai bengkung. Ia mampu menyorokkan segala lebihan lemak tanpa perlu bersenam mahupun berdiet!
Tetapi, bila waktu paling sesuai pakai bengkung? Bagi mereka yang baru ingin mencuba, anda boleh pakai bengkung:
Waktu sesuai pakai bengkung 1: Setiap hari
Wanita akan rasa paling yakin jika penampilan mereka ‘on point’. Jadi, tidak ada salahnya jika wanita memakai bengkung setiap hari jika ingin nampak lebih cantik dan menawan.
Jika anda gemar memakai bengkung, percayalah, anda tidak berseorangan!
Malah, menurut sebuah kajian oleh Leonisa, satu jenama baju dalam wanita, 2 daripada 5 wanita sebenarnya pernah memakai bengkung atau apa-apa bentuk shapewear setiap hari.
Waktu pakai bengkung 2: Pada tarikh istimewa
Wanita mana yang tak mahu nampak cantik dan menawan pada tarikh istimewa?
Pasti ada di antara kita yang sanggup berhabis wang ringgit untuk membeli busana idaman, namun rasa kecewa apabila lemak degil mula terkeluar di sana sini. Aduh, sedihnya!
Sebab itulah, ada yang akan memakai bengkung untuk nampak cantik dan seksi, lebih-lebih lagi jika tarikh istimewa tersebut dikongsi bersama suami tercinta.
Waktu sesuai pakai bengkung 3: Sebelum dan selepas bersalin
Ada sebabnya mengapa wanita mengamalkan pemakaian bengkung sebelum dan selepas bersalin. Malah, ini merupakan waktu sesuai pakai bengkung bagi wanita.
Pemakaian bengkung sebelum bersalin dapat membantu menyokong perut dan melegakan sakit belakang.
Selepas bersalin, bengkung dapat membantu memudahkan pergerakan dan mengurangkan rasa sakit. Malah, ibu juga masih dapat rasa yakin dengan bentuk tubuh masing-masing sejurus melahirkan anak.
Mengapa wanita perlu pakai bengkung?

Pasti ramai yang tertanya-tanya, menapa wanita perlu memakai bengkung? Antara sebabnya ialah:
1. Membuatkan badan nampak kurus dan langsing
Benar, tujuan utama wanita memakai bengkung adalah untuk menyorokkan segala lemak yang ada, terutamanya pada kawasan perut. Cuma sarung dan pakai, siap! Mudah dan cepat.
Lagipun, pemakaian bengkung dapat memberikan keyakinan kepada sesiapa sahaja, tidak kiralah apa jua bentuk badan anda.
Semua orang boleh memakai bengkung. Sebab itulah, penggunaannya sangat popular di negara kita.
2. Memberikan sokongan kepada tulang belakang

Selain dapat membuatkan badan nampak langsing, pemakaian bengkung juga dapat membantu memberikan sokongan kepada tulang belakang.
Bukan itu sahaja, bagi mereka yang mempunyai masalah postur badan, bengkung mungkin dapat membetulkan postur tubuh supaya anda tidak selalu diganggu sakit belakang.
Walau bagaimanapun, dapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu jika anda mempunyai masalah sakit belakang sebelum cuba memakai bengkung atau corset.
Punca sebenar masalah sakit belakang anda perlulah diperiksa terlebih dahulu. Jika tidak, pemakaian bengkung mungkin akan membuatkan sakit belakang menjadi semakin teruk.
3. Memperbaiki postur badan
Walaupun anda tidak bersenam dengan kerap, pemakaian bengkung dapat membantu menyorokkan lemak degil. Bukan itu sahaja, bengkung juga dapat memperbaiki postur dengan cara menyokong belakang badan.
Postur badan yang tidak baik boleh memberikan impak pada kawasan bahu, belakang, leher dan juga lutut jika ia dibiarkan tanpa rawatan. Semua ini boleh dielakkan dengan pemakaian bengkung.
Malah, jika anda sering sakit belakang, ini merupakan waktu sesuai pakai bengkung. Cuba gunakannya selama 1-2 minggu dan lihat perbezaannya!
Bolehkah bengkung digunakan untuk menurunkan berat badan?

Jika anda mencari bengkung terbaik untuk kempiskan perut, anda mungkin akan kecewa. Sebenarnya, bengkung tidak boleh digunakan untuk menurunkan berat badan.
Jadi, jangan mudah terpengaruh dengan bengkung S***t yang kononnya boleh bantu anda turunkan berat badan!
Namun, ia boleh digunakan untuk menggalakkan anda menurunkan berat badan. Di samping dapat membantu anda bergerak dengan lebih mudah, pemakaian bengkung mungkin dapat memberikan anda motivasi tambahan untuk tampil kurus pada masa hadapan!
Tetapi, jika anda nampak ada bengkung yang dijual untuk kurus, jangan mudah percaya. Besar kemungkinan, produk itu sebenarnya scam!