Terdapat pelbagai mitos berkaitan saiz alat sulit lelaki dan antara yang paling popular adalah saiz zakar panjang adalah sama dengan ukuran jari tangan mereka.
Lebih tepat lagi, ramai orang percaya bahawa zakar panjang adalah sama ukurannya dengan jarak di antara hujung jari hantu dengan bawah tapak tangan lelaki.
Persoalannya, adakah ia benar? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu lebih lanjut!
Ukuran zakar panjang = jari tangan?
Sejak dahulu lagi, ramai pengkaji telah menyelidik perkaitan di antara ukuran panjang zakar dengan jari tangan dan masih belum ada sebarang bukti konkrit.
Namun, kajian terbaharu yang diterbitkan dalam Asian Journal of Andrology mungkin berjaya memecahkan kebuntuan dan menemukan jawapan buat soalan ini.
Apa yang uniknya, kajian ini menyatakan bahawa kuncinya adalah terletak pada perbezaan di antara panjang jari telunjuk dengan jari manis pada tangan yang sama.
Secara hipotesisnya, dipercayai jika semakin besar perbezaan panjang jari tunjuk dengan jari manis, maka semakin panjang ukuran zakar lelaki tersebut.
Kajian yang dilakukan terhadap 144 orang lelaki di Korea Selatan itu menunjukkan mereka yang mempunyai perbezaan panjang jari telunjuk dengan jari manis sebanyak 3 – 12 mm, mempunyai zakar panjang 7.7 cm secara purata.
Apa kaitan ukuran jari dan zakar panjang ?
Melalui kajian tersebut, maka mungkin dapat disimpulkan di sini bahawa kepanjangan jari dengan zakar lelaki itu mungkin wujud kaitan di antara satu sama lain.
Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan hormon testosteron di dalam tubuh badan lelaki yang boleh mempengaruhi setiap struktur tubuh badan seorang lelaki.
Lelaki dengan kadar hormon testosteron tinggi di dalam tubuh badan cenderung memiliki fitur wajah yang lebih maskulin, contohnya rahang berbentuk persegi.
Disebabkan itu, para pengkaji telah menyimpulkan bahawa hormon itu juga turut akan mempengaruhi panjang jari serta panjang zakar sejak dari kandungan.
Pun begitu, kajian lanjut mengenai perkara ini masih perlu dilakukan bagi benar-benar membuktikan kesahihan wujudnya kaitan di antara kedua-duanya.
Panjang jari turut berkaitan dengan penyakit?
Bagi anda yang mempunyai panjang jari telunjuk dengan jari manis sama rata atau sedikit sahaja bezanya, jangan pula terus hilang keyakinan diri terlebih dahulu.
Ini kerana kajian ini mungkin masih belum terbukti kesahihannya selain ukuran panjang jari juga turut berkaitan dengan risiko penyakit pada individu tersebut.
Menurut kajian yang sama, dipercayai bahawa lelaki dengan panjang jari telunjuk dengan jari manis hampir sama akan dapat bertindakbalas dengan ubat lebik baik.
Sebagai contoh, tubuh badan anda mungkin akan dapat bertindak balas dengan ubat antitumor yang biasa digunakan di dalam usaha merawat kanser prostat.
Wujudkah cara lain untuk menambah panjang zakar?
Tidak dinafikan bahawa ukuran panjang zakar serta besar zakar itu diyakini oleh lelaki sebagai suatu lambang kemegahan yang sangat penting bagi mereka.
Disebabkan itu, telah wujud pelbagai cara untuk menambah saiznya seperti penggunaan minyak lintah, vakum zakar, teknik urut malah juga pembedahan.
Apa yang perlu anda tahu di sini adalah rata-rata kaedah membesarkan zakar ini mungkin tidak begitu efektif selain mempunyai kesan sampingan berbahaya.
Jadi, jangan terlalu bimbang tentangnya kerana saiz alat sulit mungkin bukan penentu segalanya!
Saiz alat sulit mungkin bukan penentu segalanya!
Sebenarnya, tiada sebarang sebab munasabah untuk seorang lelaki itu berasa rendah diri jika zakar panjang mereka tidak seperti mana yang diimpikan.
Ini kerana saiz alat sulit lelaki mungkin bukan penentu segala dan ia telah ditetapkan sejak dari lahir melalui genetik yang diturunkan dari ibu bapa anda sendiri.
Selain itu, adakah anda yakin bahawa golongan wanita hanya akan tertarik kepada lelaki dengan saiz zakar panjang lagi besar? Ia sebenarnya sangat subjektif!
Untuk pengetahuan anda, saiz zakar itu sendiri adalah suatu topik yang sangat tabu dan ia bukanlah ukuran terpenting untuk lelaki dan wanita itu berpasangan.
Sebaliknya, perhubungan di antara insan berbeza jantina itu perlulah didasari oleh konsep rasa cinta, sayang dan menerima seseorang itu dengan seadanya.