Ramai orang pasti pernah terfikir dan tertanya jika wujud perubahan pada warna air kencing diabetes buat mereka yang menghidap kencing manis. Ya, ia mungkin ada benarnya.
Ini kerana ia mungkin ada kaitan dengan tahap gula dalam darah atau glukosa yang tentu sahaja jauh lebih tinggi di dalam tubuh badan individu dengan kondisi diabetes.
Persoalannya, bagaimana warna air kencing diabetes? Jom terus baca artikel dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Bagaimana warna air kencing diabetes?
Untuk pengetahuan anda semua, warna air kencing diabetes serta individu yang normal adalah mungkin hampir sama sahaja dan tiada banyak beza.
Pun begitu, ada juga dalam kalangan penderita penyakit kencing manis yang mengumuhkan air kencing dengan warna kuning lebih keruh – cenderung ke warna oren dan coklat.
Kekeruhan pada aspek warna air kencing ini juga biasa disertai dengan bau dan mungkin rasa yang agak manis malah ramai percaya bahawa ia turut akan dikerumuni oleh semut.
Oleh itu, kita mungkin dapat menyimpulkan di sini bahawa air kencing diabetes mungkin agak berbeza berbanding mereka yang normal dari aspek warna, bau dan mungkin rasa.
Persoalannya, apakah perkara yang jadi dalangnya dan adakah ia juga ada kaitan dengan glukosa?
Apa kaitan ia dengan gula dalam darah?
Sebenarnya, mungkin ada beberapa sebab yang jadi punca air kencing berwarna lebih keruh iaitu:
#1. Kewujudan glukosa pada air kencing
Diabetes adalah kondisi yang terjadi apabila kadar gula dalam darah (glukosa) terlalu tinggi dan ia perlu diregulasikan oleh hormon insulin yang dirembeskan oleh organ pankreas.
Disebabkan ketidaktentuan insulin ini, maka glukosa akan kekal di dalam darah. Organ buah pinggang pula akan menapis dan membuang lebihan cecair termasuk juga glukosa.
Akibatnya, glukosa akan termasuk dan tersingkir dari tubuh badan melalui air kencing. Inilah punca kenapa warna, bau dan rasa air kencing akan berbeza berbanding normal.
#2. Kondisi buah pinggang akibat diabetes
Menurut National Kidney Foundation, kira-kira 30% pesakit diabetes jenis 1 dan 40% pesakit diabetes jenis 2 akan ada masalah berkaitan dengan organ buah pinggang mereka.
Seiring dengan masa, diabetes akan beri kesan kepada buah pinggang lantas jadi punca kepada kerosakan atau kegagalan organ ini. Seterusnya, air kencing akan jadi lebih keruh.
#3. Infeksi salur kencing angkara diabetes
Selain itu juga, diabetes akan meningkatkan risiko individu terkena infeksi salur kencing (UTI) akibat kadar glukosa terlalu tinggi, sehingga membuatkan sukar untuk melawan jangkitan.
Kesannya, infeksi salur kencing akan mengumuhkan air kencing lebih keruh angkara kewujudan sel darah putih yang tubuh badan keluarkan dalam usaha untuk lawan infeksi itu.
Apa antara faktor risiko yang lain pula?
Tidak semestinya jika warna air kencing keruh, anda ada diabetes. Cuma, anda mungkin perlu lebih berwaspada dengannya kerana ia adalah salah satu indikator awal.
Terdapat banyak lagi faktor risiko lain yang juga mungkin boleh jadi punca keadaan kesihatan ini:
- Dehidrasi
- Kondisi batu karang
- Masalah kelenjar prostat
- Masalah radang faraj
- Penyakit jangkitan seksual
- Diet pemakanan
Justeru, adalah lebih wajar jika individu segera berjumpa dan berbincang dengan doktor jika perasan ada perubahan pada air kencing anda untuk elakkan perkara buruk yang tidak diingini.
Tanda awal diabetes anda perlu waspada!
Sebenarnya, bukan sahaja warna air kencing diabetes yang perlu untuk anda perhatikan sebagai tanda awal kondisi kencing manis. Ini kerana ada banyak lagi indikator-indikator lain.
Segera jumpa doktor jika ada perubahan pada warna air kencing berserta tanda-tanda di bawah:
- Kerap kencing
- Kerap rasa haus
- Kerap rasa lapar
- Luka yang lambat sembuh
- Tubuh badan sering penat
- Tompok gelap pada kulit
- Penurunan berat badan mendadak
- Gangguan pada sistem penglihatan
Jika anda ada mengalami salah satu atau semua tanda awal di atas ini, maka sila segera berjumpa dan berbincang dengan doktor untuk melakukan ujian diagnosis kondisi diabetes.
Konklusinya, mungkin akan ada perubahan pada warna air kencing diabetes dengan tanda-tanda yang lain. Namun, ia bukan satu perkara yang pasti sebelum benar terbukti.
Dapatkan informasi dan nasihat lebih lanjut daripada doktor berdekatan anda sebelum terlambat!
[embed-health-tool-bmi]