Tidak dinafikan, ada banyak herba yang digunakan untuk merawat kencing manis. Antaranya ialah penggunaan daun ubat kencing manis dalam pemakanan seharian. Walau bagaimanapun, sejauh manakah keberkesanan daun ini dalam merawat diabetes?
Untuk pengetahuan anda, ada 5 jenis daun yang sering digunakan secara tradisional untuk merawat kencing manis. Antaranya ialah daun kari, daun mangga, aloe vera, daun semambu dan ginseng.
Ingin gunakan daun ini untuk merendahkan kadar gula dalam darah? Sebelum itu, baca dulu penerangan kami dalam artikel di bawah!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
5 daun ubat kencing manis
Pasti anda tertanya-tanya mengenai daun yang dapat merawat kencing manis. Di bawah, kami senaraikan 5 tumbuhan popular yang sering digunakan secara tradisional untuk merawat penyakit diabetes ini:
Daun ubat kencing manis #1. Daun kari
Siapa sangka daun kari boleh menjadi penawar untuk diabetes. Menurut buku ‘Healing Spices’ yang ditulis oleh Dr. Bharat dari University of Chicago, daun kari boleh menjadi daun ubat kencing manis.
Malah, ia mampu mengurangkan kadar gula dalam darah sebanyak 45%. Daun kari juga didapati amat bermanfaat untuk penghidap diabetes jenis 2.
Daun kari mengandungi antioksidan seperti vitamin, beta karotena dan juga alkaloid yang dikatakan dapat mengurangkan penyakit yang berkait rapat dengan kerosakan oksidatif.
Bukan itu sahaja, daun kari juga kaya dengan serat. Sayur-sayuran yang mengandungi serat dapat memperlahankan proses pencernaan dan memastikan kadar gula dalam darah sentiasa stabil.
2. Aloe vera
Aloe vera merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai fungsi. Salah satunya adalah untuk kulit yang sihat.
Namun, baru-baru ini, aloe vera juga didapati dapat memperlahankan perkembangan penyakit diabetes jenis 2.
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Bulletin of Faculty of Pharmacy, Cairo University, aloe vera mungkin dapat mengurangkan simptom diabetes dalam kalangan tikus. Pakar berpendapat, kesan ini mungkin berlaku disebabkan sifat antioksidan tumbuhan ini.
Malah, daun ubat kencing manis ini juga mungkin dapat:
- Meningkatkan tahap insulin dalam badan.
- Melindungi buah pinggang daripada penyakit.
- Meningkatkan kesihatan mata.
Buat masa ini, ada banyak kajian yang menunjukkan kesan positif penggunaan aloe vera untuk merawat kencing manis.
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk menentukan keupayaan sebenar tumbuhan ini.
Baca juga:
- Cara Merawat Jerawat Menggunakan Aloe Vera
- 7 Ubat Herba Yang Popular Di Dunia! #4 Orang Kita Selalu Guna Rupanya
3. Daun mangga juga daun ubat kencing manis
Daun mangga merupakan antara daun ubat kencing manis yang sering digunakan untuk mengurangkan simptom diabetes secara turun temurun.
Daun ini bukan sahaja mengandungi banyak khasiat, ia juga dapat mengurangkan risiko komplikasi diabetes!
Menurut kajian, ekstrak daun mangga boleh mengawal kadar gula dalam darah dengan cara mengurangkan metabolisme karbohidrat di dalam usus.
Walau bagaimanapun, masih ada banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk menentukan dos sebenar ekstrak daun yang diperlukan.
Selain itu, daun mangga juga kaya dengan pektin, vitamin C dan serat. Semua ini amat bermanfaat untuk diabetes dan kawalan kolesterol badan.
4. Daun semambu
Daun semambu atau daun neem merupakan sejenis tumbuhan yang boleh didapati dengan meluas di India.
Di negara tersebut, daun ini telah digunakan secara tradisional untuk merawat diabetes, jangkitan, demam, penyakit kulit dan banyak lagi.
Daun semambu kaya dengan flavanoid, triterpenoid dan glikosida yang dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah.
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Indian Journal of Physiology and Pharmacology, daun semambu juga dapat mencegah kencing manis. Selain itu, penggunaan daun merawat kencing manis ini juga didapati dapat mengawal simptom diabetes.
Namun, sama seperti tumbuhan lain, penggunaan daun ini masih lagi dalam kajian.
Malah, lebih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk membuktikan bahawa daun semambu dapat menurunkan kadar gula dalam darah.
5. Ginseng
Menurut kajian yang dijalankan di University of Toronto, ginseng mungkin dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah. Malah, seluruh pokok ginseng, termasuklah daunnya boleh menjadi ubat kencing manis.
Penggunaan daun bagi merawat kencing manis bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, ginseng juga sering diamalkan sebagai makanan tambahan disebabkan manfaatnya terhadap kesihatan.
Malah, ginseng mungkin bakal menjadi salah satu tanaman yang dapat dijadikan ubat kencing manis pada masa hadapan. Menurut Fran Kaufman, Presiden Persatuan Diabetes Amerika Syarikat, ginseng terbukti dapat mengawal kadar gula dalam darah.
Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud anda perlu makan banyak ginseng untuk merawat kencing manis! Apa yang penting, sentiasalah bersederhana. Masih belum ada kajian yang dapat membuktikan kesan sebenar daun ubat diabetes terhadap kesihatan.
Kesimpulan
Tidak dinafikan, ada banyak daun tumbuhan yang boleh kita ambil untuk mengurangkan simptom diabetes.
Walau bagaimanapun, semua tumbuhan atau herba di atas belum terbukti dapat mencegah atau mengurangkan simptom kencing manis. Ia hanya digunakan secara tradisional sebagai rawatan diabetes.
Oleh sebab itu, dapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang herba untuk merawat kencing manis.
Buat masa ini, kesan sampingan tumbuhan ini terhadap kesihatan masih belum diketahui. Jadi, jangan ambil secara sembarangan untuk merawat diabetes tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
[embed-health-tool-bmi]