Mungkin ramai dalam kalangan kita yang belum tahu bahawa tanggal 17 Oktober pada setiap tahun merupakan Hari Tongkat Putih Sedunia.
Untuk pengetahuan anda, hari ini disambut bertujuan bagi mencipta serta memupuk kesedaran terhadap golongan yang ada masalah penglihatan.
Pernahkah anda terfikir mengapa orang buta sering kali dilihat memakai cermin mata hitam? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut!
Buta, masalah penglihatan paling kronik
Mata adalah sepasang organ yang paling penting pada tubuh badan manusia kerana tanpanya kita tidak akan mampu untuk melihat.
Namun ia tidak selalunya sempurna kerana ramai golongan yang mempunyai masalah mengenai penglihatan mereka akibat kerabunan.
Menurut statistik, dikatakan kira-kira 2.2 bilion manusia di seantero dunia mengalami masalah ini!
Apa yang lebih membimbangkan, hampir separuh daripada jumlah itu mengalami masalah penglihatan yang sangat kronik yakni buta.
Buta boleh didefinisikan sebagai kecacatan atau kehilangan penglihatan yang bersifat kekal dan tidak boleh dibetulkan melalui cermin mata atau kanta lekap.
Ada individu yang lahir dengan kondisi ini atau mengalaminya seiring dengan perjalanan usia dan terdapat beberapa penyebab kepada kebutaan termasuklah:
- Glaukoma
- Katarak
- Radang optik
- Retinitis pigmentosa
- Retinopati diabetik
- Tumor pada mata
- Trauma pada mata
- Jangkitan pada mata
Penderita mungkin boleh merawat masalah ini sekiranya punca kebutaan itu mampu dikenal pasti dan ditemukan penawarnya segera.
Jika tidak, anda mungkin terpaksa hidup dengan keadaan seperti itu seumur hidup anda kerana tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Kenapa orang buta pakai cermin mata hitam?
Mungkin kenyataan ini berbaur agak stereotaip namun memang benar bahawa individu yang mempunyai masalah penglihatan ini memang gemar memakai cermin mata hitam.
Persoalannya kenapa? Mungkin akan ada yang menyangka bahawa ia adalah satu perbuatan yang tiada keperluan.
Tidak, jangan sesekali beranggapan sedemikian kerana ternyata setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya.
Berikut adalah beberapa sebab kenapa orang buta sering kali memakai cermin mata hitam:
#1. Untuk memperbaiki penglihatan
Apa? Bukankah orang buta memang tidak mampu untuk melihat? Jadi untuk apa mereka memakai cermin mata hitam untuk memperbaiki penglihatan?
Di sini anda mungkin silap. Tidak semua orang buta itu buta sepenuhnya kerana masih ada yang mampu melihat walaupun sangat minimum.
Apa yang mungkin mereka mampu lihat adalah pantulan cahaya matahari dan penggunaan kaca mata adalah sangat membantu untuk tujuan ini.
#2. Untuk melindungi penglihatan
Walaupun mata mereka yang bernasib malang ini tidak mampu berfungsi dengan betul, ia masih perlu dilindungi daripada sebarang bendasing.
Contohnya kertas, daun, debu, habuk dan sebagainya boleh memasuki mata mereka ekoran tidak mampu untuk melihat dan mengelaknya.
Dengan memakai cermin mata, maka segala bendasing seperti yang disebutkan tadi dapatlah dielakkan dan mengelakkan kerosakan lebih teruk.
#3. Untuk membiaskan cahaya matahari
Seperti yang kami telah nyatakan di atas tadi, ada orang buta yang menggunakan pantulan cahaya matahari untuk membantu mereka mengesan halangan di sekeliling.
Namun ini tidak bermakna mata mereka tidak perlu dilindungi daripada sinaran ultra ungu yang ternyata berbahaya buat mata meskipun terhadap golongan ini.
Disebabkan itu, penggunaan kaca mata hitam amatlah digalakkan pada hari panas bukan sahaja buat orang buta malahan anda yang boleh melihat juga ya!
#4. Untuk tujuan kosmetik
Kebanyakan individu yang mempunyai masalah penglihatan akan mempunyai bola atau biji mata yang kelihatan tidak begitu normal.
Ini mungkin akan membuat orang lain di sekeliling atau individu itu sendiri berasa tidak selesa akibat diperhatikan oleh orang ramai.
Cermin mata hitam akan mampu menutup bahagian mata ini lantas memberi sedikit keyakinan kepada orang buta mahupun orang ramai.
#5. Untuk membuat orang ramai tahu
Kadangkala, kita mungkin tidak dapat membezakan sama ada individu itu menghidap masalah penglihatan atau tidak jika tiada petanda ditunjukkan.
Ini kemudiannya akan mengundang bahaya serta individu lain mungkin hanya mengabaikan sahaja orang buta kerana tidak tahu hakikat sebenar.
Oleh itu, penggunaan cermin mata hitam amatlah membantu golongan ini untuk memberitahu secara langsung atau tidak langsung keberadaan mereka.
Orang buta tidak semestinya bertongkat!
Akhir kata, buta adalah satu masalah penglihatan yang sangat membimbangkan boleh terjadi kepada mana-mana individu dengan faktor risiko yang tinggi.
Mungkin ada yang masih jumud dengan menyangka golongan ini sudah boleh menjaga diri hanya dengan menggunakan sebatang tongkat sahaja.
Tidak, orang buta tidak semestinya bertongkat kerana terdapat banyak lagi kaedah lain yang boleh digunakan untuk membantu kehidupan mereka.
Salah satu alternatifnya adalah bantuan dan harapan daripada orang sekeliling mereka!
Sekiranya anda terlihat atau terjumpa dengan golongan ini, bantulah mereka sedaya upaya kita ya?