home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Hati-Hati Kaki Kebas Merupakan Simptom & Komplikasi Kencing Manis, Jangan Dibiar Lama!

Hati-Hati Kaki Kebas Merupakan Simptom & Komplikasi Kencing Manis, Jangan Dibiar Lama!

Pernah tak anda tahu bahawa kaki kebas kencing manis itu ada kena mengena antara satu sama lain?

Mungkin anda selalu mendengar perkara ini ketika berbual dengan saudara-mara di kampung; apabila ada seseorang mengeluh atau mengadu kerap rasa kebas kaki, keluhan mereka lazimnya disambut dengan jawapan yang mencadangkan mungkin rasa kebas kaki tersebut adalah simptom kepada penyakit kencing manis.

Tentu sekali, ini merupakan satu jawapan yang popular sama ada diberikan sebagai gurauan antara golongan yang berumur, mahupun sebagai jawapan yang serius.

Namun yang demikian, pernahkah anda terfikir bagaimana penyakit kencing manis yang membabitkan masalah kawalan paras gula dalam darah ini, boleh menyebabkan simptom seperti rasa kebas kaki?

Ikuti perbincangan dalam artikel ini untuk mengetahui bagaimana kebas kaki berkait rapat dengan kencing manis.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Diabetes, sila dapatkannya di sini.

Kaki kebas kencing manis, benarkah?

Jika anda mempunyai faktor risiko kencing manis, atau seorang pesakit kencing manis, kebas kaki merupakan tanda perkembangan penyakit anda. Selain itu, ia juga menunjukkan tahap kawalan penyakit diabetes anda, sama ada baik ataupun sebaliknya.

Rasa kebas kaki ini bukan sahaja dikira sebagai simptom untuk penyakit kencing manis, bahkan ia juga merupakan sejenis komplikasi yang membabitkan saraf dan tergolong dalam kumpulan besar komplikasi neuropati diabetes.

Neuropati diabetes adalah salah satu daripada komplikasi jangka panjang yang paling kerap berlaku dalam penyakit kencing manis, mempengaruhi sehingga 50% daripada kesemua pesakit.

Daripada jumlah ini, 90% daripada kesemua jenis neuropati diabetes adalah jenis polineuropati simetri distal (DSPN). Kebas kaki, khususnya yang membabitkan kedua-dua belah kaki, tergolong dalam neuropati jenis DSPN.

Secara amnya, DSPN melibatkan bahagian ibu jari kaki dan juga bahagian distal kaki. Namun yang demikian, neuropati ini boleh perlahan-lahan merebak sehingga membabitkan kawasan kaki dan tangan yang lebih luas.

Selain rasa kebas, rasa nyilu, rasa panas terbakar, rasa tajam, rasa sakit menjalar dan juga rasa sesemut seperti renjatan elektrik adalah antara ciri-ciri gangguan saraf yang berlaku dalam DSPN.

Gangguan deria rasa pada bahagian kaki ini biasanya akan bertambah teruk pada waktu malam sehingga mampu untuk mengganggu tidur seseorang itu. Rasa sakit dan tidak selesa ini berupaya untuk menyebabkan gangguan pada aktiviti harian seseorang itu sehinggakan mereka akan mengelakkan diri daripada menyertai aktiviti.

Gangguan kualiti kehidupan mereka ini juga boleh mempengaruhi emosi mereka sehingga mereka cenderung untuk menghidap kemurungan.

Pengakhiran rasa kebas rupanya lebih menakutkan!

Neuropati diabetes bukanlah hanya rasa kebas kaki dan tangan sahaja, ia adalah komplikasi penyakit kencing manis yang berupaya untuk menyebabkan pelbagai kesan buruk yang tidak diingini.

Kecederaan saraf ini tidak terhad kepada bahagian saraf di bahagian kaki dan tangan sahaja; saraf-saraf di bahagian lain seperti dalam sistem gastrousus dan juga saraf di bahagian otak dan mata turut boleh terjejas.

Khusus kepada bahagian kaki, kecederaan kepada saraf motor boleh menyebabkan ketidakseimbangan komponen otot sedia ada. Kecederaan kepada saraf autonomik juga akan menyebabkan gangguan kepada fungsi kelenjar peluh sekali gus mengurangkan keupayaan semula jadi kulit untuk melembapkan dirinya.

Ini menyumbang kepada pecahan pada permukaan kulit dan kerosakan integriti kulit, memudahkan kuman berbahaya untuk masuk ke dalam tubuh kita.

Oleh kerana kulit akan menjadi terlalu kering dalam kalangan pesakit diabetes, penjagaan kulit adalah sangat penting seperti menggunakan losyen kelembapan dan sebagainya.

Dengan kerosakan saraf sensasi menyebabkan rasa kebas kaki yang beransur-ansur menjadi teruk, seseorang individu mungkin tidak perasan jika berlakunya luka pada kaki mereka.

Tambahan lagi, memandangkan bekalan darah lebih banyak diperlukan untuk menyembuhkan luka atau ulser berbanding dalam keadaan biasa, tempoh penyembuhan luka atau ulser akan menjadi lebih lama berbanding biasa.

Bahaya ulser atau luka berpanjangan ini adalah ia boleh menjadi titik masuk jangkitan daripada luar kepada salur darah. Kerosakan saraf dan iskemia pada bahagian kaki akan menyebabkan tisu-tisu pada kawasan kaki mati dan dicerna oleh bakteria. Keadaan ini digelar sebagai gangren kaki.

Untuk mengelakkan jangkitan bakteria dalam darah yang boleh merebak ke pelbagai organ dan bahagian badan yang lain, bahagian kaki tersebut lazimnya akan dipotong.

Jika anda mengalami simptom kebas kaki dan mempunyai faktor-faktor risiko untuk menghidap kencing manis, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan rapi dan ujian yang betul. Diagnosis dan rawatan awal akan mencegah komplikasi yang tidak diingini.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. What Is Diabetic Neuropathy? | NIDDK [Internet]. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. [cited 2019 Jul 28]. Available from: https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/preventing-problems/nerve-damage-diabetic-neuropathies/what-is-diabetic-neuropathy
  2. Aumiller WD, Dollahite HA. Pathogenesis and management of diabetic foot ulcers. Journal of the American Academy of PAs. 2015 May;28(5):28.
  3. Boulton AJM, Malik RA, Arezzo JC, Sosenko JM. Diabetic Somatic Neuropathies. Diabetes Care. 2004 Jun 1;27(6):1458–86.
  4. Thomas PK. Diabetic neuropathy: mechanisms and future treatment options. Journal of Neurology, Neurosurgery & Psychiatry. 1999 Sep 1;67(3):277–9.
  5. Schreiber AK, Nones CF, Reis RC, Chichorro JG, Cunha JM. Diabetic neuropathic pain: Physiopathology and treatment. World J Diabetes. 2015 Apr 15;6(3):432–44.
  6. Mishra SC, Chhatbar KC, Kashikar A, Mehndiratta A. Diabetic foot. BMJ. 2017 Nov 16;359:j5064.
  7. Singh VP, Bali A, Singh N, Jaggi AS. Advanced Glycation End Products and Diabetic Complications. Korean J Physiol Pharmacol. 2014 Feb;18(1):1–14.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Nana Muhammad Disemak pada 23/08/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan
x