Ada beberapa kemungkinan yang boleh berlaku jika seseorang lelaki itu berasa sakit semasa seks. Sakit ketika seks yang dialami oleh kaum lelaki boleh menjadi petanda bagi beberapa keadaan seperti di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki sila dapatkannya di sini.
#1. Sakit ketika seks: Jangkitan kelamin
Bagi anda yang terlibat dengan aktiviti seks bebas tanpa sebarang perlindungan, anda mudah terdedah untuk mendapat jangkitan seksual.
Antara jenis jangkitan seksual yang boleh berlaku adalah seperti sifilis, klamidia dan juga gonorea.
Sekiranya anda dijangkiti dengan jangkitan kelamin seperti ini, tidak hairan jika ia boleh menyebabkan sakit semasa seks.
Sebagai contoh, jangkitan gonorea dan juga herpes adalah dua contoh jangkitan yang boleh menyebabkan rasa sakit semasa seks.
Oleh itu, jika anda mengalami sakit ketika seks, buatlah pemeriksaaan untuk memastikan sama ada ia jangkitan kelamin atau bukan.
#2. Penyakit Peyronie
Dengan keadaan zakar yang membengkok ini, tidak mustahil bagi seseorang lelaki itu untuk berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.
Punca sebenar bagi penyakit ini tidak begitu diketahui dengan jelas, namun ia mungkin disebabkan keadaan autoimun atau kecederaan.
Jangan risau kerana penyakit Peyronie ini boleh dirawat melalui rawatan di hospital.
#3. Sakit ketika seks: Kecacatan pada zakar
Kecacatan yang berlaku pada zakar boleh terbentuk dalam pelbagai keadaan. Ia mungkin disebabkan oleh jangkitan, pertumbuhan tumor dan juga batu karang.
Salah satu kecacatan zakar yang boleh berlaku ialah hipospadias. Hipospadias adalah keadaan di mana terdapat kecacatan pada zakar lelaki sejak lahir.
Ia terjadi apabila pembukaan uretra atau salur kencing berada di bahagian bawah zakar.
Apabila keadaan ini berlaku, ia juga boleh menyebabkan rasa sakit semasa seks.
#4. Seks yang terlalu lama atau terlalu kasar
Seks yang terlalu kasar atau terlalu lama mungkin menyeronokkan bagi anda. Namun, ia juga boleh menyebabkan zakar anda menjadi sakit.
Ini kerana zakar anda mengalami ereksi terlalu lama sehingga mencederakan otot dan tisu pada zakar.
Selain itu, apabila zakar dimasukkan ke kemaluan pasangan dengan terlalu laju, ia juga boleh mencederakan tisu zakar.
Oleh sebab itu, anda akan mungkin berasa sakit semasa seks buat beberapa ketika.
Jika ini berlaku, hentikan hubungan intim anda agar tisu zakar boleh kembali pulih. Ia mungkin mengambil masa sekitar beberapa hari.
#5. Sakit ketika seks: priapisme
Priapisme adalah keadaan apabila seorang lelaki mengalami ereksi berpanjangan yang bertahan lebih daripada empat jam.
Keadaan ereksi ini boleh berlaku tanpa keghairahan seksual. Ia adalah satu keadaan yang sangat menyakitkan bagi orang lelaki.
Jika tidak dirawat, ia akan menimbulkan masalah berkaitan mendapatkan dan mengekalkan ereksi.
Jika anda mengalami keadaan priapisme ini, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mengelakkan kerosakan kekal pada zakar anda.
#6. Reaksi alahan
Alahan juga boleh menyebabkan kesakitan pada zakar. Ini berlaku apabila anda mengalami reaksi alahan terhadap sesuatu bahan atau bahan kimia tertentu ketika melakukan hubungan seks.
Antara alahan yang boleh berlaku adalah seperti alahan kondom, bahan pelincir, sex toy dan barangan lain.
Jika anda mengalami reaksi alahan, kulit anda mungkin akan jadi kemerahan, kulit bersisik, kulit menjadi tebal, kelepuhan berserta cecair dan juga gatal-gatal.
Simptom yang dialami ini boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu. Untuk melegakannya, anda boleh mendapatkan ubat alahan di farmasi berdekatan.
#7. Sakit ketika seks: Jangkitan salur kencing
Bukan hanya terhadap wanita, tetapi jangkitan saluran kencing juga boleh terjadi kepada kaum lelaki.
Apabila anda mengalami jangkitan ini, anda akan berasa sensasi terbakar ketika membuang air kecil.
Selain itu, zakar anda juga mungkin akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Anda akan berasa sakit dan tidak selesa setiap kali ingin membuang air kecil.
Kesimpulan
Tujuh punca ini adalah antara perkara yang sering menyebabkan seseorang lelaki berasa sakit semasa seks.
Dengan melakukan pemeriksaan, anda akan dapat mengenal pasti punca sebenar dan menjalani rawatan bagi kesakitan pada zakar ini.
Oleh itu, jangan ragu-ragu untuk membuat pemeriksaan lanjut sekiranya mengalami sakit ketika seks.