backup og meta

Ada Unsur Seks Dalam Game Roblox? Sebelum Bagi Anak Main, Ini Yang Patut Ibu Ayah Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/07/2022

    Ada Unsur Seks Dalam Game Roblox? Sebelum Bagi Anak Main, Ini Yang Patut Ibu Ayah Tahu!

    Penulis ada terbaca mengenai satu hantaran di Facebook berkaitan permainan Roblox yang dikatakan agak keterlaluan untuk anak kecil. Apakah sebenarnya Roblox ini? Adakah ia berbahaya untuk kanak-kanak?

    Buat anda yang tidak tahu apakah itu kartun Roblox dan bahayanya kepada kanak-kanak, dalam perkongsian artikel ini ada kupasan mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu permainan Roblox?

    Roblox adalah platform permainan dalam talian, kedengaran sama seperti game online lain, bukan?

    Namun berbeza dengan permainan lain, Roblox membolehkan penggunanya mencipta permainan mereka sendiri dan memainkan pelbagai jenis mainan yang dihasilkan pengguna lain. 

    Kelebihan platform ini adalah ia memberi peluang kepada pemainnya untuk menjadi kreatif bagi menghasilkan game mereka sendiri – yang boleh dilakukan melalui set alat pembangunan permainan yang dipelajari oleh setiap individu.

    Dalam bahasa yang mudah untuk individu bukan kaki gamers macam penulis – ia adalah game yang dibuat sendiri oleh penggunanya.

    Ini bermakna, anda bukan sahaja menjadi pemain, tetapi juga berpeluang untuk menghasilkan permainan sendiri. Sesiapa sahaja boleh mencipta game di Roblox asalkan anda mempunyai akaunnya. Menarik! 

    permainan roblox

    Dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 2006 sebagai laman web, dan kini Roblox boleh diakses daripada pelbagai jenis peranti dengan lebih 20 juta permainan di platformnya.

    Permainan Roblox ini boleh dikatakan sebagai tempat untuk kanak-kanak dan individu dewasa bersosial dan bermain games.

    Boleh dimainkan menerusi gajet seperti telefon pintar, tablet, komputer meja, Xbox One dan beberapa set kepala VR, Roblox mempunyai penarafan ESRB E10+ for Everyone 10 and up for Fantasy Violence, yang bermaksud permainan biasa harus sesuai untuk kebanyakan kanak-kanak.

    Avatar dalam permainan Roblox

    Perkara paling penting dalam permainan ini adalah mengenai avatarnya yang akan diberikan secara automatik.

    Avatar ini adalah watak seperti manusia yang merupakan penampilan anda dalam semua permainan Roblox.

    Watak ini boleh disesuaikan dengan pelbagai bahagian badan, aksesori, pakaian, warna kulit, animasi dan pelbagai lagi. Ia dianggap sebagai cara untuk anda menyatakan personaliti dan gaya individu di platform.

    permainan roblox

    Item untuk mengubahsuai ini boleh diperolehi secara percuma atau perlu dibeli menggunakan mata wang maya yang dikenali sebagai Robux.

    Seperti permainan dalam talian lain, ia harus dibeli menggunakan wang sebenar. Jadi ya, ia memerlukan kad kredit yang didaftarkan pada akaun untuk membeli Robux.

    Sebagai contoh, sesetengah game Roblox menawarkan peningkatan yang boleh dibeli dalam bentuk pas permainan menggunakan nilai wang sebenar.

    Kartun Roblox: Bahayanya kepada anak

    Jadi, apa masalahnya jika perlu membuat pembelian menggunakan duit sebenar? Memang tiada masalah, bahkan pembelian tambahan bukanlah isu terbesar dengan permainan ini.

    Tetapi seperti yang dinyatakan pada awal tadi, permainan ini membenarkan interaksi sosial sesama pemainnya. 

    Tujuannya adalah untuk membolehkan pemain berinteraksi dan berkawan. Ia boleh dicapai dengan ‘mengembara’ di dalam permainan ini dan bertegur sapa dengan pemain lain dalam ruangan sembang yang tidak dikawal.

    Baca juga: 

    Di sinilah wujudnya risiko bahaya, anak mungkin berinteraksi dengan individu lebih berusia dan tidak mustahil pedofilia boleh menjadi antara orangnya. 

    Mungkin bagi anda yang bermain permainan ini tidak menyokong pernyataan di atas, tetapi bahaya itu ada di mana-mana, bukan?

    Memang betul terdapat sekatan ketat yang boleh diaktifkan – untuk menyekat perkataan dan frasa yang tidak sesuai – namun anak masih terdedah untuk menjadi sasaran pemangsa dalam talian.

    Masalah ini bukan hanya khusus untuk kartun Roblox, tetapi secara amnya dalam semua permainan online.

    Permainan sosial seperti ini sering digunakan sebagai platform untuk menarik kanak-kanak ke destinasi lain seperti Facebook, Snapchat atau sebarang bentuk ruangan sembang.

    Kandungan tidak sesuai dalam permainan Roblox

    Walaupun terdapat sekatan, namun ia tidak mungkin dapat memastikan semua bahan eksplisit dijauhkan daripada pemain Roblox.

    permainan roblox

    Ini kerana terdapat sekumpulan kecil pengguna yang melanggar peraturan dengan sengaja dan mencipta permainan seks Roblox yang dirujuk sebagai ‘condo’ di dalam platform.

    Ia adalah tempat ciptaan pengguna yang membolehkan pemain membincangkan tentang seks dan menjalankan seks maya dengan avatar mereka.

    Dikatakan permainan condo ini biasanya hanya dapat aktif untuk tempoh masa singkat – selalunya kurang daripada sejam – sebelum dapat dikesan dan dibuang. Namun risiko bahayanya masih ada untuk kanak-kanak.

    Bagaimana untuk melindungi anak?

    Jika soalan itu ditanyakan kepada penulis, sudah tentu jawapannya adalah untuk menyekat permainan Roblox ini daripada peranti anak anda. Ini kerana terdapat banyak lagi permainan lain yang boleh dijadikan pilihan.

    Namun tidak dinafikan kelebihan game ini adalah ia membenarkan kanak-kanak untuk meneroka kreativiti diri mereka dalam mencipta permainan sendiri.

    Jadi jika anda ingin membenarkan anak bermain pemainan ini, awasilah mereka.

    Kerapkan bercakap dengan anak tentang apa yang dilihat dalam talian, dengan siapa mereka berinteraksi dan sentiasa mengingatkan anak mengenai bahaya permainan dalam talian.

    Paling penting jangan lupa untuk mengaktifkan kawalan ibu bapa (parental control)  sebagai langkah berjaga-jaga. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan