Antara perkara yang sangat mencabar kesabaran ibu bapa adalah mengajar anak mereka untuk berkelakuan baik. Ini sangat sukar kerana setiap kanak-kanak mempunyai perangai mereka yang tersendiri. Namun begitu, anda diingatkan untuk tidak sesekali hilang kesabaran dan menghukum mereka membuta tuli. Berikut merupakan 10 cara menghadapi anak yang berkelakuan buruk.
Biarkan anak anda lihat sendiri kesan tindakan mereka
Ini merupakan perkara paling penting untuk diajar kepada kanak-kanak demi menanam sikap tanggungjawab dalam diri mereka. Sebagai contoh, anda boleh berikan mereka makanan dan mainan yang terhad kuantitinya. Jika mereka kerap sangat gemar membazir makanan dan membuang mainan mereka yang sedia terhad itu, mereka sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk makan dan main.
Cipta peraturan apabila perlu
Jika anak anda berdegil tidak mahu menyimpan mainan yang telah dimainkan oleh mereka, beritahu anak anda bahawa anda akan menyorokkan mainan tersebut dan mereka tidak lagi boleh bermain dengannya. Setelah itu, anda perlu betul-betul melakunya agar mereka percaya kata-kata anda seiring dengan tindakan.
Halang anak anda melakukan aktiviti kegemaran mereka
Antara cara lain untuk mendisiplinkan anak adalah dengan menghalang mereka melakukan aktiviti kegemaran mereka seperti menonton televisyen atau bermain permainan video. Ini juga perlu betul-betul dilakukan oleh anda agar mereka tidak menganggap anda cuma mahu menyakat mereka sahaja.
Pastikan anda tidak menyuruh anak anda perkara yang mereka tidak boleh buat
Ada perkara yang kanak-kanak boleh buat dan sebaliknya. Jangan menyuruh mereka melakukan perkara yang mereka tidak boleh buat. Selain itu, gunakan bahasa yang paling mudah difahami agar anak anda lebih mudah memahami apa yang anda mahu mereka lakukan.
Tetap pendirian terhadap peraturan
Sekali anda sudah menetapkan peraturan, anda diingatkan untuk tidak sesekali melonggarkannya. Jangan biasakan anak anda untuk melakukan sebarang perbincangan dan terus kekal dengan peraturan anda.
Jangan mengalah dengan kelakuan buruk anak anda
Meskipun kadangkala kelakuan buruk tidak banyak mendatangkan kesan negatif (lewat tidur 30 minit atau terlebih makan gula-gula tidak akan membuat mereka sakit, bukan begitu?), anda tidak seharusnya mengalah dengannya. Ini kerana satu pengecualian akan mengundang kepada permintaan pengecualian yang lain lagi kelak.
Jangan abaikan perasaan anak anda
Kadangkala, kelakuan buruk anak anda sebenarnya berpunca daripada cemburu atau sedih. Anak anda perlu diajar untuk mengawal perasaan seperti ini untuk megelakkan kelakuan yang lebih teruk.
Minta maaf sekiranya anda melakukan kesilapan
Jika anda melakukan kesalahan, minta maaf kepada anak anda dan berjanji untuk tidak mengulanginya. Anda boleh jadikan kesilapan anda ini sebagai ruang untuk anak anda belajar sesuatu. Biarkan mereka memahami konsep bahawa kesilapan kadangkala tidak boleh dielakkan. Perkara paling penting adalah bagaimana untuk belajar daripada kesilapan.
Sentiasa bersikap positif terhadap anak anda
Kadangkala, timbul perasaan kecewa dengan anak anda. Namun begitu, anda tidak boleh menunjukkannya. Jika anak anda mengetahui bahawa anda sendiri sudah tidak mempercayainya, mereka akan hilang keyakinan diri dan seterusnya menyebabkan kelakuan buruk yang mungkin lebih teruk.
Katakan tidak pada kekejaman
Walaupun anak anda yang berkelakuan buruk sangat menguji kesabaran, anda perlu mengawal diri daripada melakukan kekejaman. Ini kerana kekejaman tidak akan mengajar sifat tanggungjawab sebaliknya hanya memupuk sifat amarah dan agresif. Kanak-kanak yang biasa dipukul oleh ibu bapa ketika membesar akan menganggap kekejaman itu adalah normal dan orang yang lebih berkuasa akan mempunyai hak untuk melakukannya.
Tuntasnya, kunci kepada disiplin adalah cara mendidik anak. Sebagai ibu bapa, hukum anak anda setimpal dengan kesalahan mereka serta puji anak anda jika mereka melakukan perkara yang baik. Selain itu, anda perlu sentiasa kekal konsisten dan bersikap positif. Disiplin bukan sahaja bermaksud memastikan anak anda tidak menyepahkan rumah anda tetapi juga memastikan anak anda mempunyai rasa tanggungjawab dan jati diri yang kukuh untuk digunakan apabila mereka dewasa kelak.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-ovulation]