Kondisi Dinding Rahim Nipis, Apa Yang Para Wanita Perlu Tahu Mengenainya?
Pernahkah anda dengar mengenai dinding rahim nipis? Rahim wanita mempunyai 3 lapisan. Lapisan paling luar dikenali sebagai serosa, lapisan tengah pula ialah miometrium dan lapisan paling dalam pula ialah endometrium. Lapisan endometrium tipis merupakan punca utama kondisi ini.

Endometrium adalah lapisan yang kerap berubah disebabkan kitaran haid wanita. Lapisan ini perlulah berada dalam ketebalan yang optimum dan mempunyai peredaran darah yang baik sebelum embrio dapat melakukan proses implantasi. Malah, endometrium jugalah yang akan membekalkan fetus dengan segala nutrisi yang diperlukan ketika kehamilan.
Hormon estrogen memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan dinding endometrium sentiasa tebal. Dinding rahim nipis selalunya berlaku disebabkan tahap hormon estrogen yang rendah dalam badan.
Dinding rahim yang normal mempunyai ketebalan sekitar 8 milimiter. Jika ketebalan rahim kurang daripada 7 milimiter, rahim dianggap nipis. Jika lapisan endometrium tipis dan berada di bawah ketebalan 5 milimiter, wanita mungkin tidak boleh hamil.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Wanita yang mempunyai dinding rahim nipis akan mengalami beberapa simptom. Antaranya:
- Wanita yang mempunyai dinding rahim nipis sukar untuk hamil. Lapisan endometrium yang sihat dan tebal merupakan kunci yang menyokong implantasi dan tumbesaran fetus.
- Kitaran haid yang abnormal.
Apakah punca masalah endometrium nipis?

- Tahap estrogen yang rendah. Hormon estrogen sangat penting untuk memastikan endometrium berada dalam ketebalan yang sepatutnya. Wanita yang mempunyai masalah rahim nipis selalunya mempunyai tahap hormon estrogen yang rendah.
- Masalah pengaliran darah. Ada banyak punca yang menyebabkan pengaliran darah yang tidak cukup di kawasan uterus. Sebagai contoh, wanita yang jarang bersenam mungkin akan menyebabkan lapisan endometrium mengecut. Kehadiran polip atau fibroid juga boleh menganggu pengaliran darah ke uterus.
- Rahim terkena jangkitan tertentu, seperti TB, penyakit kelamin (STD) atau penyakit inflamasi pelvis (PID) boleh meninggalkan parut pada lapisan rahim.
- Pengambilan pil perancang kehamilan. Wanita yang mengambil pil perancang dalam tempoh masa yang sangat panjang mungkin akan mengalami masalah rahim nipis.
- Pengambilan clomid. Clomid merupakan sejenis ubat yang diberikan untuk menggalakkan ovulasi. Penggunaan clomid yang berlebihan boleh menghentikan sumber estrogen badan dan menghalang lapisan endometrium daripada menebal.
Adakah wanita yang mempunyai masalah ini sukar untuk hamil?
Dinding rahim nipis akan menyebabkan kegagalan sewaktu implantasi atau keguguran pada awal kehamilan. Jika anda mempunyai masalah kesuburan atau pernah mengalami keguguran, doktor mungkin akan memeriksa ketebalan rahim dan tahap hormon estrogen dalam badan.
Untuk memastikan proses implantasi berjalan lancar, lapisan uterus perlulah mempunyai ketebalan lebih daripada 8 milimiter. Lapisan endometrium di bawah 7 milimiter selalunya akan menyebabkan wanita sukar untuk hamil.
Rawatan untuk masalah dinding rahim nipis

Untuk memastikan pesakit boleh hamil, kondisi ini perlulah dirawat supaya ia boleh menerima embrio. Doktor akan memberikan rawatan berdasarkan diagnosis yang dilakukan. Masalah ini juga boleh diatasi secara medikal dan juga semula jadi.
Antara rawatan untuk masalah endometrium nipis ialah:
- Terapi estrogen. Estrogen boleh diberikan secara oral atau dalam bentuk gel yang dapat memberikan stimulasi pada lapisan endometrium.
- Terapi estrogen secara tidak langsung. Wanita yang ingin hamil juga mungkin akan diberikan Menopausal Gonadotropin (Hmg) untuk merangsang kelenjar pituitari. Kelenjar ini kemudiannya akan merembeskan hormon gonadotropin yang akan membuatkan organ reproduktif merembeskan hormon estrogen dalam masa yang sama.
- Granulocyte Colony Stimulating Factor (G-CSF). Kaedah baharu ini didapati dapat meningkatkan ketebalan lapisan rahim.
- Histerokopi boleh dilakukan untuk membuang sebarang abnormaliti atau parut dalam kawasan rahim yang menghalang lapisan endometrium daripada menebal dengan sempurna.
- Kaedah semula jadi, seperti pemberian suplemen, herba atau vitamin seperti vitamin E dan L-arginine dapat mengembalikan ketebalan lapisan rahim. Malah, dengan senaman, wanita juga dapat meningkatkan pengaliran darah ke bahagian uterus.
Bila saya perlu berjumpa doktor?
Selalunya, wanita yang mempunyai masalah dinding rahim nipis tidak sedar mengenai kondisi yang mereka alami. Namun, jika anda mengalami masalah kesuburan dan pernah alami keguguran, jumpa doktor untuk pemerisaan lanjut.
Dengan rawatan, masalah ini dapat diatasi. Oleh sebab itu, jangan mengalah dan dapatkan rawatan secepat mungkin.
