Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa semua lelaki pernah mengalami mati pucuk atau disfungsi erektil dalam mana-mana fasa kehidupan mereka. Keadaan ini boleh berlaku dalam konteks, situasi, dan orang yang berbeza.
Dalam kebanyakan kes, faktor psikologi menyumbang kepada masalah tersebut. Malah, tidak kurang juga kes sepenuhnya disebabkan oleh faktor psikologi tanpa sebarang kecacatan pada organ reproduktif.
Bagi sesetengah lelaki, mati pucuk jarang berlaku tetapi bagi sebahagian yang lain, ia sangat kerap berlaku. Golongan kedua inilah yang harus mendapatkan nasihat dan terapi yang sepatutnya dari profesional.
Faktor psikologi dan mati pucuk
Banyak keadaan psikologi boleh membawa kepada kegagalan zakar mengalami ereksi. Antara punca paling kerap termasuk kemurungan, masalah rumah tangga, stres, dan sejarah lampau yang buruk mengenai seks.
Kes yang disebabkan oleh masalah organik (fizikal) sekalipun kebiasaannya turut mempunyai faktor psikologi, sama ada minor atau major. Berita baiknya ialah faktor ini boleh dirawat dengan berjaya jika menjalani terapi yang betul.
Malangnya, ia bukanlah isu yang mudah dilontarkan kepada orang lain. Bagi seorang lelaki, berkongsi tentang masalah ini seperti membuka pekung di dada dan mencabar sifat kelelakiannya. Ini membuatkan mereka tidak segera mendapatkan rawatan.
Selepas pengalaman pertama mengalami disfungsi erektil, keyakinan diri lelaki akan berkurang dan sifat gemuruh akan bertambah. Ia membawa kepada gangguan terhadap prestasi semasa hubungan seks seterusnya. Kitaran ini akan terus berulang dan bertambah buruk.
Jangan gopoh mengambil ‘ubat kuat’
Terlalu awal menggunakan ubat-ubatan boleh membuatkan badan anda bergantung kepadanya. Kesannya, anda akan sentiasa memerlukan ubat untuk mencapai ereksi.
Ambil masa untuk tenangkan fikiran dan hilangkan tekanan yang ada dalam minda. Jika masih gagal, sebaiknya dapatkan nasihat perubatan dari ahli profesional dan doktor. Anda boleh juga mencuba ubat tetapi hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi.
Paling penting, elakkan membeli ‘ubat kuat’ di internet yang dijual tanpa mendapat kelulusan.