Tahukah anda hidrocele atau ‘Angin Pasang Berair’ ini sering terjadi kepada golongan kanak-kanak lelaki yang baru lahir? Ia juga boleh terjadi pada golongan lelaki dewasa yang berusia 40 tahun ke atas. Ikuti artikel ini sehingga habis untuk mengetahui gejala hidrocele ini dan bagaimana cara untuk mengatasinya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Lelaki, anda boleh klik di sini.
Definisi
Apa itu hidrocele?
Gejala hidrocele ialah pengumpulan cecair di sekitar satu atau kedua-dua testikel. Pengumpulan cecair tersebut tidak menyakitkan, tetapi boleh menyebabkan kawasan skrotal atau groin membengkak. Bengkak ini hanya menyebabkan ketidakselesaan tetapi tidak berbahaya.
Apakah kebarangkalian gejala hidrocele?
Kebanyakan hidrocele dikesan sewaktu kelahiran. Antara 1 hingga 2 peratus bayi yang baru lahir mempunyai hidrocele.
Hidrocele dalam lelaki dewasa pula kebiasaannya berlaku pada usia 40 tahun ke atas. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom hidrocele?
Penyakit ini selalunya tidak menyebabkan sebarang simptom tetapi anda mungkin menyedari bengkak pada skrotum.
Dalam keadaan tertentu simptom seperti kesakitan, bengkak, atau kemerahan pada skrotum atau kesakitan pada pangkal zakar mungkin berlaku. Kemungkinan juga ia berlaku pada satu atau kedua-dua belah testikel.
Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Anda perlu menghubungi doktor jika:
- Anda atau anak anda mengalami kemaluan bengkak. Diagnosis penting untuk menolak punca lain yang mungkin memerlukan rawatan.
- Gejala hidrocele bayi anda tidak hilang selepas setahun.
- Anda atau anak anda mengalami kesakitan atau bengkak secara tiba-tiba yang teruk pada skrotum terutamanya dalam masa beberapa jam selepas berlaku kecederaan pada skrotum. Ini adalah situasi kecemasan.
Punca
Apakah punca gejala hidrocele?
Hidrocele mungkin berlaku tanpa sebab yang jelas. Dalam bayi yang baru lahir, ia mungkin berlaku disebabkan pembukaan antara perut dan skrotum. Pembukaan tersebut biasanya akan tertutup sebelum kelahiran atau tidak lama selepas itu.
Pada orang dewasa, hidrocele sering berlaku disebabkan kecederaan atau pembedahan ke kawasan skrotum atau groin.
Dalam sesetengah kes, jangkitan atau keradangan epididimis atau testikel juga boleh menyebabkan pengumpulan cecair.
Dalam kes yang jarang berlaku, hidrocele mungkin berlaku dengan kanser testis atau buah pinggang. Hidrocele ini boleh berlaku tanpa mengira usia tetapi kebiasaannya pada lelaki berusia lebih daripada 40 tahun.
Faktor-faktor risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada hidrocele?
Faktor risiko kejadian hidrocele termasuklah:
- Bayi yang dilahirkan pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami gejala hidrocele;
- Kecederaan skrotal
- Jangkitan, termasuklah jangkitan seksual (STI);
- Lelaki berusia 40 tahun ke atas
Diagnosis dan rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit hidrocele didiagnosis?
Doktor akan bermula dengan pemeriksaan fizikal, termasuklah:
- Memeriksa rasa sakit apabila disentuh atau tanda-tanda skrotum membesar.
- Menekan perut dan skrotum untuk memeriksa kewujudan hernia inguinal.
- Melakukan ujian transillumination untuk memeriksa pembentukan cecair.
Selepas itu, doktor anda mungkin akan mengesyorkan beberapa ujian lanjut untuk mengesahkan diagnosis:
- Ujian darah dan air kencing untuk menentukan jika anda mempunyai jangkitan, seperti epididimitis
- Ultrabunyi untuk menolak kemungkinan hernia, tumor testis atau punca lain skrotum bengkak.
Bagaimana pesakit hidrocele dirawat?
Bagi bayi lelaki, gejala hidrocele akan hilang sendiri sebaik sahaja bayi membesar kebiasaannya dalam masa setahun. Sekiranya ia bertahan lebih lama, kanak-kanak tersebut perlu menjalani pembedahan.
Bagi lelaki dewasa, hidrocele akan hilang apabila puncanya dirawat dan boleh mengambil masa sehingga enam bulan untuk sembuh.
Sama seperti pada kanak-kanak, jika hidrocele tidak berkurang atau membesar hingga menimbulkan ketidakselesaan atau kecacatan, maka ia mungkin perlu dibuang melalui pembedahan.
Pembedahan akan menangani pengumpulan cecair tersebut dengan menutup pembukaan antara skrotum dan abdomen untuk mencegah pengumpulan lebih lanjut serta mengeluarkannya dari skrotum dengan jarum suntikan.
Sekiranya keadaan tidak membolehkan anda menjalani pembedahan, saliran (drainage) dapat menyelesaikan masalah hidrocele. Walau bagaimanapun, terdapat risiko hidrocele berulang bagi rawatan ini. Anda mungkin memerlukan skleroterapi – suntikan bahan untuk menghentikan pengembalian hidrocele setelah saliran dilakukan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan, sila berjumpa dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda atau anak anda.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani hidrocele?
Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani hidrocele:
- Dapatkan ubat tahan sakit daripada doktor jika terdapat rasa sakit selepas rawatan.
- Elakkan aktiviti seperti mengayuh basikal selama sekurang-kurangnya tiga minggu.
- Dapatkan rehat yang mencukupi selama seminggu selepas pembedahan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.