Tidak semua pesakit diabetes sesuai untuk berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kerana, puasa pesakit diabetes berkemungkinan boleh menjejaskan paras gula darah mereka menjadi tidak terkawal. Namun, bagi mereka yang ingin berpuasa, sila lihat tips puasa untuk pesakit diabetes ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.
Puasa pesakit diabetes: Tidak wajib jika boleh jejaskan kesihatan
Puasa adalah satu amalan yang menjadi kewajipan bagi penganut agama Islam di seluruh dunia. Ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang mesti dilaksanakan.
Namun, terdapat kemudahan bagi golongan tertentu yang dibolehkan untuk tidak berpuasa, termasuklah mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Ini kerana, agama Islam mementingkan penjagaan nyawa manusia melebihi segala-galanya.
Puasa boleh menjadi satu keadaan yang berbahaya bagi pesakit diabetes kerana ia boleh menyebabkan masalah diabetes menjadi lebih teruk.
Ini untuk memastikan agar mereka sesuai untuk menjalani ibadah tersebut dan tidak menyebabkan sebarang komplikasi yang lebih buruk.
Tips puasa bagi pesakit diabetes
Sekiranya anda atau mana-mana ahli keluarga anda adalah penghidap diabetes tetapi masih mahu berpuasa, ini beberapa perkara yang perlu anda awasi.
Tips puasa pesakit diabetes ini boleh membantu anda untuk berpuasa dengan lebih baik, selain menguruskan diabetes anda dengan tersusun.
Tips puasa pesakit diabetes 1: Berbincang dengan doktor terlebih dahulu
Ini merupakan langkah terpenting dan paling utama jika anda merancang ingin berpuasa.
Doktor yang merawat anda akan menilai sebarang risiko yang mungkin akan anda alami jika berpuasa.
Sekiranya keadaan diabetes anda masih lagi terkawal dan doktor yakin bahawa anda boleh menguruskan penyakit diabetes dengan berdisiplin, maka anda mungkin boleh berpuasa.
Namun, jika sebaliknya, anda mungkin dinasihatkan untuk menangguhkan terlebih dahulu hasrat tersebut.
Doktor mungkin perlu menyesuaikan semula waktu makan ubat diabetes anda semasa bulan Ramadan.
Ingat, jangan sesekali mengubah cara pemakanan ubat diabetes anda sesuka hati.
Tips puasa pesakit diabetes 2: Kerap periksa bacaan gula darah anda
Semasa berpuasa, pesakit diabetes amat terdedah untuk mengalami sama ada hipoglisemia (bacaan gula darah rendah), hiperglisemia (bacaan gula darah tinggi) dan juga dehidrasi.
Oleh itu, anda perlu sentiasa mengambil bacaan gula darah dengan kerap untuk memantau tahap semasa diri anda. Jangan bimbang kerana ujian gula darah tidak membatalkan puasa anda.
Selain itu, perhatikan juga tanda-tanda atau simptom bagi hiperglisemia dan hipoglisemia.
Ini termasuklah penglihatan yang kabur, pening kepala, degupan jantung menjadi tidak normal atau berasa seperti hendak pengsan.
Tips puasa pesakit diabetes 3: Banyakkan minum air
Kekal hidrasi sewaktu berpuasa juga adalah antara perkara yang paling penting untuk dilakukan.
Ini kerana, kekurangan air dalam tubuh badan sangat membahayakan pesakit diabetes.
Selain itu, elakkan daripada membuat kerja-kerja berat atau berada di kawasan yang panas untuk mengelakkan kehilangan air dalam tubuh badan dengan lebih cepat.
Tip puasa pesakit diabetes 4: Jangan makan terlebih pula
Siapa sahaja yang tidak mahu makan dengan banyak sewaktu berbuka puasa setelah seharian menahan lapar.
Namun, pesakit diabetes perlu berpada-pada dalam pemakanan mereka sewaktu berbuka puasa.
Makanlah dengan cara yang sederhana supaya anda dapat mengawal paras gula darah dengan baik.
Tip puasa pesakit diabetes 5: Jangan berbuka dengan makanan bergula
Makanan bergula atau dengan kandungan karbohidrat yang tinggi sememangnya menjadi musuh utama bagi pesakit diabetes.
Oleh itu, cuba elakkan untuk memakan makanan yang manis sewaktu berbuka puasa seperti jus buah-buahan, kuih-muih dan sebarang makanan manis yang lain.
Banyakkan pengambilan makanan yang rendah karbohidrat dan tinggi kandungan lemak.
Makanan yang tinggi kandungan lemak boleh menyebabkan anda kenyang dalam tempoh yang lebih lama.
Namun, jika anda ada mengambil sebarang ubat-ubatan tertentu, adalah lebih baik untuk anda bertanya kepada doktor terlebih dahulu mengenai cadangan pemakanan yang sesuai dengan diri anda.
Berhenti berpuasa jika anda alami perkara ini
Anda perlu menghentikan puasa anda jika anda alami beberapa perkara seperti di bawah ini:
- Bacaan gula darah lebih rendah daripada 4.0 mmol/L (hipoglisemia)
- Bacaan gula darah melebihi 16 mmol/L (hiperglisemia)
- Badan menggeletar
- Berpeluh-peluh
- Jantung menjadi berdebar-debar
- Berasa seperti hendak pengsan
- Pening kepala
- Berasa keliru
- Berasa lapar sehingga menjadi tidak bermaya
Ingat, tanda-tanda ini merupakan isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak normal sedang berlaku kepada diri anda ketika berpuasa. Segeralah berbuka bagi mengelakkan komplikasi yang lebih buruk.
[health_tool_article id=”60419″]
Ibadah puasa sememangnya satu kewajipan, namun kewajipan tersebut terlepas bagi mereka yang mempunyai keuzuran seperti mengalami masalah kesihatan tertentu.
[embed-health-tool-bmi]