Ubat antidepresi merupakan salah satu cara yang selalu diguna pakai untuk rawatan kemurungan dan kegelisahan.
Namun kini, kajian terbaharu menunjukkan bahawa terdapat jalan penyelesaian yang lain untuk mereka yang mengalami masalah keegelisahan dan depresi atau kemurungan ini, tanpa perlu bergantung kepada ubat-ubatan.
Terdapat kajian melaporkan bersenam juga boleh menjadi satu bentuk rawatan alternatif yang efektif dalam mengubati depresi dan gangguan kegelisahan.
Menurut Dr. Michael Craig Miller, Penolong Profesor Psikiatri di Harvard Medical School menyatakan sesetengah individu mendapati aktiviti bersenam membantu mereka menangani masalah-masalah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, anda boleh klik di sini.
Bagaimana bersenam boleh jadi rawatan kemurungan?
Melakukan aktiviti senaman dikatakan boleh bantu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan dengan:
- Mengalih perhatian daripada berfikir mengenai masalah. Bersenam dapat membantu anda daripada pemikiran-pemikiran negatif yang boleh mengundang kegelisahan mahupun depresi. Anda akan lebih fokus dengan aktiviti yang dilakukan dan merehatkan minda daripada perkara yang menyerabutkan fikiran.
- Membebaskan hormon gembira (endorfin). Ketika bersenam, neurotransmiter otak anda akan menghasilkan hormon endorfin. Hormon ini akan menghasilkan mood happy dan semestinya akan membuatkan anda berasa lebih baik dan tenang.
Selain baik untuk merawat kemurungan, melakukan aktiviti senaman secara berkala juga mempunyai banyak manfaat dari segi emosi dan psikologi:
- Perbanyakkan aktiviti sosial: Dengan melakukan aktiviti senaman di luar rumah, anda berpeluang untuk membuat kawan dan kenalan baharu yang dapat memberikan perubahan persekitaran yang positif. Ini juga boleh jadi cara menghilangkan kegelisahan anda dengan bersama orang ramai
- Mengubah tabiat buruk: Melakukan aktiviti yang positif ialah satu cara yang sihat dalam menguruskan emosi diri. Bersenam ternyata lebih baik daripada anda melakukan perkara-perkara yang boleh memburukkan lagi kesihatan mental seperti menyendiri, bergantung kepada alkohol mahupun dengan cara cederakan diri sendiri.
Jenis senaman baik untuk rawatan kemurungan dan cara menghilangkan kegelisahan
- Angkat berat sebagai rawatan untuk masalah kemurungan
Satu kajian baru-baru ini mengkaji 45 orang yang menghidap strok berserta kemurungan mendapati, program latihan kekuatan selama 10 minggu ternyata membantu dalam mengurangkan gejala depresi dan kegelisahan.
Menurut Dr. Leslie Seppinni, Pakar Psikologi Klinikal dan Ahli Terapi Keluarga di Beverly Hills menyatakan bahawa aktiviti ini memerlukan konsentrasi dan perhatian yang penuh.
Oleh itu, selain memiliki otot badan yang lebih kuat, minda juga lebih tenang kerana fikiran individu yang kemurungan dapat dialihkan.
- Jogging untuk rawatan untuk masalah kemurungan
Cara mengatasi kegelisahan dan rawatan kemurungan yang baik adalah dengan melakukan aktiviti kardio.
Kajian mencadangkan jogging selama 20 hingga 30 minit sehari membantu dalam pengurusan emosi yang lebih baik.
Jika anda tidak berupaya untuk jogging secara berterusan, hanya dengan berjalan juga sudah mampu membantu anda untuk berasa lebih baik dari segi emosi dan fizikal.
- Rawatan kemurungan – Yoga
Selain aktiviti berkardio dan mengangkat berat, senaman yoga juga tersenarai dalam senaman yang membantu mengurangkan masalah depresi dan kegelisahan.
Dalam kajian terhadap seramai 65 orang wanita melaporkan 34 daripadanya mengambil kelas yoga 2 kali seminggu selama 2 bulan menunjukkan penurunan ketara dalam gejala kemurungan dan kegelisahan.
- Brisk Walking: Cara merawat kemurungan
Jika anda terlalu sibuk atau tidak berkemampuan untuk melakukan aktiviti di atas, jangan risau!
Ini kerana hanya dengan berjalan atau dikenali sebagai brisk walking, anda sudah mampu untuk berasa lebih baik dan tenang.
Pastikan anda memakai kasut yang selesa dan ke tempat yang tidak sesak. Anda pasti akan nikmati pengalaman tersebut.
- Lakukan aktiviti-aktiviti fizikal kegemaran sebagai cara merawat kemurungan
Bercucuk-tanam, bermain bola, hiking atau apa sahaja aktiviti kegemaran anda dapat membantu untuk menguruskan emosi secara lebih baik.
Dr Shoshana Bennett, Pakar Psikologi Klinikal menekankan, lakukan aktiviti yang bersesuaian dengan minat dan keupayaan anda agar aktiviti itu dapat dinikmati sebaik mungkin.
Rumusan
- Bersenam dapat membuatkan anda ‘lupa sebenar’ masalah yang dialami.
- Pergerakan badan dapat mengurangkan tekanan pada otot. Jadi, badan tidak akan rasa penat dan tertekan.