backup og meta

Tampil Berjambang Atau 'Babyface', Benarkah Kaum Lelaki Lebih Sihat Jika Bela Bulu?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/11/2022

    Tampil Berjambang Atau 'Babyface', Benarkah Kaum Lelaki Lebih Sihat Jika Bela Bulu?

    Hakikatnya, mungkin ramai lelaki yang cenderung untuk tampil dengan gaya babyface kerana tidak mahu atau tidak tahu manfaat simpan jambang terhadap kesihatan.

    Tidak kurang dengan itu, mungkin juga alasan bagi mereka tidak berjambang adalah akibat genetik yang tidak membolehkan lelaki itu untuk tumbuh jambang.

    Walau apapun sebabnya, ketahuilah bahawa memang wujud banyak manfaat simpan jambang. Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu lebih lanjut tentangnya!

    Wujudkah manfaat simpan jambang bagi lelaki?

    Kebanyakan kaum lelaki mungkin hanya akan membiarkan jambang di wajah mereka tumbuh dengan lebat untuk kekal popular dan relevan dengan trend masa kini.

    Ya, mungkin tujuan itu adalah tidak salah namun ia hanya akan membuat mereka lupa atau alpa terhadap fungsi dan manfaat simpan jambang yang sebenarnya.

    Menurut Pakar Dermatologi, Dave Harvey, kajian telah banyak menyatakan bahawa berjambang mungkin mampu menghapuskan bakteria jahat dan kanser kulit.

    “Bukan sahaja ia boleh dijadikan perhiasan dengan nilai estetik, malah jambang juga boleh dijadikan perlindungan dari faktor risiko luar seperti masalah melecet atau kecederaan pada kulit wajah”, jelas beliau lagi.

    manfaat simpan jambang

    Disertakan dengan banyak lagi manfaat simpan jambang lain seperti yang akan kami nyatakan di bawah, anda mungkin tidak perlu berfikir banyak kali untuk tampil berjambang.

    Berikut adalah sebab lelaki perlu berjambang!

    Kenapa anda perlu bercukur jika berjambang itu akan mendatangkan pelbagai manfaat? Ini adalah apa yang akan anda dapat dengan membiarkan ia tumbuh lebat:

    #1. Melindungi kulit daripada cahaya matahari

    Untuk pengetahuan anda semua, jambang mampu untuk melindungi kulit muka daripada sinaran ultra ungu cahaya matahari yang boleh bawa mudarat pada kulit anda.

    Menurut kajian dari University of Queensland, berjambang mampu untuk mengurangkan 90% ke 95% sinaran ultra ungu sekali gus mengurangkan kesan kanser kulit.

    Pun begitu, ketahuilah bahawa tahap keberkesanan perlindungan ini adalah sangat bergantung kepada kepanjangan dan ketebalan bulu-bulu di sekitar wajah anda itu.

    #2. Memastikan suhu yang lebih stabil

    Jika anda perasan, kebanyakan lelaki yang tinggal di negara beriklim sejuk seperti di benua Eropah cenderung untuk menyimpan janggut dan misai pada wajah mereka.

    Ini kerana jambang mampu berfungsi sebagai ‘alat pemanas’ dari sekitar kawasan bibir, pipi, dagu dan leher sekali gus memastikan suhu yang lebih stabil ketika cuaca sejuk.

    Bukan itu sahaja, jambang juga mampu untuk melindungi kulit anda daripada terkena sentuhan salju atau salji secara langsung lantas mengelak komplikasi lain pula.

    #3. Menjadikan diri anda lebih tampan

    manfaat simpan jambang

    Tidak dinafikan, berjambang sudah pasti akan membuat lelaki itu tampil lebih tampan ekoran imej yang ‘macho‘ dan ini bukanlah sekadar suatu omong kosong sahaja.

    Ini telah dibuktikan melalui kajian Official Journal of the Human Behavior and Evolution Society yang menyatakan ia akan memberi perspektif seorang bapa atau wira.

    Disebabkan itu, anda mungkin tidak mahu melepaskan peluang untuk tampil lebih menarik sekali gus menarik perhatian wanita yang memerlukan perlindungan anda.

    Manfaat simpan jambang #4. Tekstur kulit lembut

    Buat anda yang mungkin belum tahu, wujud kelenjar minyak pada wajah manusia yang akan menghasilkan minyak semula jadi untuk memelihara kelembapan kulit.

    Jika anda terlalu banyak menyentuh muka sendiri, maka anda secara tidak langsung akan menghilangkan dan membuang minyak ini, sekali gus menjejaskan tesktur kulit wajah.

    Dengan wujudnya jambang di wajah, maka ia akan memberi satu perlindungan semula jadi yang akan menghalang anda daripada menyentuh kulit muka secara langsung.

    #5. Melindungi anda daripada infeksi bahaya

    Kajian Journal of Hospital Infection mendapati bahawa lelaki yang tidak berjambang adalah 3 kali ganda lebih berisiko untuk mendapat infeksi bakteria dan virus.

    Ini kerana mereka yang tidak berjambang sudah pasti gemar dan kerap bercukur. Itu adalah punca kulit muka mengalami keradangan dan akan jadi tempat pembiakan.

    Walaupun berjambang mungkin tidak akan melindungi anda daripada semua infeksi yang bahaya, namun sudah pasti ia juga adalah satu kelebihan yang lelaki lain tidak ada.

    Bagaimana pula jika anda tidak boleh berjambang?

    Pun begitu, tidak semua lelaki yang mungkin mampu untuk menerima manfaat simpan jambang ini kerana ada juga mereka yang tidak boleh untuk tumbuh bulu di muka.

    Angkara genetik atau faktor risiko lain, mereka yang tidak boleh berjambang ini mungkin boleh mencuba untuk mengambil suplemen atau ubat jambang di pasaran.

    manfaat simpan jambang

    Konklusinya, berjambang itu mungkin akan beri sedikit sebanyak kelebihan kepada individu! Jadi, mungkin anda boleh menjimatkan masa dan kos untuk bercukur selepas ini, kan?

    #modernmustache #modernbeard

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan