brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Kesihatan Mata, Ini Semua Yang Anda Perlu Tahu Untuk Penglihatan Yang Lebih Baik!

Tahukah anda, organ mata merupakan salah satu organ yang paling kompleks dalam badan kita? Manakan tidak, kita banyak bergantung kepada deria penglihatan untuk melakukan aktiviti seharian seperti mandi, makan, berkerja dan sebagainya.

Kesihatan Mata, Ini Semua Yang Anda Perlu Tahu Untuk Penglihatan Yang Lebih Baik!

Namun, disebabkan kita menggunakan mata hampir sepanjang masa, ramai yang ambil mudah tentang nikmat penglihatan. Cuba bayangkan jika kita tiba-tiba tidak dapat melihat. Apalah agaknya yang akan terjadi?

Sebab itulah, kita perlu menjaga kesihatan mata. Cara yang paling mudah untuk bermula ialah dengan belajar lebih lanjut tentang masalah organ mata dan apa yang boleh merosakkan penglihatan anda. 

Apakah masalah mata yang paling lazim berlaku?

rabun jauh

Masalah mata ialah sejenis penyakit atau kondisi yang membuatkan seseorang mengalami kesukaran untuk melihat atau hilang penglihatan sama sekali.

Jika anda tahu apakah punca sebenar dan faktor risiko di sebalik penyakit mata yang dialami, anda boleh mengambil langkah yang terbaik untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih serius.

Antara masalah mata yang lazim dialami ialah:

Ralat pembiasan (Refractive Errors)

Ralat pembiasan merupakan masalah mata yang amat lazim dalam kalangan masyarakat, Ini termasuklah kondisi seperti myopia atau rabun dekat, heperopia atau rabun jauh, astigmatisme, dan presbiopia (presbyopia) atau rabun tua.

Walaupun masalah organ mata di atas akan menyebabkan kesukaran untuk melihat, ralat pembiasan tidak akan menyebabkan pesakitnya buta atau hilang penglihatan.

Degenerasi Makula (Macular Degeneration)

Degenerasi makula berlaku apabila bahagian mata (makula) yang bertanggungjawab untuk memberikan penglihatan yang fokus dan tajam mengalami masalah.

Kesannya, penglihatan pesakit akan menjadi kabur. 

Berbeza dengan ralat pembiasan, degenerasi makula merupakan penyakit yang progresif dan boleh menyebabkan pesakitnya buta jika tidak dirawat.

Glaukoma

Glaukoma merupakan satu penyakit yang mempengaruhi bahagian saraf optik. Pesakit yang alami glaukoma selalunya akan rasa sakit yang amat sangat pada kawasan mata mereka.

Untuk pengetahuan anda, pesakit boleh menjadi buta akibat glaukoma. Malah, penyakit ini boleh menyerang secara tiba-tiba.

Katarak

Katarak merupakan punca kebutaan yang pertama di dunia. Penyakit ini akan menyebabkan mata pesakit menjadi kabur dan lama kelamaan akan hilang penglihatan.

Katarak boleh berlaku pada bila-bila masa, namun ia paling lazim berlaku dalam kalangan orang tua. Selalunya, katarak boleh dipulihkan melalui prosedur pembedahan.

Ambilopia (Ambylopia)

Ambiopia pula ialah satu kondisi yang turut dikenali dengan nama mata malas. Keadaan ini selalunya berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Berbeza dengan rabun, penglihatan individu yang menghidap ambilopia tidak dapat dibetulkan dengan cermin mata ataupun pembedahan.

Juling (Strabismus)

Juling atau strabismus berkait dengan posisi mata seseorang. Mereka yang mempunyai strabismus mungkin menghidap esotropia (juling ke dalam) atau exotropia (juling ke luar).

Strabismus menyebabkan mata fokus pada kawasan yang berbeza dan bukan pada titik yang sama. Masalah ini boleh menyebabkan masalah penglihatan ataupun buta pada sebelah organ mata.

Simptom dan gejala berkaitan

Simptom penyakit mana mungkin berbeza mengikut kondisi. Namun, ada beberapa simptom lazim yang terjadi kepada individu dengan masalah penglihatan. Antaranya ialah:

  1. Pandangan kabur atau berkabus.
  2. Sukar melihat di waktu malam.
  3. Sensitif terhadap cahaya yang terang.
  4. Warna nampak kabur.
  5. Penglihatan berganda.
  6. Perlu baca sesuatu dengan jarak yang dekat.
  7. Mata merah.
  8. Pening kepala.
  9. Kerap rasa loya.
  10. Sakit pada bahagian mata.
  11. Nampak bulatan ‘halo’ pada sekeliling cahaya.
  12. Tidak nampak objek dekat atau jauh.

Bila saya patut berjumpa dengan doktor?

penyakit mata

Jika anda mengalami lebih daripada satu simptom di atas, itu bermaksud anda mempunyai masalah dengan penglihatan anda. Oleh sebab itu, berjumpalah dengan doktor dalam kadar yang segera. 

Kebanyakan penyakit yang melibatkan mata merupakan kondisi yang progresif dan bermaksud ia boleh menjadi lebih teruk tanda sebarang rawatan. 

Malah, beberapa jenis penyakit yang melibatkan organ mata boleh menjadi lebih serius tanpa sebarang rawatan. 

Punca dan faktor risiko masalah mata

Salah satu cara yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan mata ialah dengan melakukan rawatan awal.

Untuk pengetahuan anda, masalah mata mungkin berpunca daripada beberapa perkara seperti:

  1. Kondisi seperti glaukoma dan katarak merupakan penyakit turun temurun.
  2. Ralat pembiasan seperti myopia, hyperopia dan astigmatisme juga boleh berlaku disebabkan genetik.
  3. Ambilopia dan strabismus selalunya terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah tumbesaran atau yang lahir secara pramatang.
  4. Masalah kesihatan seperti diabetes juga boleh menyebabkan buta.
  5. Usia juga memainkan peranan yang penting. Degenerasi makula, glaukoma, dan katarak selalunya berlaku kepada individu yang berusia.
  6. Trauma dan luka pada kawasan mata juga boleh menyebabkan masalah penglihatan.
  7. Kekurangan vitamin A boleh mengakibatkan masalah mata.
  8. Salur darah pada kawasan mata boleh rosak disebabkan oleh penyakit seperti hipertensi dan tekanan darah tinggi.

Apakah faktor risiko masalah mata?

Faktor risiko yang berkaitan ialah:

  1.  Masalah genetik. Jika ada ahli keluarga anda yang mengalami masalah organ mata, anda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap masalah yang sama.
  2. Tidak menjaga kesihatan mata.
  3. Obes atau mempunyai berat badan berlebihan. Mereka ini lebih berisiko untuk menghidap diabetes.
  4. Hipertensi.
  5. Mengabaikan simptom penyakit mata. Ini boleh menyebabkan anda mempunyai masalah yang lebih teruk pada masa hadapan.

Diagnosis

Doktor selalunya akan melakukan beberapa jenis ujian untuk menguji kesihatan mata anda. Antaranya ialah:

  1. Ujian mata untuk menentukan kadar penglihatan anda.
  2. Imbasan retina supaya doktor boleh melihat retina dan saraf optik anda dengan lebih jelas.
  3. Ujian dilasi mata (dilated eye exam) merupakan sebuah prosedur yang amat berkesan untuk mengenal pasti sebarang masalah pada mata anda.
  4. Doktor juga akan memeriksa simptom lain seperti pening kepala, sakit pada kawasan mata dan tahap penglihatan anda untuk melakukan diagnosis.
  5. Setelah doktor mendiagnosis kondisi anda, barulah rawatan boleh dimulakan.

Rawatan

penyakit mata

Rawatan untuk masalah mata bergantung kepada kondisi yang anda alami. Sebagai contoh, anda mungkin akan mendapat rawatan berikut:

  1. Untuk masalah ralat pembiasan, penggunaan kanta yang bersesuaian merupakan kaedah rawatan yang terbaik.
  2. Cermin mata boleh digunakan oleh pesakit yang mengalami ambilopia dan strabismus. Namun, mereka perlu lakukan terapi penglihatan dan pembedahan mata pada masa yang sama.
  3. Untuk katarak, pembedahan boleh dilakukan untuk membuang kanta yang berkabus untuk digantikan dengan kanta buatan.
  4. Glaukoma boleh dirawat dengan medikasi, rawatan laser dan pembedahan.
  5. Bukan semua masalah mata boleh dirawat. Namun, simptomnya selalunya boleh dikurangkan.

Cegah masalah mata

Mata merupakan organ yang amat penting. Kekalkan kesihatan mata anda dengan cara:

  1. Lindungi mata anda. Pastikan anda memakai kaca mata hitam jika pancaran matahari terlalu terang.
  2. Gunakan kaca mata keselamatan (safety glasses) jika anda berkerja di kawasan yang mempunyai banyak habuk atau partikel kecil yang boleh merosakkan mata.
  3. Bersenam setiap hari. Senaman yang rutin boleh merendahkan risiko diabetes.
  4.  Makan makanan yang seimbang. Selain turut merendahkan risiko diabetes, makanan yang seimbang memastikan mata mendapat nutrisi yang secukupnya.
  5. Jumpa doktor secepat mungkin jika anda mempunyai masalah mata.
  6. Elakkan merokok. Merokok meningkatkan risiko katarak dan degenerasi makula.
  7. Rehatkan mata anda, lebih-lebih lagi jika anda berada di hadapan komputer dalam tempoh masa yang panjang.

Jaga mata dan deria penglihatan anda

Pastikan anda sentiasa peka dengan sebarang perubahan pada penglihatan anda. Pengesanan awal agak sukar dilakukan kerana penglihatan selalunya akan menjadi teruk secara perlahan-lahan.

Oleh sebab itu, banyakkan lah membaca tentang kesihatan mata. Pastikan anda tahu apa yang perlu anda lakukan jika penglihatan anda jadi semakin teruk.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 7 hari lalu