backup og meta

Derita Dalam Diam, Ini Tanda-Tanda Wanita Sedang Mengalami Kemurungan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 20/03/2024

    Derita Dalam Diam, Ini Tanda-Tanda Wanita Sedang Mengalami Kemurungan

    Tahukah anda bahawa tanda depression pada wanita sebenarnya berbeza dengan kaum lelaki?

    Kemungkinan wanita yang mengalami kemurungan akan banyak menangis. Tetapi berbeza pula dengan kaum lelaki yang akan bertindak balas dalam keadaan marah apabila rasa tertekan.

    Justeru, adalah amat penting untuk anda mengetahui tanda depression dan anxiety yang kemungkinan ada pada anda sekarang bagi mengelakkan masalah ini menjadi semakin serius.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

    Apa punca tanda depression dan anxiety boleh terjadi?

    Kaum Hawa dilihat lebih cenderung untuk mendapat masalah kemurungan berbanding lelaki.

    Ini kerana wanita bukan sahaja dibebani dengan tekanan di tempat kerja, malahan perlu menguruskan hal keluarga termasuk suami dan anak-anak serta ada juga yang perlu memikirkan soal kewangan famili.

    Penyakit mental ini sebenarnya boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan wanita termasuk dari segi kesihatan fizikal, kehidupan sosial, perhubungan dan kerjaya.

    Berikut merupakan beberapa sebab lain yang menyebabkan berlakunya tanda depression pada wanita:

    #1. Sindrom prahaid /premenstrual syndrome 

    Sindrom prahaid ini merupakan situasi di mana wanita akan mengalami gangguan emosi dan gejala fizikal beberapa hari sebelum dan semasa kedatangan haid.

    Gejala ini kebiasaannya akan muncul pada 1 minggu atau 2 minggu sebelum haid tiba dan akan hilang sebaik sahaja haid tamat.

    Tanda depression pada wanita yang berada dalam fasa tersebut ialah:

    • Cepat marah
    • Murung
    • Sering berasa gelisah
    • Badan mudah berasa letih
    • Mengidam makanan manis
    • Selera makan semakin meningkat
    • Sakit kepala, senak perut dan perut kembung
    • Payudara membesar dan sakit

    Penyebab tanda depression pada wanita #2. Kehamilan dan ketidaksuburan

    tanda depression
    Simptom depression dan anxiety pada wanita.

    Banyak perubahan hormon yang berlaku semasa kehamilan boleh menyumbang kepada simptom kemurungan, terutamanya pada wanita yang sudah sampai tempoh untuk bersalin.

    Isu lain yang berkaitan dengan kehamilan seperti keguguran, kehamilan yang tidak diingini dan ketidaksuburan juga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan.

    #3. Menopaus dan perimenopause, antara sebab tanda depression pada wanita

    Wanita mungkin mengalami peningkatan risiko kemurungan semasa tempoh perimenopause, peringkat yang membawa kepada menopaus di mana ketika itu hormon pembiakan mengalami perubahan dengan cepat.

    Apa tanda tanda depression pada wanita?

    Tanda kemurungan pada wanita berbeza dari segi tahap dan tempoh masa ia bertahan pada seseorang. Berikut merupakan tanda-tanda depression wanita:

    • Sering berasa sedih, sebak atau putus asa
    • Rasa marah atau kecewa walaupun disebabkan perkara kecil
    • Hilang minat atau keseronokan untuk melakukan kebanyakan aktiviti biasa seperti seks, hobi atau sukan
    • Mengalami insomnia atau terlalu banyak tidur
    • Keletihan dan kekurangan tenaga
    • Penurunan berat badan atau penambahan berat badan secara mendadak
    • Kebimbangan
    • Kurang fokus dan sukar membuat keputusan
    • Sering menyalahkan diri sendiri atas masa lampau
    • Mudah lupa
    • Mencederakan diri sendiri
    • Kerap memikirkan kematian dan berniat untuk membunuh diri atau cuba bunuh diri
    tanda depression pada wanita
    Cara menghilangkan stres.

    Bagaimana cara menangani tanda-tanda stress pada wanita?

    Ramai pesakit mental enggan mendapatkan rawatan disebabkan malu dan merasakan mereka tidak sakit.

    Mereka lebih gemar memendam masalah dan tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga tekanan tersebut sukar dikawal.

    Tanda-tanda stress pada wanita ini sebenarnya boleh diatasi dengan petua berikut:

    Cara kurangkan tanda depression pada wanita #1. Amalkan pemakanan sihat

    Tahukah anda bahawa diet juga dapat mempengaruhi kesihatan mental anda.

    Untuk pengetahuan anda, makanan yang diproses dan makanan yang tinggi dengan kandungan gula boleh meningkatkan lagi tahap tekanan emosi anda.

    Anda digalakkan untuk tambah makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan kekacang di dalam diet anda untuk mengurangkan tanda depression dan anxiety.

    #2. Tidur dengan secukupnya untuk mengurangkan tanda depression pada wanita

    Cara cegah depression
    Tidur dan rehat yang cukup dapat mengurangkan stres.

    Kemurungan biasanya terjadi apabila anda tidak cukup tidur dan rehat. Tidur yang tidak cukup juga boleh membuatkan anda tidak bermaya pada keesokan harinya.

    Tetapkan jadual tidur anda dan pastikan anda mendapat tidur yang berkualiti dalam 8 jam sehari.

    #3. Kurangkan pengambilan kafein

    Mengambil terlalu banyak kafein boleh memburukkan lagi keadaan anda yang sedang mengalami anxiety. Ia juga boleh menjejaskan kualiti tidur anda.

    Cuba kurangkan atau gantikan kopi anda dengan minuman tanpa kafein seperti teh herba dan jus buah.

    ​#4. Membela haiwan peliharaan

    Haiwan peliharaan juga boleh menghidupkan aura yang positif di dalam hidup anda. Kehadiran haiwan peliharaan yang comel seperti kucing boleh menjadi peneman dan menghilangkan rasa kesunyian anda.

    #5. Buat perkara yang anda sukai atau biasa lakukan sebelum ini

    Melakukan semula hobi lama anda atau menambah hobi baru dapat mengurangkan tanda depression.

    Kreatifkan diri anda melalui muzik, seni atau penulisan. Banyakkan meluangkan masa atau bercuti bersama keluarga dan juga rakan-rakan.

    Kesimpulannya, wanita memerlukan sokongan emosi daripada orang sekeliling mereka apabila mengalami kesulitan hidup, kerana sifat semula jadi mereka yang sentiasa ingin meluahkan perasaan.

    Sekiranya tanda tanda depression anda semakin teruk, anda dinasihati untuk segera berjumpa dengan pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 20/03/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan