backup og meta

Kaki Ada Ulser, Berbentuk Pelik? Ini 5 Tanda Utama Diabetes Pada Kaki!

Kaki Ada Ulser, Berbentuk Pelik? Ini 5 Tanda Utama Diabetes Pada Kaki!

Tahukah anda, kita boleh melihat tanda-tanda diabetes pada kaki? Kadangkala, mereka yang sudah lama menghidap diabetes tetapi tidak mengambil ubat-ubatan akan mengalami pelbagai masalah pada kawasan kaki, terutamanya kaki luka dan bengkak. 

Penghidap diabetes mungkin akan alami rasa sakit pada kaki. Malah, sensasi ini akan membuatkan pesakit rasa tidak selesa dan sukar tidur malam.

Ramai pesakit kencing manis melaporkan rasa sakit yang mereka alami seakan-akan dicucuk ratusan pin dan jarum. 

Bukan itu sahaja, ada juga pesakit yang mengalami kesakitan serius sehingga sukar untuk berjalan.

Apabila kerosakan saraf menjadi semakin teruk, kesakitan ini akan naik ke bahagian tangan. 

Antara tanda-tanda diabetes pada kaki ialah pembentukan ulser atau luka pada kulit. Kondisi ini turut dikenali sebagai neuropati diabetik.

Nak tahu lebih lanjut mengenai neuropati diabetik? Mari ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

Apa itu neuropati diabetik?

tanda-tanda diabetes pada kaki

Neuropati diabetik merupakan sejenis kerosakan saraf yang boleh berlaku terhadap pesakit kencing manis. 

Kadar gula dalam darah yang tinggi dan berlarutan dalam satu tempoh masa yang lama boleh merosakkan saraf di seluruh badan.

Walau bagaimanapun, neuropati diabetik lebih berisiko untuk merosakkan saraf di kawasan kaki dan tangan.

Ada orang yang mengalami simptom ringan, namun ada juga yang melalui simptom yang menyakitkan sehingga mengganggu kehidupan seharian.

Neuropati diabetik merupakan komplikasi yang serius dan mempengaruhi hampir 50% individu dengan kencing manis.

Walau bagaimanapun, perkembangan penyakit ini boleh diperlahankan dengan mengawal kadar gula dalam darah dan gaya hidup yang sihat.

Neuropati periferal merupakan satu bentuk neuropati diabetik yang paling lazim. Neuropati jenis ini berlaku pada kawasan kaki, jari, tangan dan lengan. 

Kebanyakan pesakit diabetes tidak tahu mereka menghidap kencing manis kerana mereka tidak pernah melakukan pemeriksaan. Oleh sebab itu, tanda-tanda diabetes pada kaki yang dialami selalunya akan diendahkan.

Jika anda alami salah satu tanda yang digariskan di bawah, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Kesan penyakit kencing manis terhadap kesihatan boleh dielakkan dengan pengesanan awal dan pengambilan ubat-ubatan.

Baca juga:

5 tanda-tanda diabetes pada kaki

Sebenarnya, mudah sahaja untuk mengesan simptom kencing manis, terutamanya pada kawasan kaki. 

Sebagai panduan, perhatikan tanda-tanda diabetes pada kaki berikut:

1. Rasa kejang pada kawasan kaki

tanda-tanda diabetes pada kaki

Salah satu simptom lazim neuropati diabetik ialah rasa kejang pada kawasan kaki sehinggakan pesakit tidak boleh rasa kaki sendiri ketika berjalan.

Kadangkala, tangan atau kaki juga akan rasa ‘sesemut’ pada waktu malam. Malah, ada juga yang rasa ‘ketat’ pada tangan atau kaki seakan-akan memakai sarung tangan atau stoking.

2. Rasa sakit yang menikam

Pesakit juga mungkin akan merasai rasa sakit yang menikam dan tajam seperti renjatan elektrik secara tiba-tiba.

Malah, pesakit juga mungkin akan alami kesukaran untuk memegang atau menggenggam objek tertentu seperti sudu dan garpu.

Kadangkala, barang yang dipegang oleh pesakit diabetes akan terlepas dari tangan disebabkan kehilangan sensasi secara tiba-tiba. 

3. Hilang keseimbangan badan

Antara tanda-tanda diabetes pada kaki ialah kehilangan keseimbangan badan. Pesakit kencing manis akan alami masalah untuk berjalan kerana sakit pada buku lali.

Malah, rasa kejang pada kawasan kaki juga akan menyebabkan pesakit terhuyung-hayang ketika berjalan. Namun, pesakit kencing manis boleh memakai kasut ortopedik untuk mengurangkan simptom ini.

4. Tapak kaki nampak pelik disebabkan diabetes

kebas

Selain itu, tapak kaki pesakit diabetes juga nampak pelik dan cacat. Ini disebabkan pengagihan berat tidak sekata yang berlaku kerana kehilangan fungsi saraf.

Salah satu kecacatan pada kawasan kaki dikenali sebagai hammertoe. Ia berlaku apabila salah satu daripada jari kaki membengkok. Selalunya, masalah ini berlaku pada jari kedua, ketiga atau keempat.

Hammertoe merupakan salah satu tanda tanda diabetes pada kaki yang ketara. Satu-satunya cara untuk mengurangkan kesakitan adalah dengan melakukan pembedahan. 

Namun, untuk kes yang tidak serius, anda boleh menggunakan kasut khas untuk pesakit diabetes.

5. Naik ulser atau luka pada kaki

Pesakit juga mungkin akan mengalami luka atau ulser yang naik secara tiba-tiba. Mungkin pesakit telah melukakan diri sendiri tetapi tidak merasainya.

Disebabkan kekejangan, mereka mungkin tidak perasan mengenai kecederaan yang dialami. Malah, pesakit juga mungkin tidak dapat merasai sebarang sensasi pada kawasan kaki walaupun terkena air panas.

Jangan ambil ringan tanda-tanda diabetes pada kaki

tanda-tanda diabetes pada kaki

Jangan sesekali abaikan rasa sakit pada kawasan kaki, lebih-lebih lagi jika anda menghidap kencing manis. 

Paling penting, pesakit perlulah mengawal pemakanan supaya kadar gula dalam darah kekal stabil.

Kawalan kadar gula dalam darah yang baik dapat mengurangkan sebarang kesakitan serta simptom yang pesakit alami. Tanda tanda diabetes pada kaki ini boleh dikurangkan dengan cara mengambil ubat tahan sakit dan melakukan perubahan dari segi gaya hidup.

Pesakit diabetes yang mengalami sakit kaki, kejang atau rasa sesemut perlulah berjumpa doktor secepat mungkin untuk pemeriksaan lanjut. Jangan biarkan simptom ini berlarutan dalam satu tempoh yang panjang. Buruk padahnya nanti!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Diabetic Neuropathy. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/diabetes/diabetic-neuropathy-nerve-problems. Accessed on March 16, 2022.
  2. Diabetic neuropathy. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetic-neuropathy/symptoms-causes/syc-20371580. Accessed on March 16, 2022.
  3. Mallet Toes. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17204-mallet-toes. Accessed on March 16, 2022.
  4. What is Diabetes? https://www.cdc.gov/diabetes/basics/diabetes.html. Accessed on March 16, 2022.
  5. What is Diabetes? https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/what-is-diabetes. Accessed on March 16, 2022.

Versi Terbaru

15/09/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Kenali 6 Tanda Kencing Manis Ini Di Peringkat Awal Lagi, Usah Biar Ia Berlanjutan!

6 Gaya Pemakanan Sihat Ini Sangat Ideal Untuk Penghidap Diabetes Jenis 1!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan