backup og meta

Jaga-jaga! Kalau Kulit Jadi Hitam & Tebal, Anda Mungkin Alami Keadaan Kulit Ini...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    Jaga-jaga! Kalau Kulit Jadi Hitam & Tebal, Anda Mungkin Alami Keadaan Kulit Ini...

    Salah satu komplikasi yang boleh berlaku disebabkan diabetes ialah keadaan yang dikenali sebagai acanthosis nigricans. Ia merupakan satu keadaan di mana kulit menebal dan menghitam. Bagaimanakah kulit menebal dan hitam ini boleh berlaku?

    Kenali keadaan acanthosis nigricans: Kulit menebal dan hitam

    Acanthosis nigricans ialah satu keadaan kulit yang mengalami perubahan warna yang gelap pada lipatan badan.

    Kulit yang mengalami keadaan ini juga akan menebal. Selalunya, acanthosis nigricans berlaku pada bahagian lipatan ketiak, leher dan juga di celah paha atau kelangkang.

    Perubahan kulit seperti ini biasa berlaku dalam kalangan mereka yang obes atau menghidap diabetes.

    Kanak-kanak yang menghidap penyakit ini berisiko lebih tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2.

    Buat masa sekarang, tiada sebarang rawatan khusus yang tersedia bagi merawat keadaan ini.

    Rawatan yang tersedia hanyalah untuk mengembalikan tona warna kulit selain mengembalikan semula tekstur asal kulit tersebut.

    Tanda-tanda jika anda alami acanthosis nigricans

    kulit menebal dan hitam

    Satu-satunya tanda atau simptom yang boleh dilihat jika anda mengalami acanthosis nigricans ialah kulit menebal dan menghitam.

    Kulit anda bukan sahaja berwarna lebih gelap, tetapi juga akan menjadi lebih tebal daripada sebelum ini.

    Perubahan ini akan berlaku secara perlahan-lahan.

    Selain itu, kulit yang terlibat juga mungkin akan mengalami kegatalan selain mempunyai sedikit bau yang kurang menyenangkan.

    Punca-punca kulit menebal dan hitam

    Terdapat beberapa perkara atau punca yang boleh menyebabkan kejadian kulit menebal dan menghitam. Antara punca-punca tersebut ialah:

    1. Gangguan hormon: Keadaan penyakit kulit ini biasa berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai gangguan berkaitan hormon tubuh. Ini termasuklah sista ovari dan juga kelenjar adrenal.
    2. Kerintangan atau ketahanan insulin: Ketahanan atau kerintangan insulin boleh menyebabkan berlakunya penyakit kencing manis. Oleh itu, tidak pelik jika mereka yang menghidap diabetes boleh mengalami penyakit ini.
    3. Kesan ubat-ubatan tertentu: Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang mungkin boleh menyebabkan penyakit kulit seperti ini. Antaranya ialah pil perancang dan juga niasin dengan dos yang tinggi. 
    4. Kanser: Ia juga boleh berpunca daripada penyakit seperti kanser. Apabila tumor kanser mula tumbuh dalam organ dalaman, ia juga boleh mencetuskan acanthosis nigricans. 

    Faktor risiko acanthosis nigricans

    Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan peluang seseorang individu tersebut untuk mendapat penyakit ini. Antaranya ialah:

    1. Obesiti: Semakin berat tubuh anda, maka semakin tinggi risiko untuk anda mendapat kulit menebal dan menghitam.
    2. Sejarah keluarga: Jika ada ahli keluarga yang pernah mendapat penyakit ini, tidak mustahil untuk anda juga mengalaminya kelak.
    3. Bangsa atau kaum: Ada sesetengah bangsa atau kaum yang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keadaan kulit ini. 

    Diagnosis bagi keadaan ini

    kulit menebal dan hitam

    Penyakit ini biasanya didiagnosis setelah anda menjalani pemeriksaan kulit bersama doktor.

    Berkemungkinan sedikit sampel kulit anda akan diambil untuk diuji.

    Doktor juga mungkin akan melakukan beberapa ujian bagi menentukan punca yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku. 

    Rawatan bagi keadaan kulit menebal dan hitam

    Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, tidak terdapat rawatan khusus bagi merawat penyakit ini.

    Namun, ada beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi menghilangkan warna gelap pada kulit menebal dan hitam ini.

    Antaranya ialah:

    1. Pembedahan: Sekiranya keadaan ini berpunca daripada tumor kanser, maka pembedahan akan diperlukan bagi membuang tumor tersebut.
    2. Menurunkan berat badan: Sekiranya kulit menebal dan menghitam ini disebabkan oleh faktor obesiti, maka anda perlu menurunkan berat badan anda.
    3. Berhenti mengambil ubat dan suplemen: Jika keadaan acanthosis nigricans ini berpunca daripada kesan pengambilan ubat atau suplemen, doktor mungkin akan meminta anda untuk menghentikan pengambilannya dengan segera.
    4. Ubat doktor: Doktor juga mungkin akan memberikan beberapa jenis ubat-ubatan bagi membantu meratakan warna kulit selain menghilangkan baunya. Ini termasuklah krim melembutkan kulit, sabun antibakteria, antibiotik dan ubat makan jerawat. 

    Acanthosis nigricans dan diabetes

    Bagi mereka yang tidak disahkan mengalami diabetes, kulit yang menebal dan hitam ini boleh menjadi tanda bahawa anda sedang mengalami diabetes.

    Bagi mereka yang sedang mengalami diabetes pula, kulit yang menebal dan menghitam ini boleh berlaku sebagai satu komplikasi bagi penyakit diabetes yang dialami.

    Oleh itu, jika anda mendapati diri anda ada mengalami keadaan kulit ini, anda mungkin sama ada sedang menghidap diabetes atau sedang mengalami komplikasi akibat penyakit diabetes. 

    [health_tool_article id=”32121″]

    Kesimpulan

    Secara umumnya, bagi mengelakkan keadaan ini daripada berlaku, anda mesti melakukan tiga perkara berikut.

    Pertama, anda mestilah berusaha untuk menurunkan berat badan anda.

    Kedua, anda perlu mengawal pemakanan anda dengan mengambil makanan-makanan yang sihat.

    Ketiga, perhatikan pengambilan sebarang ubat-ubatan atau suplemen yang mungkin menyebabkan kulit menebal dan hitam.

    Ketiga-tiga perkara ini boleh membantu mengelakkan acanthosis nigricans daripada berlaku. Selain itu, tiga perkara ini juga boleh membantu memulihkan warna kulit kepada tona yang lebih baik. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan