backup og meta

Bakat Saja Tak Cukup, Jika Nak Berjaya Anda Perlu Kuat Dari Segi Mental! Ikut Tip Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/10/2021

    Bakat Saja Tak Cukup, Jika Nak Berjaya Anda Perlu Kuat Dari Segi Mental! Ikut Tip Ini

    Pernahkah anda dengar mengenai kekuatan atau ketahanan mental? Ketahanan mental atau kuat semangat merupakan salah satu sifat yang dominan dalam diri individu yang berjaya.

    Tidak kiralah jika individu tersebut seorang atlet ternama ataupun ahli politik yang disegani, mereka yang dapat pergi jauh dalam kehidupan selalunya kental dari segi mental.

    Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ada yang berjaya disebabkan bakat dan kepandaian mereka. Walau bagaimanapun, bakat sahaja tidak berguna jika tidak diikuti dengan usaha dan kuatkan semangat.

    Di sebalik semua kejayaan yang mereka capai, sudah pasti terkandung 1001 cerita suka dan luka yang tidak pernah tersingkap.

    Namun, jika diteliti, ada satu perkara yang ada pada hampir semua individu yang berjaya iaitu kuat semangat ataupun mental toughness

    Apa itu kuat semangat?

    kuatkan semangat

    Kekuatan mental merupakan salah satu faktor penting yang menentukan kejayaan seseorang. Tapi, apa sebenarnya maksud kuat semangat ini?

    Secara amnya, kekuatan mental merupakan keupayaan seseorang untuk kekal berusaha walaupun ketika berada dalam kesusahan.

    Malah, walaupun mereka gagal berkali-kali, mereka masih mampu kuatkan semangat dan bekerja seperti biasa tanpa mengenal penat dan lelah untuk mengejar cita-cita mereka.

    Sifat ini turut dikenali sebagai grit atau keberanian dan kekuatan dari segi karakter seseorang.

    Penulis buku Grit, Angela Duckworth telah memberi definisinya sendiri terhadap perkataan ini. Menurut beliau, mereka yang kuat semangat tidak perlukan bakat untuk berjaya.

    Mereka juga boleh pergi jauh dengan passion atau keghairahan yang mereka miliki. Namun, pada masa yang sama, mereka tahan lasak dan tidak mudah putus asa.

    Individu yang mempunyai kekuatan mental yang tinggi dapat melawan segala rintangan dan menyelesaikan semua masalah yang menghalang mereka daripada mencapai kejayaan.

    Ini mungkin berbeza dengan mereka yang mempunyai ketahanan mental yang rendah. Mereka ini lebih mudah untuk melupakan impian mereka.

    Namun, jangan risau! Kekuatan mental merupakan sesuatu yang boleh diasah. Tetapi, ia mungkin perlukan banyak latihan dari segi mental sebelum anda benar-benar boleh menguasainya.

    Bagaimana saya boleh kuatkan semangat?

    Ada beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk memupuk sifat kuat semangat. Namun, amalan ini bukanlah sejenis ‘pil ajaib’ yang boleh membuatkan daya tahan mental anda meningkat serta-merta.

    Sebarang perubahan akan makan masa. Sama jugalah jika anda ingin jadi seseorang yang kuat dari segi mental.

    Namun, dengan amalan ini, anda boleh jadi lebih kuat tidak kiralah anda lahir dengan bakat ataupun tidak.

    1. Kekalkan pemikiran yang positif

    ketahanan mental

    Jika anda ingin memupuk ketahanan mental dan menguruskan stres dengan lebih baik, perkara pertama yang anda boleh lakukan adalah dengan memastikan pemikiran anda kekal positif setiap hari.

    Menurut Cleveland Clinic, setiap manusia berfikir hampir 60,000 kali sehari. Selalunya, 95% daripada fikiran tersebut adalah berulang-ulang, dan 80% daripadanya adalah negatif.

    Secara puratanya, hampir 45,600 kali sehari kita berfikir tentang perkara yang negatif.

    Jika apa yang selalu bermain dalam fikiran anda bersifat negatif, anda mungkin merupakan seorang yang bersifat pesimis.

    Berfikir secara positif tidak bermaksud anda perlu abaikan semua perkara negatif dalam hidup. Sebaliknya, mereka yang berfikiran positif selalu memandang pada sisi yang baik dan bukannya yang buruk.

    Jadi, adakah anda seorang yang memandang gelas sebagai separuh penuh atau separuh kosong?

    2. Cari tujuan yang kuat

    Salah satu elemen yang penting untuk membina ketahanan mental adalah mempunyai tujuan yang kuat untuk setiap cita-cita anda.

    Kadangkala, ketiadaan tujuan yang kuat inilah penyebab anda kerap tergelincir daripada landasan cita-cita. Ramai yang alami dilema ini mungkin menganggap diri mereka tidak cukup berdisiplin.

    Namun, sebab utama anda sering rasa tidak bersemangat mungkin berpunca daripada ketiadaan motivasi!

    Bukan mudah untuk terus bekerja tanpa ada sebab yang membuatkan anda sentiasa bersemangat. Tanpa tujuan yang jelas, anda sukar untuk memotivasikan diri untuk melakukan tugasan yang sukar.

    Sebagai contoh, mungkin anda sukar untuk berhenti merokok jika anda tidak mempunyai sebarang sebab yang kukuh.

    Namun, berbeza bagi mereka yang baru sahaja menyambut kelahiran seorang bayi, atau baru pulih daripada penyakit yang mengancam nyawa, mereka ini mempunyai sebab yang jelas untuk berhenti merokok.

    3. Lebih konsisten dalam melaksanakan tugasan

    Mereka yang mempunyai kuat semangat bukanlah lebih berbakat, lebih berani ataupun lebih pandai. Tetapi, mereka lebih konsisten dalam melakukan tugasan harian.

    Malah, mereka mempunyai jadual dan tabiat tertentu yang membuatkan mereka mampu untuk fokus pada perkara yang penting.

    Kekuatan minda akhirnya akan berbalik semula kepada tabiat seseorang.

    Mereka yang lebih berdedikasi dan sanggup mengikut jadual tertentu secara konsisten lebih mudah untuk mengatasi cabaran yang mendatang.

    Namun, jangan pula bekerja secara keterlaluan. Jangan lupa untuk berehat sebentar sebelum menyambung kerja anda untuk elakkan burn-out!

    Kuat semangat, tidak ada sesiapa yang sempurna

    ketahanan mental

    Pada akhirnya, tidak ada sesiapa yang sempurna. Namun, jika anda fokus pada perkara yang penting, anda dapat memupuk ketahanan minda yang akhirnya akan membawa kejayaan.

    Sama jugalah jika anda mempunyai pandangan yang negatif terhadap hidup. Jika anda boleh mengubah tanggapan ini, anda akan dapati diri anda lebih bahagia dan tidak tertekan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 27/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan