brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Selalu Rasa Tak Okay? Boleh Cuba 4 Ujian Kendiri MENTARI Ini, PERCUMA Sahaja!

Melakukan saringan kesihatan mental secara kendiri boleh menjadi langkah awal untuk mengenal pasti tanda atau perubahan yang mungkin memerlukan perhatian lanjut. Sempena World Mental Health Day yang disambut setiap 10 Oktober, mungkin sudah tiba masanya untuk kita lebih terbuka berbincang tentang kesihatan mental dan kepentingan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Selalu Rasa Tak Okay? Boleh Cuba 4 Ujian Kendiri MENTARI Ini, PERCUMA Sahaja!

Jadi, apakah jenis ujian yang boleh dilakukan? Jom kenali empat ujian kendiri yang tersedia di laman rasmi MENTARI.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

Apakah saringan kesihatan mental KKM? 

MENTARI ialah pendekatan yang dimulakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan jangkauan dan integrasi semula individu yang mengalami masalah kesihatan mental ke dalam komuniti.

Portal MENTARI turut menyediakan bahagian Ujian Kendiri untuk membantu individu mendapatkan gambaran awal tentang status kesihatan mental mereka.

Menurut laman rasmi MENTARI, terdapat empat ujian kendiri yang boleh diambil, iaitu:
  • Soal Selidik Kesihatan Pelanggan (PHQ-9)
  • Skala Kemurungan, Kebimbangan & Tekanan (DASS)
  • Inventori Kelesuan Copenhagen (CBI)
  • Jadual Penilaian Hilang Upaya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHODAS)

Keputusan ujian ini boleh dijadikan panduan untuk mengenal pasti simptom awal dan membantu anda memahami sama ada penilaian lanjut mungkin diperlukan.

Namun, MENTARI menegaskan bahawa keputusan ujian saringan tersebut bukan bersifat diagnostik dan memerlukan rujukan kepada profesional untuk penilaian lanjut.

Saringan kesihatan mental online: Kenali 4 ujian MENTARI

Jika anda sedang mencari saringan kesihatan mental online, laman rasmi MENTARI menyediakan akses kepada empat ujian kendiri tersebut.

Setiap ujian mempunyai fokus yang berbeza, bergantung pada simptom atau kesukaran yang ingin anda fahami.

Anda boleh mengakses kesemua ujian melalui laman Ujian Kendiri MENTARI.

1. Soal Selidik Kesihatan Pelanggan (PHQ-9)

PHQ-9 terdiri daripada sembilan soalan yang digunakan untuk membuat saringan tanda atau simptom serta tahap keterukan kemurungan.

Ia boleh membantu memberikan gambaran awal tentang simptom yang mungkin sedang dialami oleh seseorang.

Jika anda mempunyai kebimbangan tentang keputusan yang diperoleh, MENTARI mengesyorkan supaya anda berunding dengan profesional bagi mendapatkan penilaian lanjut dan bukannya membuat diagnosis sendiri berdasarkan skor ujian.

Nak cuba PHQ-9? Lakukan ujian di sini.

2. Skala Kemurungan, Kebimbangan & Tekanan (DASS)

DASS merupakan soal selidik yang mengandungi 21 item dan direka untuk mengukur keadaan kesihatan mental serta emosi semasa.

Ujian ini melihat tanda atau simptom yang berkaitan dengan kemurungan, kebimbangan dan tekanan.

Jika anda mengalami simptom berkaitan ketiga-tiga aspek tersebut, DASS boleh membantu memberikan gambaran awal tentang keadaan kesihatan mental anda.

Namun, keputusan ujian masih perlu difahami dalam konteks keadaan diri dan tidak menggantikan penilaian profesional.

Nak cuba DASS? Lakukan ujian di sini.

3. Inventori Kelesuan Copenhagen (CBI)

CBI bertujuan mengenal pasti magnitud dan jenis kelesuan yang dialami seseorang.

MENTARI menerangkan kelesuan sebagai keadaan keletihan fizikal dan psikologi yang berpanjangan.

Ujian ini boleh mengenal pasti tiga jenis kelesuan:

  • Kelesuan peribadi – keletihan fizikal dan psikologi yang berpanjangan dialami oleh seseorang individu.
  • Kelesuan berkaitan kerja – keletihan fizikal dan psikologi yang berkaitan dengan beban kerja.
  • Kelesuan berkaitan pelanggan – keletihan fizikal dan psikologi yang berkaitan dengan pesakit.
saringan kesihatan mental
Kelesuan boleh melibatkan keletihan fizikal dan psikologi yang berpanjangan.

Jika anda kerap mengalami keletihan fizikal dan psikologi yang berpanjangan, CBI boleh menjadi salah satu ujian kendiri untuk mendapatkan gambaran awal tentang keadaan tersebut.

Nak cuba CBI? Lakukan ujian di sini.

4. Jadual Penilaian Hilang Upaya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHODAS)

WHODAS ialah alat yang menilai ketidakupayaan dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.

Ia membantu memahami kesukaran yang dialami seseorang dalam bidang fungsi tertentu sepanjang 30 hari yang lalu.

Antara aspek yang dinilai termasuk:

  • Pemahaman dan komunikasi
  • Berjalan atau bergerak
  • Penjagaan diri
  • Bergaul dengan orang lain
  • Aktiviti kehidupan
  • Penglibatan dalam masyarakat

Ujian ini boleh membantu anda memahami sama ada terdapat kesukaran dalam fungsi kehidupan seharian, termasuk komunikasi, kehidupan sosial, aktiviti dan penjagaan diri.

Nak cuba WHODAS? Lakukan ujian di sini.

Saringan awal kesihatan mental: Apa perlu dilakukan selepas ujian?

Jika keputusan saringan awal kesihatan mental menimbulkan kebimbangan, jangan terus membuat kesimpulan bahawa anda mengalami masalah mental tertentu.

Ujian kendiri hanya memberikan panduan awal dan bukan diagnosis.

Sebaliknya, pertimbangkan untuk mendapatkan penilaian daripada doktor atau profesional kesihatan mental, terutama jika simptom yang dialami berpanjangan atau mula menjejaskan kehidupan harian.

Anda juga boleh berkongsi keputusan ujian tersebut ketika mendapatkan bantuan.

Bila anda patut mendapatkan bantuan?

Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi semakin sukar sebelum mendapatkan sokongan. 

Pertimbangkan untuk berbincang dengan doktor atau profesional kesihatan mental jika perubahan emosi, pemikiran atau tingkah laku mula mengganggu kehidupan harian, pekerjaan atau hubungan dengan orang lain.

Jika anda atau seseorang yang dikenali berada dalam keadaan krisis atau mempunyai fikiran untuk mencederakan diri atau membunuh diri, dapatkan bantuan segera. 

Dalam situasi kecemasan, hubungi 999 atau pergi ke jabatan kecemasan hospital terdekat.

Kenali 4 ujian kendiri MENTARI yang boleh anda cuba 

Jika anda ingin melakukan saringan kesihatan mental secara kendiri, laman rasmi MENTARI menyediakan empat pilihan yang boleh dicuba, iaitu PHQ-9 untuk simptom kemurungan, DASS untuk kemurungan, kebimbangan dan tekanan, CBI untuk kelesuan serta WHODAS untuk kesukaran dalam fungsi kehidupan harian.

Keempat-empat ujian ini boleh digunakan sebagai saringan kesihatan mental secara kendiri dan diakses melalui laman Ujian Kendiri MENTARI.

Namun, keputusan ujian bukan diagnosis dan penilaian profesional masih diperlukan jika anda mempunyai kebimbangan. 

Kesimpulan

Saringan kesihatan mental boleh menjadi satu langkah awal untuk memahami perubahan yang sedang berlaku pada diri anda.

Dengan empat ujian kendiri yang disediakan MENTARI, anda boleh mendapatkan gambaran awal tentang beberapa aspek kesihatan mental dan fungsi harian.

Namun, jangan gunakan keputusan ujian untuk membuat diagnosis sendiri.

Jika terdapat simptom yang berpanjangan atau menjejaskan kehidupan seharian, dapatkan penilaian daripada profesional supaya anda boleh menerima sokongan yang sesuai.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 3 hari lalu