backup og meta

Gigi Kuning? Malunya Nak Senyum.. Ini Cara Rawatan Selamat Putihkan Gigi Di Klinik!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/10/2022

    Gigi Kuning? Malunya Nak Senyum.. Ini Cara Rawatan Selamat Putihkan Gigi Di Klinik!

    Malu lihat gigi warna kuning tetapi tidak tahu bagaimana cara rawatan putihkan gigi? Kami terangkan di sini berkenaan cara rawatan pemutihan gigi dilakukan oleh doktor di klinik. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Mulut, anda boleh klik di sini.

    Apakah yang sebabkan gigi kuning?

    Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan gigi menjadi kuning.

    Sesetengah jenis makanan seperti kopi atau teh boleh mengotorkan lapisan enamel pada gigi anda yang merupakan lapisan paling luar gigi.

    Selain daripada makanan, pengumpulan plak pada gigi juga boleh menyebabkan gigi kelihatan kuning.

    Biasanya, keadaan seperti ini boleh dirawat dengan memberus gigi dan juga remedi putihkan gigi.

    Namun, ada kalanya gigi kita boleh menjadi kuning disebabkan bahagian enamel keras telah pun terhakis dan menyebabkan lapisan dentin gigi terdedah.

    Dentin merupakan tisu tulang gigi yang secara semula jadinya berwarna kuning. 

    Apakah itu rawatan putihkan gigi? 

    rawatan putihkan gigi

    Salah satu kaedah untuk memutihkan kembali gigi anda adalah dengan menjalani rawatan pemutihan gigi.

    Rawatan putihkan gigi boleh menjadi cara yang sangat berkesan untuk mencerahkan warna semula jadi gigi anda tanpa membuang mana-mana permukaan gigi.

    Ia tidak boleh mengubah warna gigi sepenuhnya, tetapi ia boleh mencerahkan warna gigi sedia ada.

    Bagaimana prosedur rawatan pemutihan gigi dilakukan?

    Jika anda hadir ke mana-mana klinik gigi, doktor gigi biasanya akan melakukan prosedur bleaching atau pelunturan gigi.

    Doktor gigi anda akan memberitahu jika rawatan tersebut sesuai untuk dilakukan.

    Pada peringkat awal sebelum rawatan dilakukan, doktor akan meletakkan atau memasang perisai getah (rubber shield) atau gel pada gusi anda untuk melindunginya.

    Doktor kemudiannya akan menggunakan produk pemutihan pada gigi anda, dengan memasang dulang yang dibuat khas yang sesuai dengan mulut anda seperti pelindung mulut.

    rawatan putihkan gigi

    Bahan aktif yang terdapat dalam produk peluntur gigi biasanya terdiri daripada hidrogen peroksida atau karbamid peroksida.

    Apabila bahan aktif diuraikan, oksigen akan masuk ke dalam enamel pada gigi dan warna gigi akan menjadi lebih cerah.

    Berapa lamakah rawatan ini dilakukan?

    Jumlah rawatan biasanya dilakukan dalam masa antara tiga hingga empat minggu.

    Pertama sekali, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor gigi sekitar dua atau tiga kali.

    Ini kerana, doktor akan membuatkan pelindung mulut khusus untuk anda.

    Sebaik sahaja doktor telah memulakan rawatan pemutihan gigi, anda perlu meneruskannya di rumah.

    Ini bermakna, anda perlu kerap menggunakan produk pemutihan dalam tempoh dua hingga empat minggu, selama 30 minit hingga satu jam pada satu-satu masa.

    Walau bagaimanapun, terdapat beberapa produk baharu pada masa kini yang boleh digunakan sehingga lapan jam pada satu-satu masa.

    Ini bermakna anda boleh mendapat hasil yang sama dalam tempoh masa seminggu sahaja berbanding empat minggu.

    Adakah terdapat prosedur lain di klinik gigi selain pelunturan gigi?

    Kini, terdapat kaedah putihkan gigi laser atau ‘power whitening’ yang tersedia di klinik gigi.

    Semasa prosedur ini, empangan getah (rubber dam) diletakkan di atas gigi anda untuk melindungi gusi, dan produk pelunturan akan disapu pada gigi anda.

    Kemudian, cahaya laser akan dipancarkan pada gigi untuk mengaktifkan bahan kimia yang terdapat pada bahan peluntur tersebut.

    Cahaya laser akan mempercepatkan tindak balas produk pemutihan dan perubahan warna boleh dicapai dengan lebih cepat.

    Pemutihan laser dikatakan menjadikan warna gigi sehingga lima atau enam kali lebih cerah.

    Berapa lamakah gigi akan kekal menjadi putih setelah rawatan putihkan gigi?

    rawatan putihkan gigi

    Jika anda menjalani rawatan putihkan gigi ini, kesannya dijangka boleh bertahan sehingga tiga tahun.

    Walau bagaimanapun, kesannya mungkin berbeza antara individu dengan individu yang lain.

    Kesannya juga akan semakin hilang jika anda merokok, atau makan dan minum produk yang boleh mengotorkan gigi anda.

    Oleh itu, untuk mendapatkan kesan yang maksimum, anda perlu merujuk kepada doktor gigi sebelum memulakan rawatan. 

    Apakah kesan sampingan rawatan putihkan gigi ini?

    Bagi sesetengah individu, gigi mereka mungkin akan menjadi lebih sensitif terhadap suhu sejuk ketika atau selepas rawatan dijalankan.

    Selain itu, sesetengah individu yang lain pula mungkin akan mengalami ketidakselesaan pada gusi, sakit tekak atau tompok putih pada dinding gusi.

    Namun, anda tidak perlu risau kerana simptom-simptom ini hanya bersifat sementara dan akan menghilang dalam tempoh beberapa hari selepas rawatan berakhir.

    Jika salah satu daripada simptom ini berpanjangan, anda perlu berjumpa dengan doktor gigi untuk melakukan pemeriksaan lanjut. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan