Menurut Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan itu, kebanyakan kes yang berlaku berpunca akibat perasaan panik dan tekanan dalam rumah sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
4 punca utama berlakunya penderaan adalah:
- Pelaku sentiasa berada di rumah bersama mangsa sekali gus meningkatkan risiko konflik untuk berlaku
- Kawalan pergerakan menyebabkan tiada tempat untuk menghilangkan tekanan
- Isu berkaitan kewangan dan ketidakpastian keadaan memburukkan lagi keadaan
- Persekitaran rumah yang sempit menimbulkan rasa tidak selesa dan rimas
4 cara atasi isu penderaan yang dialami
Berikut 4 cara yang boleh anda lakukan jika anda atau anak adalah mangsa dera:
- Bantuan perubatan
Jika berlaku kecederaan, dapatkan rawatan perubatan di Jabatan Kecemasan Trauma di mana-mana hospital kerajaan yang berhampiran.
Rawatan akan diberikan di bilik khas – Pusat Krisis Bersepadu (OSCC). Jika terdapat kaunter polis di hospital, laporan akan dilakukan dan anda akan diberikan Borang 59 untuk doktor mencatatkan kecederaan dialami.

- Talian bantuan
Anda boleh menghubungi Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) di talian 15999 atau mana-mana organisasi wanita yang menawarkan bantuan.
- Laporan polis
Anda digalakkan untuk membuat laporan polis di balai polis berhampiran. Pastikan anda menyatakan secara jelas tentang kejadian yang berlaku termasuk tarikh dan masa penderaan bagi memudahkan penyiasatan.
- Pelan keselamatan
Pastikan anda mempunyai rancangan keselamatan diri jika anda terpaksa meninggalkan rumah secara tiba-tiba. Sebaiknya, simpan kunci rumah pendua untuk membolehkan anda keluar dari rumah serta simpan nombor telefon individu penting bersama anda.
Ambil kisah dan laporkan kes penderaan
Pasti akan ada yang mengatakan itu masalah rumah tangga mereka dan anda tidak sepatutnya masuk campur. Baiklah, jika itu pandangan anda.
Tetapi bagaimana jika ahli keluarga anda seperti emak, kakak, adik atau anak-anak buah yang menjadi mangsa? Adakah anda mahu jiran sebelah rumah mereka menutup mata dan memekakkan telinga menganggap tiada apa yang berlaku?
Jika anda tidak mahu ahli keluarga anda menjadi mangsa, sudah tentu mereka yang mempunyai pertalian dengan jiran anda juga tidak mahu keluarga mereka didera.
Sekiranya sikap ambil kisah dan peduli anda membawa kepada kebaikan, kenapa tidak?
Anda boleh laporkan sebarang kes melibatkan penderaan dengan menghubungi Talian Kasih di 15999.
Anda juga boleh menghubungi Women’s Aid Organisation (WAO) di 0379563488 atau terus ke talian 999 jika melibatkan kecemasan.
Keprihatinan anda mungkin dapat membantu menyelamatkan nyawa insan yang tidak berdosa, apatah lagi dalam tempoh PKP ketika mereka tiada pilihan lain selain berada di rumah.