backup og meta

Buat 6 Tip Ini Kalau Nak Kawal Anak Main Gajet, Elak Ketagihan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 21/02/2023

    Buat 6 Tip Ini Kalau Nak Kawal Anak Main Gajet, Elak Ketagihan!

    Gajet adalah satu revolusi dalam banyak perkara di hari-hari kita. Dengan adanya telefon pintar, banyak urusan yang boleh diselesaikan hanya menggunakan telefon. Gajet digunakan oleh semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak. Ini cara jaga anak anda agar tidak ketagih gajet!

    Dalam kemajuan teknologi pada masa ini, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan semasa.

    Jika kanak-kanak pada zaman dahulu hanya tahu bermain lego, baling selipar dan kejar-kejar, kanak-kanak zaman ini lebih advanced dengan YouTube, Facebook dan Instagram.

    Tanpa menolak kelebihan yang ada, penggunaannya haruslah diselia dan dikawal khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

    Tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan ketagihan gajet dan merencatkan kemahiran sosial anak-anak.

    Mari ketahui apakah kesan ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan cara untuk mengatasinya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Ini tip jaga anak agar tidak ketagih gajet 

    1. Jaga anak dengan tetapkan masa

    ketagih gajet

    Gajet mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ialah ia boleh merangsang kreativiti anak-anak melalui video dan gambar yang bergerak.

    Terdapat juga banyak permainan video yang berbentuk pendidikan.

    Di samping kebaikan yang ada, had masa hendaklah ditetapkan agar mereka tidak mengalami ketagihan gajet.

    Jika anak-anak sudah terbiasa bermain telefon atau iPad, mereka akan sentiasa meminta dari semasa ke semasa.

    Setiap kali anda ingin berikan kepada anak-anak anda, hadkan masa kurang daripada 15 minit pada satu-satu masa.

    Sebaiknya, elakkan penggunaan melebihi 30 minit sehari untuk pastikan anak tidak ketagih gajet. 

    2. Pantau penggunaan

    Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis kandungan tidak sihat di dalam gajet, khususnya pornografi yang semakin menular dan mudah didapati di dalam internet.

    Anda perlu jaga anak anda semasa menggunakan gajet. Lakukan interaksi bersamanya semasa melihat skrin telefon dan tanyakan mereka soalan seperti “apa nama binatang ni?”, “warna apa ni?” atau “macam mana bunyi kucing?”

    Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa, tanyakan soalan-soalan yang lebih mencabar seperti “macam mana burung boleh terbang?” atau “kenapa kita perlu makan sayur?”

    Dengan interaksi yang berlaku, hubungan antara ibu bapa dan anak akan lebih erat.

    Dalam masa yang sama, minda anak-anak juga akan berkembang.

    Anda juga boleh letakkan telefon kepada mod parenting control untuk mengelakkan mereka membuka laman-laman yang tidak sepatutnya.

    3. Jangan manjakan anak anda dengan gajet

    ketagih gajet

    Sebahagian ibu bapa menjadikan telefon sebagai “ubat penenang” apabila anak-anak mereka menangis atau mengamuk.

    Membuka video di YouTube adalah langkah yang sangat mudah untuk memujuk kanak-kanak yang menangis.

    Namun, video tersebut hanyalah solusi sementara dan tidak akan menyelesaikan punca sebenar.

    Anda seharusnya jaga anak dengan mencari sebab sebenar anak anda menangis.

    Contohnya, jika seorang anak anda menangis kerana mainannya diambil oleh adiknya, anda perlu meminta si adik memulangkan semula kepada si abang kerana itu adalah haknya.

    Jika anak-anak terlalu dimanjakan dengan gajet, mereka akan lebih mudah mengamuk dan sentiasa meminta-minta. Besar juga kemungkinan mereka akan ketagih gajet.

    Baca juga:

    4. Elakkan gajet ketika ada ramai orang

    Apabila saudara mara pulang ke kampung, gunakan saat itu untuk membiarkan anak-anak anda bersosial bersama sepupu dan saudaranya.

    Jika mereka meminta gajet, elakkan daripada menunaikan permintaannya.

    Anak-anak perlu belajar bersosial dan berinteraksi dengan persekitarannya. Ia adalah skil yang penting sebelum melangkah ke alam sekolah dan remaja.

    5. Jangan biar anak ketagih gajet

    ketagih gajet

    Terdapat banyak umur yang digariskan oleh pakar yang berbeza berkenaan umur yang sesuai untuk memperkenalkan gajet kepada anak-anak.

    Kebanyakan pakar meletakkan umur selepas dua tahun sebelum menggunakan apa-apa gajet.

    Umur dua tahun pertama ini adalah waktu yang harus digunakan oleh anak-anak untuk berinteraksi dengan objek-objek fizikal di sekeliling mereka.

    Ini adalah penting untuk merangsang deria sentuhan mereka yang gagal didapatkan melalui gajet.

    6. Tunjukkan contoh teladan yang baik

    Jika anda mengharapkan anak-anak anda agar tidak terlalu kerap menghadap skrin telefon atau iPad, anda harus memulakannya terlebih dahulu.

    Kanak-kanak sangat mudah terikut dengan tingkah laku orang tuanya.

    Banyakkan masa bermain dan berborak dengan anak-anak anda.

    Elakkan memegang gajet semasa waktu keluarga seperti waktu makan atau berkumpul di ruang tamu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 21/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan