Buli adalah isu yang serius. Statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan lebih 14,000 kes buli di sekolah-sekolah seluruh negara antara tahun 2012 dan 2015, sebahagian besarnya melibatkan penderaan fizikal.
Menurut laman Nobullying.com, sekitar 84% kanak-kanak di Malaysia mempunyai pengalaman dibuli. Manakala kajian Stop Cyberbullying 2017 di bawah program Digi CyberSAFE menunjukkan sekurang-kurangnya satu dalam dua belia mengaku pernah mengalami pembulian siber.
Perbuatan buli bukan sesuatu yang cool
Bagi sesetengah pelajar sekolah, antara sebab mereka membuli adalah kerana ingin menunjukkan senioriti dan kekuatan mereka kepada pelajar yang lebih lemah. Mereka merasakan bahawa tindakan tersebut adalah cool dan macho.
Kecelaruan dan salah faham dalam melihat perbuatan keji ini perlu diuruskan bermula seawal bangku sekolah rendah, atau mungkin pra-sekolah. Bahkan sebenarnya sebelum tempoh itu lagi iaitu di dalam rumah.
Apa lagi punca buli?
Sesetengah pembuli ingin mencari perhatian. Mereka mungkin tidak mendapatkannya di dalam rumah kerana kesibukan mak dan ayah di luar rumah. Ada juga mereka yang dibesarkan dalam keadaan selalu dimarah dan dipukul sehingga mereka melakukan hal sama ke atas orang lain.
Pembuli kadangkala tahu dan sedar bahawa mereka menyakiti orang lain. Namun, mereka mungkin tidak tahu sejauh mana tindakan tersebut memberi kesan ke atas fizikal dan emosi mangsa buli.
Apakah bentuk buli?
Ada beberapa bentuk:
- Buli secara langsung: mengejek, menghina, memukul.
- Buli tidak langsung: menyebarkan berita yang memalukan, memulau, menyindir.
- Buli siber: menggunakan teknologi digital untuk memalukan atau mengancam.
Bagaimana ingin menghadapi kes buli?
Cuba langkah-langkah berikut:
- Elakkan daripada bertembung dengan pembuli. Sebolehnya, ambil jalan yang berbeza.
- Beranikan diri, meskipun apa yang anda rasa di dalam adalah sebaliknya. Yakin dengan diri anda.Apabila anda menunjukkan anda berani, ia akan menghantar mesej kepada pembuli untuk berhenti.
- Dapatkan teman. Dua orang lebih baik daripada seorang. Lebih ramai orang akan mengurangkan kecenderungan dan keberaninan pembuli untuk bertindak.
- Abaikan apa yang dilakukan oleh pembuli ke atas anda. Elakkan memberi respon yang negatif, kerana itu adalah apa yang pembuli inginkan.
- Jangan balas apa yang dibuat. Ini hanya akan mencetuskan huru-hara dan ia juga bahaya untuk keselamatan.
- Laporkan pada orang dewasa atau guru. Ini bukanlah ingin menjadi seorang yang manja. Buli adalah sesuatu yang serius. Ia perlu dihentikan.
Ibu bapa dan ahli keluarga perlu memulakan langkah di rumah dengan memupuk rasa kasih sayang serta hormat terhadap orang lain. Laporkan kes buli di yang berlaku di sekolah anda kepada pihak bertanggungjawab. Anda juga boleh hubungi Talian Aduan Disipilin 1800-88-4774 atau hantarkan emel di [email protected].
[embed-health-tool-ovulation]